Tuesday, 23 August 2011

KENANG KENANGAN HIDUP -Rahman Hariri

Penulis - Rahman Hariri dipangkuan emak.

Sekapur Sirih

Jadi, kedua dua adik bongsu saya meminta saya menulis tentang Bapak. Saya tidak mempersoalkan mereka. Mereka tidak berpeluang untuk mengenali Bapak mereka sepertimana kami yang tua tua ini. Kami menghabiskan masa hampir 20 tahun bersama Bapak, manakala adik bongsu perempuan saya, hanya untuk satu, atau paling tepat menghampiri 8 bulan untuk bersama Bapak.

Tidak mudah untuk menulis tentang Bapak yang telah lama meninggalkan kami . Saya pasti Bapak tidak dapat mempertahankan dirinya dalam penulisan ini - bukanlah kerana Bapak perlu membela diri beliau pun. Sebaliknya, saya tidak mahu menganggap Bapak seolah olah saorang yang bertaraf wali yang akhirnya kisah ini akan menjadi tidak benar, walaupun pada hakikatnya dia saorang yang warak. Tetapi cara beliau bertugas dan melaksanakan tugas yang diamanahkan, akan membuat kisah Bapak hampir benar benar begitu, terutamanya dalam keadaan kerendahan moral hari ini dikalangan penjawat awam.

Adik lelaki yang saorang lagi ni pula, inginkan saya menulis lanjut mengenai Taiping, satu lagi kisah yang terlalu menyentuh hati saya. Saya mempunyai cerita di Lapangan Terbang Tekah aka Taiping Aerodrome (di Assam Kumbang Taiping), di mana Sukarno & Hatta pernah mendarat di tahun 40an dahulu ; selain yang ditulis oleh seorang pegawai kolonial di Taiping di awal tahun 1900, menggambarkan keindahan Taiping selepas hujan ,yang mana telah mebuat saya menjerit-jerit "Itu Taiping saya! Itu Taiping yang saya tahu!!" Ya, saya telah mula mahu menulis tentang kedua-dua topik - ia adalah di dalam fikiran saya sepanjang masa.


Tetapi di mana dan bagaimana harus saya mulakan?

Saya tak tahu di mana nak bermula sepertimana Pak Lah yang kebingungan diawal pemerintahan beliau tentang pengurusan negara ini. Bukannya nak melawak ni. Hanya bergantung pada ingatan saya dan tanpa merujuk kepada Mak Cak, kakak Bapak atau saudara lelaki Bapak, Pak Lang dan Pakcik Ya, saya dapati sukar untuk mengenang kembali kenangan lalu bersama Bapak. Mungkin juga saya tak mahu kenangkan lagi, saya pun tidak pasti.

Liku liku hidup Hariri Bab

Bapak dilahirkan di Kuala Kangsar pada bulan April tahun 1936 dan bersekolah di Sekolah Clifford . Rumah yang mereka tinggal di deretan rumah-rumah kerajaan betul-betul di tengah-tengah KK, yang didepannnya sekolah. Rumah adalah lebih seperti satu berek rumah . Dua bilik dan ruang tamu dan anda pergi ke bawah (dan keluar) ke dapur dan sebuah bilik dibawah, dengan ruang terbuka untuk jemuran pakaian anda. Sudah tentu pada tahun 2007, rumah deretan itu masih berdiri kukuh namun kini, ia adalah perhentian bas dan perbandaran baru untuk KK.

Kami mempunyai peluang kami pada tahun 1979-1980 (?) untuk menetap dirumah tersebut dan melalui semula kenangan Bapak bersama adik beradik beliau di berek itu . Saya masih ingat ,sekembalinya saya selepas SPM ,dan malam itu selepas ketibaan saya, saya tidur dari selepas Maghrib hingga ke pagi berikutnya dan merasa seperti yang saya telah bangun dari kematian saya. Aman dan puas tidur dibawah rumah yang beruang untuk simpanan barangan.

Ia adalah tidur yang paling nyaman yang pernah saya lalui.

Maaf, saya menyimpang.

(foto dibawah perjelaskan ruang bawah tangga yang nyaman untuk tidur lena)

Bersama Opah mereka selepas kematian emak. Pengenalan dari belakang kiri:- Pak Long(Zainuddin Bahari Bab) Makcak(Maznah Bab). Berlutut kiri: - Bapak(Hariri Bab), dipangkuan opah, Pakcik Kadir(Abdul Kadir Bab), Pak Lang(Aziz Bokhari Bab)
Duduk: - Pakcik Yut(Kamarul Zaman Bab), Pakcik Ya(Zakaria Bab) dan Pakcik Wan(Redzuan Bab)

(Kami pernah menginap dirumah seperti foto ini di Kuala Kangsar sekitar 1979-1980, berhadapan sekolah Clifford)


Banyak yang saya tidak tahu tentang kehidupan Bapak di Kuala Kangsar. Yang pasti, hidupnya sukar bersama 8 adik beradik, tanpa saorang ibu , yang pergi sekitar tahun 1947. Bersama saorang ayah yang berkahwin semula selepas pemergian ibu(Tok Bab berkahwin semula selepas 3 bulan ), suasana yang agak sukar untuk menempa kejayaan.
Tok Bab adalah saorang Juruketnik Jabatan Telekom Malaysia, dan saya pasti gaji beliau waktu itu tidak seberapa.

Bapak menghabiskan masa remaja beliau dengan bermain kriket di padang berhampiran.
(Tidak jauh dari Pasar Kuala Kangsar) Pernah berliau menceritakan tentang kehebatan beliau bermain waktu itu dan mewakili Sekolah Clifford, tetapi tidak mendapat perhatian sepatutnya dari saya. Mungkin bagi saya, permainan kriket ini sesuai dengan era penjajahan dulu.
Bapak bersama pakcik Wan di Bukit Bendera sekitar tahun 50an
(kalau tak silap saya, bapak mencuba kali kedua peperiksaan SC di Pulau Pinang)

Dan beliau lulus peperikasaan Senior Cambridge beliau waktu itu. Dari apa yang saya faham , lulusan Senior Cambridge adalah lebih kurang setaraf dengan 'O Level'. Memandangkan hanya segelintir, atau paling tepat, boleh dikira yang berjaya melepasi ujian ini, membuat saolah olah satu kejayaan mendapat ijazah waktu itu. Dan saya tak pasti mengapa Bapak tidak melanjutkan pelajaran beliau ketahap yang lebih tinggi. Adakah disebabkan isu kewangan, isu kelayakan, yang membantutkan pembelajaran Bapak? Saya tak tahu mengapa.

Sebaik lulus SC, abang sulong Bapak, Zainuddin Bahari Bab(Pak Long), yang waktu itu bekerja di Utusan Melayu(waktu itu Utusan dimiliki oleh Keluarga Ishak- Yusof dan Aziz , waktu itu Aziz Ishak dikenali Bapak dengan panggilan Pak Jed), bertanyakan kawan kawan beliau , untuk membantu mencarikan pekerjaan untuk Bapak, supaya boleh diambil bekerja di Jabatan Kerajaan. Kisah ini dicerita sendiri oleh Pak Long kepada saya suatu ketika dahulu.

"Tetapi , dia terlalu 'overqualified' untuk jawatan itu". Itu yang diberitahu kepada Pak Long . "Saya tak pasti yang beliau akan bertahan lama disitu."

"Percayalah..." Pak Long memberi keyakinan. "Dia adik saya, saya kenal dan tahu dia, dia tak akan kemana mana lagi".

Bapak sedang bertugas diluar tahun 60an - (Apa yang pasti, Bapak cukup cekap dengan pengiraan dan ukuran - sebab tu anak anak dia cekap Matematik.)

Berhenti kerja? Tiada dalam kamus Bapak, dan Bapak meninggal dunia, berjawatankan Pegawai Penempatan. Saya ingat, Bapak berjawatan Pegawai Penempatan dihampir setiap daerah negeri Perak.( Taiping pada awal 60an, Batu Gajah sehingga 1968, Lenggong 1969-1972, Taiping 1973-1978, Kuala Kangsar 1978-1984, Taiping 1984 hingga beliau menghembuskan nafas terakhir beliau.)



Bapak sebagai Pegawai Penempatan di pejabat beliau.


Tetapi langkah seterusnya kerjaya bapak, kenaikan pangkat tidak menyebelahi beliau. Saya masih ingat bahawa dalam tahun 70-an, beliau pergi ke Ipoh dan menduduki peperiksaan untuk kenaikan pangkat, tetapi dia tidak mendapat kenaikan pangkat menjadi ADO(Penolong Pegawai Daerah). Saya tidak tahu mengapa, saya percaya mungkin ia mempunyai sesuatu kaitan dengan kesihatannya; mungkin dia tidak lulus temuduga, mungkin dia tidak memainkan politik pejabat dengan,baik, siapa tahu. Bapak berpenyakit batu karang didalam buah pinggang dan tekanan darah tinggi, dan agak kritikial diakhir tahun 70 hingga ke80an. Dalam apa jua takdirnya, saya gembira yang Bapak tidak mendapat kenaikan pangkat menjadi ADO mahupun DO.

Semasa beliau bertugas sebagai kakitangan kerajaan, Bapak tidak pernah menggalakkan kami,anak-anaknya untuk mencari nafkah dengan kerajaan. "Cukuplah dengan Bapak "katanya. "Bapak mengharapkan kamu adik beradik bekerja di sektor swasta ". Saya fikir dia boleh melihat pada masa akan datang, mungkin sektor swasta akan menjadi lebih besar dan mulia. Kecuali bagi dua adik saya - seorang pensyarah dan seorang guru, kami pada dasarnya telah dikemudikan untuk menjauhi sektor awam ( dua daripada tiga belas anak Bapak)
.
Dia meletakkan penekanan yang tinggi kepada pendidikan untuk anak-anaknya. "Saya tidak mempunyai apa-apa untuk diberi kepada kamu , kecuali pelajaran."Paling tepat menteranya. Itu yang selalu diperbualkan Bapak kepada saya setiap kali saya pulang bercuti dari sekolah berasrama penuh di Kota Bharu. Paling tepat, Bapak tahu dia tidak mempunyai banyak harta untuk diberikan kepada ke duabelas anak anaknya (tidak termasuk satu anak angkat) dari segi harta dunia. Dan dia tahu bahawa satu-satunya cara bagi keluarga untuk maju ialah melalui pendidikan

.
Sebab itu dia lakukan sepenuhnya dan yang terbaik untuk kita semua mencapai matlamatnya Adakalanya bergolok bergadai semata mata mahu memastikan kejayaan anak anak - dan seringnya begitu.

Walaupun saya tidak suka bercakap tentang gaji orang lain, termasuk Bapak saya sendiri, saya tahu apa yang beliau dapati adalah tidak sebanyak mana. Dan membela dan membesarkan 13anak adalah satu beban yang amat berat tetapi dia laksanakan dengan semangat waja."Mereka bukan bebanan saya, mereka adalah keluarga dan anak anak saya." Dia tidak pernah merasai kemewahan hidup. Tiada kereta baru untuk dia sepanjang hidupnya - Morris Minor (AD 8479) adalah terpakai.



Rahman dan saya di Sekolah Kebangsaan Sentul, Kuala Lumpur berlatar-belakangkan kereta Morris Minor - AD8479

Apabila dia membawa pulang kereta 'baru' kerumah kami di Batu Gajah, kami bertanya kepadanya semasa beliau memnawa kami untuk bersiar siar, "kalau kereta baru,
kenapa dia burok?" Saya tidak ingat jawapan Bapak, mungkin dia mengambil strategi dalam usaha memberi jawapan, yang akhirnya saya anggap sama seperti iklan Burung Murai - ayah dan anak itu. Dia memandu kereta itu selama hampir 20 tahun sehingga dijual pada awal tahun 80-an dan membeli Opel Kadett terpakai (AW2002).

Kereta Morris Minor itu pernah mengalami kerosakan ditengah malam gelita sekitar tahun 70 di jalan Kuala Kangsar-Lenggong. Bapak mengarahkan kami menutup kesemua cermin tingkap kereta sementara beliau memeriksa keadaan enjin di tengah hutan yang gelap gelita itu. Sekurangnya beliau pastikan kami selamat sekiranya beliau dibaham harimau .

Oh, anda tahu tak apa kereta kegemaran Bapak? Puegeot.!! Saya masih ingat masa di Aulong,dan entah berapa kali jurujual kereta berulang alik kerumah Aulong itu bagi memastikan Bapak memilikinya.Tetapi, dia tahu dia tidak mampu memiliki kereta itu, akhirnya..... dia terpaksa membeli Opel terpakai dengan bayaran tunai.

Tetapi masih lagi tanpa penghawa dingin berbanding dengan kereta lain waktu itu.

Dia tidak dapat merasai nikmat tinggal di rumah sendiri sehingga minggu terakhir kehidupannya.

Itulah dia Bapak kamu, Zali dan Aisyah.

Dia akan duduk dan membaca buku-buku dengan kami pada waktu malam dibanglo kerajaan kami di pinggir Lenggong. "Goodbye Aminah, goodbye Mei Ling, I will see u again tomorrow," said Ali - kami akan membaca bersama-sama (yang dari buku Std 1).Begitulah, bagaimana dia menanam 'kasih untuk buku-buku' dalam keluarganya. Dia akan meluangkan masa dengan kami, dan bukan hanya memberi arahan "pergi baca buku!" seperti yang dilakukan saya kepada anak anak masa kini saya.

akan bersambung

epilog
Kalau kamu ingin tahu dengan lebih mendalam tentang Bapak kamu, dengarlah kedua-dua buah lagu ini.Kami sering diperdengarkan lagu lagu rakyat ini oleh The Brothers Four & Theme from A Summer Place bersama Percy Faith di awal 70-an melalui alat pemainan piring hitam milik Bapak ni.Ya, masih tersimpan dengan baik dan selamat dalam koleksi saya. Ia menjadi penyebab setiap kali saya mendengar kedua-dua buah lagu ini, saya akan terkenang saat saat manis bersama Bapak.

Ini adalah pring hitam ori (EP) dari tahun60-an yang masih tersimpan dengan baik milik Bapak.Terdapat dua buah lagu di sebelah ini - Theme from A Summer Place dan Greenfields.
Lagu ini adalah lagu yang sangat popular di tahun 60an. Malah, Peter, rakan sekerja saya telah terhenti kerjanya seketika apabila beliau mendengar lagu ini suatu hari yang terpancar dari notebook saya. Beliau hanya beberapa tahun lebih muda daripada Bapak.

Liriknya begitu puitis. Saya boleh menghafal liriknya sejak dari awal sekolah rendah hingga kini. Bagi saya, Bapak adalah Greenfields & Summer Place kita.

Once there were green fields, kissed by the sun.
Once there were valleys, where rivers used to run.
Once there were blue skies, with white clouds high above.
Once they were part of an everlasting love.
We were the lovers who strolled through green fields.

Green fields are gone now, parched by the sun.
Gone from the valleys, where rivers used to run.
Gone with the cold wind, that swept into my heart.
Gone with the lovers, who let their dreams depart.
Where are the green fields, that we used to roam?

I'll never know what made you run away.
How can I keep searching when dark clouds hide the day
I only know there's nothing here for me.
Nothing in this wide world, left for me to see.

But I'll keep on waiting, ‘til you return.
I'll keep on waiting, until the day you learn.
You can't be happy, while your heart's on the roam,
You can't be happy until you bring it home.
Home to the green fields, and me once again

Dipetik dari Rahmanharir.blogspot.com . Untuk penghayatan yang lebih menarik dalam bahasa Inggeris, sila lawati di sini











Terima Kasih kepada Penulis atas atikel yang panjang tentang Bapak.

Lagu sering menjadi tanda ingatan dan kenangan masa silam saya. Saya dibesarkan tanpa TV hingga ke akhir tahun 1978. Bapak terlalu kuat pegangan Agamanya, TV adalah sesuatu yang melalaikan. Dirumah kami hanya dibekalkan dengan piring hitam sebagai hiburan malam serta sebuah radio lama sebagai peneman kami .

Bapak dan Emak memang sering pastikan pencapaian akademik kami pada tahap terbaik, walaupun dalam serba kekurangan dengan 13 anak dan pendapatan yang tak setimpal sebagai saorang penjawat awam.

Alfatihah untuk Bapak


Latiff Hariri
1323 21082011
Sungai Petani





No comments:

Post a Comment