Tuesday, 25 September 2012

Kesal Yang Tak Sudah - Minta Maaf!!?

Sabtu 1 Rmadhan 1433Hijrah/ 21 Julai 2012

Terima panggilan dari adik bujang saya si Zali.

" Abang Boy, maafkan saya, saya terlupa terus, memang semua saya beritahu, tapi lupa langsung pada abang Boy. Mungkin juga masa tu ingat ada yang lain dah beritahu abang Boy", itu jawapan merayu adik saya.(tapi  tak lah merayu, ikhlas mengaku silap)

" Tak apa Zali, abang Boy faham. Beritahu Fadhil, sorrylah, dia jadi mangsa keadaan. sebab dia yang menyampaikan berita ini, jadi , dia terimalah 'bombard' dari abang Boy..."

Berkali kali Zali memohon maaf dan mengaku semuanya salah beliau.

Saya terima ajelah permohonan maaf Zali. Bukan disengajakan pun. Tapi, kesyukuran tetap ada dihati, sebab dalam tempoh sehari sahaja emak sudah berada di Wad biasa , selepas seharian berada didalam ICU . Saya memang 'garang' dan tegas dengan adik adik terutamanya yang tidak tahu menghormati yang tua. Setakat usia 48 ni, saya dapati tiada adik lelaki saya yang 'terlebih' bila berhubung dengan saya. Mereka tahu tahap saya, dan selalunya sayalah yang terakhir menjadi rujukan. Sepatutnya begitu, kami masih punya kakak sulong dan abang yang tua, lebih baik berhubung terus dengan mereka.

Saya tanya Zali, perlukah saya turun ke Kuala Lumpur, dan bagaimana keadaan emak.

Berita gembiranya, emak akan keluar dari Hospital selewat lewatnya petang esok atau pagi Ahad. Katanya emak sudah stabil.

Jadi saya padamkan sahaja niat saya untuk bersama memenuhi wad Hospital Kelang.

Malam itu, saya yang jenis suka padamkan talipon bimbit setiap kali berada di katil ini, tetiba terima masuk satu pesanan ringkas, pengirimnya Mak . Saya tulis semula disini, tanpa diedit atau diperbetulkan ejaan ringkasnya: -

"Salam boy maaf emak kerana ta bagi tau emak sakit.semalam emak1hari di icu,hari baru lega.emak pengsan di pasar. Rupanyabadan emak ta ada ayer dan pun darah pun taada ayer. Doc masok drip 6 bottles baru nomal.."Sender Mak +6012900**** Sent: 20-July-2012 22:01.21

Melompat saya dari katil membacanya.

Terus saya menalipon. Memang benar , sebelum ini saya tidak menalipon emak, kerana tidak mahu mengganggu rehat emak.

" Assalamualaikum emak.....", saya memulakan bicara sayu saya. "....Emak, mengapa pulak emak kena minta maaf dengan Boy. Mana pulak emak buat silap... mereka ...adik adik yang tak beritahu.......", itu penjelasan saya bahwa saya tidak 'memarahi' emak. Saya memang terasa betapa salahnya saya ketika itu. Mengapa emak pula yang harus rasa bersalah? Emak tak sedarkan diri dan berada dalam ICU 24 jam, mana lah pulak emak boleh memberitahu saya.

Atau emak memang boleh baca perasaan saya, yang kununnya merajuk dan kecewa. Ish, mengapa saya jadi begini?

Emak menjawab dalam suara lesu. Diceritakan satu persatu insiden di Pasar kelang itu bersama adik saya si Zali. Suaranya lemah, tapi bersemangat untuk berkongsi cerita.

Saya hanya menasihatkan emak supaya tidak aktif berada diluar lagi. Saya tahu jerebu teruk melanda Kelang dan Shah Alam, sedangkan emak mempunyai rekod Asma yang teruk. Saya hanya meminta emak segera pulang kerumah Rahman dan berehat sahaja, jangan aktif lagi.

Pesanan ringkas terakhir dari emak kepada saya...., yang saya simpan hingga kini .

Ampunkan dosaBoy emak.....maafkan abang Boy, Fadhil dan Zali.

Latiff Hariri
1638 22092012
Sungai Petani




No comments:

Post a Comment