Wednesday, 2 November 2011

Ziarah Emak dan Makcik Rahmah

Selesai bersarapan di Bismillah, saya terus pulang kerumah emak. Sudah menghampiri dua purnama saya tidak pulang kerumah emak ni.

Perkara pertama yang ditugaskan , ke Hospital Taiping untuk temujanji bulanan emak . Setahun sekali adalah agaknya, tugasan ini. Selalunya , emak senang dengan teksi yang dilanggan secara sebulan sekali itu, kalau tiada adik abang yang pulang ke Taiping.

Perkhidmatan pesakit luar Hospital Taiping, masih tidak banyak bezanya dari 10 tahun yang lalu. Menunggu adalah sesuatu yang wajib dihadapi oleh setiap pesakit luar yang ternyata begitu ramai memerlukan khidmat hospital ini.

Untuk pemeriksaan darah, agak cepat, tak sampai 30 minit sudah selesai. Untuk pemeriksaan mata, ini yang sering dihadapi emak dan kesemua pesakit warga emas yang bertandang secara bulanan. Komputer pemeriksaan sering rosak. Adakalanya emak harus menunggu dari pagi hingga ke pukul 2 untuk mendapatkan pemeriksaan.

Macam mana Kementerian Kesihatan ni?

Tunggu hingga sekitar 1030 baru selesai pemeriksaan, dan untungnya melebihi 20 pesakit yang melarikan diri, tidak sanggup menunggu, dan giliran emak terus ke hadapan.

Ke pasar untuk belanja makan tengahari. Sementara menanti makan tengahari serta ketibaan adik saya dari Shah Alam, yang dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang tu, saya merayau ke bandar. Itu yang bertemu Kabilan tu, dan terus merayau untuk memenuhi masa yang melebihi 3 jam ini.



Keretapi Wap pertama di Taiping, paling tepat Tanah Melayu

Banyak galeri yang sedang diubah suai dan ditutup untuk pengunjung.

Mereka penduduk asal Tanah Melayu, bukannya kita?

Muzium Perak, Taiping.

Masa kanak kanak dulu, 'confuse' jugak. Mengapa tak Muzium Taiping, Perak.

Ini pertamakali saya masuk semula selepas bersama anak sulong saya yang ketika itu berusia sekitar 4 tahun. Dah lebih 21 tahun saya tidak memasukinya. Memang tak berminat nak tengok benda benda sejarah ni, nak berdebat sejarah siapa merdekakan Tanah Melayu ni, saya berminatlah! Hehehe .

Sekolah ini ramai melahirkan anak anak dari King Edward itu...amboi, indahnya bahasa.

Masjid Hanafi Taiping .

Ini masjidnya yang Bapak sering beriqtiqaf sekitar tahun 1973- 1978 dan kira kira 100 hari sebelum Bapak pergi buat selama lamanya. Hmmm, begini kisahnya.

Bapak dahulu minat bertabligh. Asal ada yang mahu keluar berombongan 40 hari, Bapak akan mencuri hari hujung minggunya untuk bersama jemaah tabligh ni. Saya dan Rahman, sering 'kena ikut' Bapak. Sekarang saya dah tahu mengapa Bapak suka anak anak lelaki dia turut sama setiap aktiviti luar dia. Dan Masjid Hanafi Taiping merupakan 'port' gang gang tabligh bapak. Mereka tidak bersembang politik, lebih kepada menyampaikan kerja kerja kebaikan kepada masyarakat umum. Antara tempat yang pernah saya berombongan tabligh waktu kanak2/remaja dahulu : Majid Pakistan, Pulau Pinang , Masjid di Selinsing, Bagan Serai, Masjid2 di daerah Lenggong, paling tepat pulau Chery.

100 hari sebelum Bapak menghembuskan nafas terakhir , Masjid Hanafi juga menjadi tempat solat Asar Bapak, mungkin juga solat Zohor. Bapak akan berjalan kaki dari Pejabat Tanah Taping, menggunakan lorong lorong belakang Balai Taiping dan kem tentera disitu. Saya akan menyusul selepas Asar, mengambil Bapak untuk pulang kerumah bujang saya di Simpang Taiping tu. Rencana saya dengan Bapak waktu itu , adalah , kami akan pulang ke Kuala Kangsar seminggu sekali. Waktu itu 1984, sekitar bulan June/Julai, Bapak dah berpindah semula ke Taiping.Sedangkan emak dan adik adik masih menetap di Bukit Residen Kuala Kangsar. Tiada masaalah untuk keluar segera dari kuarters di Kuala Kangsar, kerana saya kira, waktu itu Pegawai Daerah amat baik hubungannya dengan Bapak. Rumah itu pun khas untuk Penolong Pegawai Daerah yang masih beranak kecil, tidak sesuai untuk inapan keluarga kecil, lalu diberi kepada Bapak yang mempunyai 13 orang anak itu!!

Yang saya ingat , tahun 70an dulu , Imamnya masjid Hanafi ini, terlalu kuat amalannya, hingga boleh dikatakan ramai yang bertandang semata mata mahu mengambil air berkat doa beliau. Memang waktu itu saya kira beliau antara Imam yang terhebat di bandar Taiping ni.

Emak dan Fadhil. Fadhil satu satunya anak Hariri yang mendapat School Colours dari King Edward kerana tangkasnya beliau bersukan mewakili sekolah. Saya dapat sijil berhenti sekolah aje, hehehe.

Sengaja saya lewatkan acara makan tengahari bersama emak semata mata nak makan beramai ramai sebelum pulang ke Sungai Petani. Fadhil baru tiba dari Shah Alam, selepas menonton kematian Marco Simoncelli di litar F1 Sepang tu. Semangat sukan permotoran ini terbawa bawa oleh dua adik lelaki saya, sedangkan abang abang yang lain tak berapa berminat dengan sukan. Saya minat sukan basikal, yang santai lah, berlumba tak minat, dan yang masih tak boleh dibuang , kuak lentang atau berenang acara bebas, atas tilam, hahaha.(dah terkeluar topik ni)

Sambil makan tengahari ini, emak menceritakan serba banyak tentang makcik saya di Batu Kurau tu yang semakin uzur. Sebak juga mendengarnya. Terus saya tukar GPS saya dari Taiping-Butterworth- SP, ke Taiping - Batu Kurau-Kuala Ketil - SP.

Saya akan rasa bersalah sekiranya saya tidak menjengok makcik Rahmah ni. Dia sudah mencecah usia 80 rasanya.

Kami tiba di rumah makcik Rahmah sekitar 330 petang. Beliau sedang lena, pintu terkunci, saya hanya memanjangkan leher untuk menjengok melepasi tingkap berjaring kayu itu. Ternyata makcik sedang lena seorang diri, dan yang mudah saya lakukan, mengetuk dinding kayu rumahnya, dan dengan membuka dan menutup tingkap kayu yang tercapai dek tangan, dan akhirnya berjaya.

Makcik membisikkan sesuatu kepada saya.

Saya mula rapat dengan makcik Rahmah dan arwah pakcik Buyong seawal usia 9 tahun. Saya sering ke Batu Kurau sendirian dengan menaiki bas ke sana waktu itu.

Rugi rasanya kalau tiada yang mewarisi 'ilmu' yang teramal dan terbakti , dari makcik Rahmah ni. Nak tahu kisahnya, kena baca kisah 'Bercakap dengan Jin - Tamar jalis' tu. Kisah itu semuanya benar belaka, walaupun bukan kisahnya makcik Rahmah.

Hmmmm, dek kerana saya sebahagian dari anak anak yang sulong, banyak kisah kisah mistik begini, saya alami dan berkongsi cerita dengan Makcik Rahmah.

Antara orang orang kenamaan yang pernah beliau ubati, baginda Sultanah sebuah Negeri tu, Biduanita kesayangan kita, keluarga pak Menteri dan Pak Menteri Besar sesebuah negeri tu .

Bertembung ilmu dengan Ustaz Harun Din AlHafiz, kerana Makcik berjaya mengubati Sultanah, sedangkan Uztaz Harun Din tercari cari dimana rahsia Ayat AlQuran yang makcik surahkan ke telinga Sultanah.... .

Kesultanan Brunei? Kesultanan Arab Saudi? Kemana sahaja makcik dipanggil, pasti beliau akan pergi . Ya, makcik terbang kesana atas jemputan bersama pengiring. Dan adakalanya rumah saya di Shah Alam menjadi 'port' makcik bila beliau jemu bertandang lama dirumah mereka, paling tepat , Istana Raja Raja kita tu.

Ok, tak boleh ceritakan semua ni. Rahsia yang saya bongkar sikit sikit ni nanti, jadi buah mulut pulak, hehehhe.

Begitulah serba banyak kisah sejarah Taiping yang dihuni saya dan keluarga sejak 1973, eh, awal dari itulah, sejak saya dilahirkan. Ya, saya dilahirkan di Hospital Taiping, dan waktu itu Bapak dan Emak menetap di kuarters kerajaan di Assam Kumbang.

Sebenarnya saya tak mahu padamkan kisah kisah silam saya ini kedalam liang lahad, biar ada yang mengetahuinya, dan kita boleh berkongsi kisah. Adakalanya sesuatu cerita itu adalah dari pandangan dan pengalaman saya, sedangkan rakan rakan ada versi lain pada kisah yang saya ceritakan ini. Kita harus bertukar tukar kisah supaya hal sebenar tidak terus berkubur bersama kita. Dan pastikan, kisah yang tiada niat mengaibkan sesiapa pun, samaada yang masih hidup, atau yang telah mati.

Memang beruntung dapat mengenali makcik Rahmah ni, tapi, saya tak dapat mewarisi keilmuan makcik, kerana dugaannya teramat hebat, dan sesaorang itu harus bersih dirinya sebelum benar benar berjaya menghayati setiap rahsia ayat ayat AlQuran.

Saya gagal.

Moga makcik Rahmah dipanjangkan usia dan didalam kesihatan yang terbaik, saya doakan.


Latiff Hariri
1521 26102011
Sungai Petani

No comments:

Post a Comment