Monday, 26 December 2011

Kembara MRSM 1980

Diakhir penggal ketiga, semasa Tingkatan 4, saya sudah rancangkan sesuatu untuk menambahkan pengalaman hidup saya. Ini semua gara gara berkawan dengan Mohd Nazri Noor. Nazri ni ahli sukan yang tahan lasak, jadi, untuk membuktikan kepada beliau bahawa saya pun tahan lasak, saya rancangkan sesuatu sempena cuti sekolah waktu itu. Rasanya saya ada mengajak beliau bersama, tapi mungkin beliau lebih teruja untuk balik ke kampungnya di Chemor itu, akhirnya saya sendirian melakukannya.


Saya ke KL dengan menaiki keretapi. Waktu itu perkhidmatan bas tidaklah sehebat sekarang. Seperti biasa , menumpang di rumah Makcak di Ampang Jaya. Saya hanya berbekalkan RM10.00 sahaja dari emak waktu itu, serta titipan duit dari Makcak dan Makcik Miah. Kalau lah ingatan ini tepat, rasanya , saya bertolak pada hari Jumaat, dari rumah Makcik Miah di Gombak. Waktu itu Makcik Miah , Makcik Jamaliah dan Pakcik Mat menyewa rumah bujang.


Berjalan kaki mengarah ke jalan Gombak-Genting Sempah itu. Dengan muka selambanya, saya memulakan kembara hitch-hike ini seawal pukul 830 pagi. Saya hanya membawa beg sandang , adalah 2-3 helai pakaian, serta wang sakunya tak lebih RM30.00


Berdiri ditepi jalan sambil melambai tangan menunjuk ke arah kiri menuju Genting Sempah. Tidak lah susah mana, bila ada sebuah kereta Datsun 120Y milik orang Tionghua berhenti disisi. Katanya mahu ke Mentakab. Saya setuju aje, janji boleh mulakan perjalanan secepat mungkin. Sebenarnya Mentakab dimana pun saya tak tahu. Yang saya tahu ianya di Pahang.


Sampai di Mentakab saya mulakan sekali lagi memberi lambaian kepada setiap kereta yang lalu mengarah ke Kuantan. Tiada yang mahu berhenti. Saya dapati ramai pemandu Melayu tidak memberi tindakbalas kepada saya, tetapi pemandu Tionhua lebih perihatin dengan memberi tanda isyarat 'tidak boleh' kepada saya.

Akhirnya saya menumpang kenderaan milik warga India. Ok, peramah dan beliau hanya mahu ke Maran. Agak lama juga perjalanan ini. Saya rasa saya sudah terlepas waktu solat Jumaat waktu itu. Pemandu ini tinggalkan saya di pekan Maran.

Ini yang paling mencabar, melebihi sejam saya terpacak dan memberi lambaian kepada setiap kenderaan yang lalu, tiada satu pun yang mahu berhenti. Saya pun kelaparan, tapi masih boleh bertahan. Mungkin saya harus tukar strategi. Saya melangkah ke persimpangan keluar dari pusat bandar dan berdiri disisi simpang.

Setiap kereta yang wajib berhenti, akan saya bertanya, samaada boleh ditumpangkan saya ke arah Kuantan atau sekitarnya. Waktu ini fikiran saya mula runsing. Boleh ke saya sampai ke destinasi ini? Dimana saya nak tidur malam kiranya kembara ini gagal selesai dalam tempoh 24 jam? Mula terfikir betapa bodohnya saya waktu itu.

Nak patah balik dah tak boleh ni.

Haaa, tengok peta ni, betapa jauhnya saya ber'hitch-hike seawal usia 16 tahun ini.

Kalau anak saya mahu lakukan benda yang sama, taubat saya nak benarkan. Rela saya hantar atau benarkan mereka naik bas sahaja.

Bila dah lama termanggu manggu di pekan Maran ni, saya mula risau. Setiap kenderaan yang berhenti di simpang ini, saya tanya tanpa segan silu. Saya kira hampir sejam saya masih terpacak disini. Akhirnya , sebuah 'truck' tentera berhenti di simpang. Saya memberi tanda tangan kepada pemandu abang askar ini, dia membalas dengan insyarat tidak boleh. Saya tak mahu mengalah, terus saya panjat tangga pintu sisinya.

"Bang, boleh tumpang tak bang? Saya nak ke Kota Bharu".

"Tak boleh dek, ini kenderaan tentera,orang awam tak boleh naik" , balasnya berbahasa.

Saya memandang sekeliling tempat pemanduan beliau. Ternyata tiada siapa disisi, dan dibelakangnya jelas hanya dipenuhi barang barang rumah, menandakan lori ini hanya membawa barang barang rumah keluarga ATM yang berpindah.

"Alah, bang boleh lah, saya dah tak tahu nak tumpang siapa ni." Saya memujuk.

"Tak boleh dik, saya bawa barang bos saya ni, nanti kena jawab pulak", beliau masih berlembut. Sedangkan lori beliau sudah mula bergerak perlahan keluar dari simpang. Saya tahu beliau serba salah.

"Boleh la bang....." saya merayu.

Akhirnya saya berjaya. Dia benarkan saya naik. Mungkin beliau tidak mahu menghalang kenderaan dibelakang yang mahu bergerak.

Saya terus memasuki sambil mengucapkan terima kasih kepada beliau.

Katanya beliau menghantar barang barang bosnya, saorang kapten untuk berpindah ke Kelantan. Paling tepat beliau akan ke Kem Pengkalan Chepa.

Pucuk dicita , ulam mendatang. Saya memberitahu beliau arah tuju saya, dan beliau meminta saya berhati hati semasa pemanduan beliau. Ya lah, kenderaan tentera, beliau risau sekiranya apa apa berlaku, beliau yang dipertanggujawabkan.

Saya akui dan bersandar sebaik mungkin supaya tidak menyusahkan beliau.

Sepanjang malam ini perjalanan bertemankan hujan. Saya hanya memerhati kehadapan dan sesekali berbual dengan beliau.

Ya, sudah malam, sekitar pukul 12 malam kami masih dalam perjalanan. Jalan ditahun 1980 tidak sehebat jalaraya kini tau. Lagi pun 'truck' tentera ini tak lah selaju mana.

Disatu laluan yang lurus, saya masih belum mahu tidur, dan saya mula perasan , abang askar ini sudah hilang tumpuan panduannya. Sekejap kekiri, sekejap kekanan, saya cuba berdehem, dan beliau memberi tindak balas. Lepas beberapa minit, sekali lagi beliau hilang tumpuan. Terhoyong hayang kekiri kanan jalan.

Secara secepat kilat, tangan kanan saya menyambar stering beliau, dan beliau tersentak dari lena beliau. Nyaris truck ini meluru ke arah rumah di selekoh berhampiran.

"Astaghfiruulllah! Saya tertidur" . Berkali kali beliau mengucap . Dan tidak lupa mengucap terima kasih kepada saya.

Saya rasa lega, dan cadangkan beliau berhenti di gerai berhampiran untuk minum kopi dan menjamu selera. Waktu itu saya sudah berniat untuk belanja beliau makan, walaupun duit disaku 'ciput'.
Sambil minum kopi, beliau masih bercerita tentang tindakkan yang saya buat menyelamatkan 'truck' tersebut dari terbabas ke rumah dihadapan selekoh itu.

Saya kesihan juga melihat beliau. Bertugas 24 jam membawa lori sendirian dari pagi bermula dari Kuala Lumpur . Beliau ada juga merungut tentang memandu sendirian tanpa ada pengganti. Bermula dari kejadian ini , saya semakin rapat dengan beliau. Sepanjang jalan saya melayan beliau berbual, dan akhirnya beliau mencadangkan saya mengikuti beliau ke rumah mertua bos beliau di Pengkalan Chepa. Katanya , tidak mengapa, nanti beliau ceritakan hal sebenar kepada bos beliau.

Ya, kami tiba di rumah mertua Bos beliau melepasi pukul 2 dinihari. Dan sebaik diperkenalkan kepada bos beliau, saya dipelawa naik keatas rumah berkayu ini, untuk bermalam.

Sebaik bangun pagi, sekitar pukul 8 pagi, bersama dengan abang tentera ini, beliau menghantar saya ke MRSM Pengkalan Chepa ini. Rupanya kem tentera bersebelahan sahaja .



December 1980, kini December 2011 - dah 31 tahun dah kenangan ini.


Saya menanti diluar , pagi Sabtu. Waktu ini tiada peperiksaan SPM yang abang saya sedang hadapi.

Saya diseludup masuk ke MRSM melalui rakan rakan abang saya yang begitu 'sporting'. Saya bermalam 2-3 malam jugak didalam MRSM ini. Sebagai adik yang agak rapat dengan Rahman, ya lah, beza usianya hanya setahun, saya terpanggil bila abang saya memujuk saya datang menjengok beliau di Kelantan. Sepanjang ingatan saya, hanya Bapak saorang yang sempat menziarahi beliau sepanjang 5 tahun beliau belajar disana. Kata abang saya, ini tahun terakhir beliau di MRSM, beliau mahu sesaorang datang menjengok beliau sebelum tamatnya Tingkatan 5 beliau.

Nak kata apa, anak Bapak ramai, setakat 1980 ini, kami sudah bersepuloh adik beradik. Sedangkan pendapatan Bapak hanya cukup cukup makan sahaja. Jadi, tiada yang mewah, mahu kemana mana pun, pandai pandai sendiri, walaupun kawan kawan saya menganggap saya tergolong dari keluarga yang berada.

Seronoknya dapat bebas sendirian begini, dan dihari Isninnya, saya bergerak ke Kuala Kerai, mencari keluarga kakak tiri Makcik Miah. Dengan berbekalkan alamat yang diberi Rahman, saya tiba ke destinasi. Duit poket pun Rahman beri lagi. Dari Kuala Kerai, abang tiri saya( anak kepada kakak tiri Makcik Miah) membawa saya menaiki bas ke Kota Bharu, paling tepat berhampiran Hospital, dimana saya menginap selama seminggu dirumah adiknya kepada abang tiri ini.

Disini saya mengekori pakcik ini, saorang pegawai tentera dan isterinya saorang jururawat. Saya pernah bertemu semula dengan pasangan in sekitar tahun 2009 lalu di Shah Alam.

Pulangnya ke Kuala Kangsar dengan menyeludup masuk kedalam bas MRSM yang menghantar setiap pelajarnya dari Kelantan-Pahang-Kuala Lumpur-Perak-Pulau Pinang.

Ingatan saya, kerusi bas untuk abang saya , abang saya serahkan kepada saya, dan beliau berhimpit himpit bersama rakan rakannya dibelakang. Makanan pun pada awalnya saya makan bersama mereka di dewan makan, tapi pada hari kedua, abang saya membawa masuk 'tray' makanan ke dorm mereka. Saya menumpang di bilik Rahman, sedangkan beliau dan rakan rakannya entah tidur dimana setiap malam itu. Yang saya nampak, mereka banyak merapu ketika SPM itu, tapi, pelik jugak , kelulusan cemerlang gila gila pulak tu.

Dan kisah ini saya kongsi bersama anak anak tentang 'kehebatan' Bapak mereka meronda sendirian ketika usia 16 tahun itu.

Tanya emak, apa komen Bapak, anak dia perangai macam tu. "Bapak kau diam aje"
Tapi, saya tahu, bapak diam dalam protes tu...., hehehe .

Jiwa saya memberontak masa itu.Saya suka lakukan sesuatu yang berlawanan dengan keinginan Bapak . Mungkin mahukan perhatian, atau mahukan kebebasan yang lebih sedikit. Sememangnya Bapak dan Emak begitu. Mereka kawal anak anak mereka, kalau tidak, entah apa yang jadi pada saya kini.


Latiff Hariri
2058 12122011
Sungai Petani

No comments:

Post a Comment