Tuesday, 24 January 2012

Chef-Chef Yang DiLantik(i)

Tiga atau empat hari sebelum tibanya acara ini, saya sudah mula sibuk memikirkan apa yang harus saya 'menu'kan untuk acara makan makan ini. Sebagai 'sahabat', tak diminta pun, saya pasti akan membawa ole-olenya untuk santapan kesemua hadirin, walaupun tak tercapai sepenuhnya.


Saya ingat akan budaya indah nenek moyang kita dahulu, bila adanya majlis kenduri kendara begini.Di Kedah beras seguni, merupakan buah tangan rakan terdekat, tak pun sekampit gula, atau setin susu. Sudah saya belikan dua puloh rusuk dan isinya kambing dan 5 ekor ayam yang siap saya proses sendiri dirumah. Malamnya sebelum berangkat, anak anak sudah siap 'merempah-ratuskan' isi isi daging tersebut bersama ayamnya. Waktu ini saya dah lena pun.


Dan paginya Ahad ini pun sudah tersedia 50 biji kuih tapai pulut dan 50 kuih koci sebagai penyeri mulut nanti , yang saya bawa khas dari Sungai Petani ni.


Tiada apa yang mahu saya segerakan pun, lagi pun tuan rumah menyepi sehingga ke hari kedua terakhir baru dimaklumkan, yang kami sekeluarga antara yang dilantik untuk mengawal selia dapur supaya berasap nanti. Saya pulak menyangkakan mungkin sudah terancang beliau bersama rakan kita itu, Si Wak Joe. Tak pun Faridah yang memang terkenal dengan air tangan yang 'menyenakkan' perut bagi yang tahu keenakkan masakan kampung orang kita di Perak ni.


Jadi, pagi Sabtu itu baru saya tukar acara saya. Sepatutnya kami bercadang untuk tiba sekitar pukul 12 tengahari, tapi saya tukarkan waktu perjalanan dan tiba di Taman Tasik tu sekitar 930pagi. Antara yang terawal sampai.


Kami tiba bersama Faridah Abang Man, yang menanti kami di persimpangan penjara itu. Kalau ikutkan urutan, yang pertama hadir, Wak Joe, kedua Faridah dan kami yang ketiga.


Sudah tersedia sarapan, tosei, roti canai dan kuih bahulu di meja . Diminta kami dua keluarga menjamah dahulu sebelum kerahan tenaga dimulakan. Wak Joe sendirian, anak isteri beliau masih dikamar hotel, dengar ceritanyalah.


Tapi, kami menolak, mahu terus kedapur. Saya sendiri teruja, dah pukul 10 ni, tak kan belum mula apa apa ni?


Untungnya bila ada anak anak dara yang terlatih, semua terus kedapur termasuk bapak bapak mak dara. Semua memproses ikan anak borek ni, dan ayam yang dirempahkan untuk digoreng.




Abang Man menyelia cara anaknya Aida memproses anak borek tu.

Sedangkan Aqilah menulis dikertas barang barang yang harus saya dan Abang Man belikan di Pasar Taiping itu nanti, kami bertiga menjamu selera dahulu. Dah pukul 1015 pagi, dan masih banyak rempah ratus yang belum dibeli. Saya terus mencadangkan supaya segera kami berdua keluar.


Eh, tong gas pun kosong? La, ini bahaya ni. Saya mula risau, bila dapur boleh mula berasap ni? Sedangkan hari ini hari minggu, kedai banyak yang tutup.


Tak sampai setengah jam pun, kami selesai dengan tugasan di Pasar Taiping tu. Senang kerja kami, sebab kedua duanya 'kaki memasak'. Sebut aje nama rempah ratus, asam garamnya, kami tahu mencarinya. Ya lah, dua dua pun dah biasa dengan bandar Taiping ni.


Saya yang risau lebih , bila menghampiri pukul 12 ni tong gas masih belum terbeli, kebanyakkan kedai sudah kehabisan stok. Saya cadangkan kepada abang Man, kita pulang dahulu menghantar pulang belian yang lain supaya mudah kerja orang orang dapur.

Sarapan bertiga sebelum ke pasar.

Sesampai dirumah, terus ke pintu dapur. Sudah menanti Wak Joe dan Amran.


Amran sekeluarga yang keempat hadir, sedangkan Wak joe pun sudah menjemput anak isiteri beliau. Dan mereka semua sedang menggoreng ayam di bahagian luar dapur rumah Awie ni.


Ada gas rupanya......lega saya. Tapi Abang Man harus keluar semula untuk mencari gas di persekitaran Kamunting pula. Saya dah mula bersila disisi Wak Joe , memproses anak borek yang saya dan abang Man belikan sebagai persediaan, kiranya berlalu 'kekurangan' dipertengahan majlis nanti.


Amran pun berminat kerja kerja dapur ni.


Kerja renyah menjadi mudah bila ramai yang membantu, dan yang menyelia pun pakar pakar dalam bidang masakan.
Bahagian menyiang ikan serahkan kepada saya dan Wak Joe

Selesai 4 kilo ikan ini, si Asri pun sampai bersama anak anaknya. Abang Man sudah pulang bersama dengan tong gas berisinya. Lega. dapur yang lagi satu tu dah boleh mula berasap.

Di dapur dalam, orang perempuannya, sudah siap menyediakan rempah ratus yang kami belikan tadi, dan proses menumis kari sudah dimulakan oleh Abang Man. Fullamak, semerbah harum dapur ni luar dalam. Macam tu rupanya bila masak banyak banyak begini.

 
Asri tiba sekitar 1230 tengahari. Yang kelima hadir.

Ni, macam ni caranya menuang minyak ke kuali. Faridah mengajar 'laki'nya didapur, hahaha.


Roziah dan isteri Amran, ambil kontrak potong bawang dan cabai, untuk ditaucukan nanti.

Anak dara si Asri pun membantu Abang Man menumis kari sambil diselia saya, hehehe

Masakan ayam masak merah sudah siap dimasak sekitar 115 tengahari. Periuk besar dikeluarkan untuk mengganti tempat kuali ayam merah ni. Sambil menambah panas daging yang direbus tu dengan api dapur yang lebih besar di luar ini, ayam merah sudah mula dihidangkan. Dah kari daging ni pun mula memasuki peringkat akhir untuk dihidangkan.


Tugasan Asri pulak mengangkat masakan untuk dihidangkan ke hadapan ruang tamu. Lagipun, dia yang pertama nak rasmikan masakan ini.

Memandangkan Asri yang harus pulang segera ke Penang untuk tugasan petangnya, Awie mencadangkan dia sekeluarga menjamah dahulu supaya tidak sia sia akan hidangan yang sudah tersedia ini. Tiada kari dagingnya, sekadar ayam masak merah dan sedikit ulamnya. Tak pe lah Asri, janji boleh makan, dan boleh segera pulang. Asri masuk kerja pukul 3 petang. Semangat dia untuk bersama rakan rakan tu yang penting.


Asri bersama anak anak 'pembuka' majlis kenduri tengahari ini.Orang rumahnya kerja

Sebaik selesai makan, mereka bergerak ke Penang menghampiri pukul 2. Rasanya sempat beliau sampai ke pejabat sebelum pukul 3 petang. Tahu sangat dengan pemanduan Taiping - Pulau Pinang ini.


Sebaik Zuhur, sekitar pukul 230 petang rasanya, acara doa selamat dan tahlil pun dimulakan. Acara ini diterajui oleh adik kepada Awie dan Ustaz Amran kita. Diwaktu ini sudah ada 3-4 kereta kehadiran sanak saudara Awie dan Zaharah. Kira terkejut jugak, bila memasuki ruang tengah ni, dah penuh dengan hadirin dua ruang makan yang kami susunkan seperahnya.


Hati nakal saya , macam biasalah, mula was was, "alamak, cukup ke masakan kami didapur ni?" 

Latiff Hariri
0908 24012012
Sungai Petani

No comments:

Post a Comment