Thursday, 4 October 2012

Kesal Yang Tak Sudah - 1 Syawal 1433 Terakhir

Emak berada di Ampang Putri untuk selama 12 hari berturut turut.

Itu pun dengar ceritanya, emak yang mahu pulang dan mungkin juga 'berlakun ' sihat. Saya pasti doktor lebih mengetahui. Memang saya lega, kerana sepanjang Ramadhan itu saya hanya menziarahi emak sekali sahaja, iaitu sekembali dari Bandung.

Lagipun emak sentiasa bertalian bimbit. Apa apa saja cerita atau pesanan, saya talipon atau berpesanan ringkas sahaja. Dan emak cekap membalas atau menjawab setiap panggilan/pesanan ringkas saya

Hospital Gleneagles - Emak disini juga selama 3 hari hari sebelum Raya

Dua belas hari di Ampang Puteri, 3 hari di Gleneagles, sekitar 2-3 hari sebelum Eid Fitri.

Foto syawal terakhir - Mak bersama Kak Sham/Abang Jabar, Rahman/Sarah & Fadhil/Dida

Fadhil , antara anak yang ter'manja lebih' dengan emak.
Foto foto Raya Emak bersama Abang Man, Kak Sham dan Fadhil. Dan saya berani katakan, mereka bertiga antara anak yang begitu taat kepada emak.

Kalau saya taat 2 atau 3 kali, mereka 10 kali!!!

Saya tak rasa apa apa sangat tentang berHari Raya ini tanpa pulang ke kampung. Memang saya pun, setiap Syawal, hanya akan pulang ke Taiping, samaada petang Raya pertama, atau pagi Raya kedua. Jadi bila mengenangkan kesihatan emak yang tidak menentu itu, saya redha sahaja, bahawa Raya kali ini, biarlah emak di rumah Abang/Kakak di Kuala Lumpur

Tetapi perasaan bersalah tetap ada. Bukan sahaja bersalah, menyalahahkan keadaan dan orang lain juga!!

Maafkan saya.

Saya tak tahan sebenarnya bila berSyawal tanpa emak, akhirnya malam itu saya menalipon emak untuk mengucapkan Selamat Hari Raya .

" Assalamualaikum Mak. Selamat hari Raya Emak. Maafkan Boy kerana tak dapat beraya dengan emak tahun ini. "

" Tak mengapa , emak faham.....", suara emak lesu, saya tahu emak tak sihat sepenuhnya. Walaupun foto foto diatas sudah tersiar pada malamnya didalam FB.

" Mak ampunkan dosa dosa Boy ya mak?"

Masih dalam keadaan lemah, emak membalas, " Emak dah lama ampunkan dosa engkau dan semua anak anak emak,......." emak terhenti seketika.

Saya sebak, manik manik kecil mula tergenang di mata saya.

" Emak pun rasa emak tak lama .....", emak menambah sebak saya.

" Mak jangan cakap macam tu.....", saya memintas dan cuba menafikan 'perasaan' sebenar saorang ibu yang tahu hari harinya semakin tersisa.

" Emak dah boleh rasa, emak tak lama .... emak pun dah asing asingkan barang barang kemas emak ni, dah letak dalam envelope masing masing......Engkau punya emak dah asingkan...." , tak sempat emak habiskan ayatnya, saya memotong.

" Emak, saya tak kisahlah emak, saya tak nak barang barang kemas emak. Emak jangan cakap macam ni lagi."

Inilah masaalah anak anak, menafikan cakap orang tua, yang sudah tahu harinya semakin suntuk.

" Abang Man pun dah tahu, engkau punya dalam envelope ada emak tulis nama engkau. Engkau mak bagi special, sesuai untuk anak perempuan engkau pun, ada dua orang....."

"Laaa, emak ni....."

Saya sudah tidak mahu menafikan lagi. Mungkin emak sudah tahu ......Dan saya cuba mengalih topik perbualan dengan emak.

" Emak , emak rehatlah, jangan berjalan kemana mana lagi. Boy dengar pun kak Sham jaga emak dengan baik."

" Yaaa, emak selesa duduk rumah Kak Sham. Nyaman, suasana pun damai. emak tak nak kemana mana dah....."

Itu perbualan terakhir saya melalui talipon dengan emak. Memang suara emak lemah. Saya memang tak sedap hati bila memikirkan kata kata emak itu. Sebelum ini pun emak pernah sakit. Dan saya jua pernah ' mengusik' adik adik setiap kali emak sakit.

"Alah..... emak sihatnya bila tengok muka abang Boy nanti". Memang saya selalu kata begitu, sebab selalunya emak akan pulih dan bergerak aktif seakan tiada apa apa, setiap kali saya bertemu emak.

Emak mudah diajak berjalan. Kali terakhir beberapa bulan yang lalu emak ke Vietnam, Sebelum itu emak ke Singapura, dan dah beberapa kali sendirian ke Australia. jadi anggapan saya, biasalah, emak letih. Di Taiping pun emak pernah tumbang sendirian dirumah, dan hanya dibantu rakan rakan Fadhil untuk membawa emak ke Hospital Taiping. Dan akan segar semula sebaik menerima rawatan.

Tapi, kali ini emak berkata kata dengan ayat ayat ini....'emak rasa emak tak lama dah'.....'emak dah bahagi bahagi dah barang kemas emak kepada anak anak emak'.

Itu yang membuat saya resah semalam dimalam Syawal kedua itu dan perkataan perkataan itu menghantui saya hingga kini.

Bagaimana firasat emak boleh mengetahui hari harinya........

Latiff Hariri
0628 04102012
Sungai Petani


No comments:

Post a Comment