Thursday, 11 October 2012

Kesal Yang Tak Sudah - Pusaka dari Emak


Saya tidak berhubung dengan emak sepanjang minggu kedua Syawal, selain dari memohon ampun dan maaf tempohari. Berita perkembangan kesihatan emak pun saya dapatkan melalui adik adik lelaki saya. Saya tidak mahu mengganggu kesihatan emak dengan menalipon kerap. Biarlah emak rehat dalam penjagaan  Kak Sham.

Hingga ke minggu kedua Syawal, emak masih bertahan dan , adik adik saya menyatakan kesihatan emak masih 'on' dan 'off' , tapi saya yakin, emak berada dalam pengawasan Kak Sham , dan diperhati dari jauh oleh Aman dan adik bujang saya itu.

Memang saya kurang berkomunikasi dengan emak, dengan alasan tidak mahu mengganggu emak, hingga ke tarikh 2 September bila, saya hubungi adik saya dan dibertahu bahawa emak baru sehari berada di Shah Alam.

Saya mula persoal kata kata emak yang tidak mahu kemana lagi. Mengapa mereka 'galak' untuk mencuri emak dari penjagaan Kak Sham? Apakah mereka punya masa seperti Kak Sham itu?!!

Saya memang 'bengkak' dengan perkembangan ini. Saya tidak salahkan emak, lebih kepada anak anak emak yang terlebih akal dan 'getik' itu!!

Akhirnya, tak sampai dua hari emak berada di Shah Alam, kami dikejutkan sekali lagi yang emak dimasukkan semula ke hospital. Kali ini Darul Ehsan Medical Centre.

Laaaaa! Berapa banyak rekod yang mahu dibuka untuk emak ini!

Kisah saya mula berulang alik 2 kali dalam masa seminggu bermula dari 4 September hingga 8 September boleh dibaca di awal penulisan saya dibawah tajuk Perjalanan hidup

Ketika itu tiada saya sentuh tentang kenangan manis lagi pahit bersama emak disaat saat emak masih boleh berkonmunikasi dengan saya untuk kali terakhir minggu itu.

Sebaik memasuki lantai wad emak, para jururawat sedang bersiap untuk menolak emak turun ke bilik Scan. Dan saya terus diberitahu anak , yang emak mahu bertemu saya sendirian. Ya, saya selamba memasuki bilik emak, dan emak didalam lemah menggamit tangan memanggil saya mendekati beliau, langsung menghulurkan  sampul surat berwarna putih , tanpa bicara saya mengambilnya, dan emak memberi isyarat supaya menyimpan nya dari pemerhatian yang lain......

Saya terus menyeluk masuk ke kantung hadapan seluar saya, dan secara serentak jururawat serta pembantunya memasuki bilik, dan terus menolak katil emak keluar. Saya mengekori dari belakang.

Saya berfikir, emak beranggapan pemberiannya pusakanya ini terlalu peribadi bagi dirinya, serta saya merasakan yang sama seperti emak.......

Tapi emak......

'Anak anak emak itu adakalanya terlebih 'sudu dari kuah'. Mereka dah geledah beg emak, dah tahu , siapa dapat apa dari emak. Mereka tanpa segan silu memberi sampul surat emak kepada isteri saya , seoalah olah mereka yang menerima wasiat dari emak supaya memberi kepada isteri saya.'

Sesungguhnya, isteri saya tidaklah se'lapar' itu untuk menerima sesuatu yang bukan hak beliau. Beliau menolak dari menerimanya, kerana hanya anak lelaki ini sahaja yang layak menerima dari tangan emaknya sendiri!!!

Terima Kasih Emak. Boy tak pernah mengharapkan setitik pun barang kemas emak ini. Boy selalu menganggap anak anak perempuan yang akan 'terlebih excited'nya untuk mewarisi harta emak ini. Itu yang Boy selalu katakan kepada emak. Kami anak anak lelaki ni, tak 'hairan' dengan barang barang kemas emak itu. Sebab kami dah tahu dah........

Saya tidak ambil peduli siapa dapat apa dari emak, tak nak tahu siapa yang 'terdapat' lebih dan siapa yang terdapat 'kurang' dari emak. Biarlah hadiah dari emak itu menjadi hak perbiadi masing masing antara emak dan anak ,dan emak sendiri yang tentukan anak mana yang brhak mendapatkan apa dari emak.

Dan saya sebak bila menceritakan kepada anak anak perempuan saya betapa nenek mereka menyayangi mereka, hingga diberi sepasang gelang untuk menjadi milik peribadi mereka berdua.

Sepanjang perjalanan pulang ke Sungai Petani malam itu, saya mengingatkan anak anak saya , supaya mereka akur dengan pengakuan saya ini.

"Abah dah tiada hak lagi keatas rumah Nenek di Sri Kota itu. Abah dah lucutkan hak abah sebaik sahaja pengambilan surat kuasa dari Pejabat Daerah itu bersama Nenek, Pakcik Man dan Mak Sham sekitar tahun 1984/1985 itu".

Sebabnya, abah tak mahu berebut harta pusaka yang tak seberapa itu , sedangkan abah sudah bekerja semasa Tok Hariri meninggal dunia pada Ogos 1984. Masa itu usia abah baru 20 tahun, dan sudah bekerja , sedangkan adik adik yang 10 orang ini masih bersekolah , dari Tingkatan 6 Atas hingga ke usia 8 bulan.

"Tak boleh begitu", tegur pegawai Pejabat Daerah itu, yang juga merupakan rakan sepejabat arwah Bapak.

" Saya tak nak Pakcik, saya dah kerja, adik adik saya ramai lagi, saya boleh cari rezki saya sendiri, saya tak tahu bagaimana masa hadapan adik adik saya, biar saja.... , jangan masukkan nama saya."

Ternyata emak tidak setuju juga, dan saya berkeras tidak mahu dimasukkan nama saya didalam geran rumah Taman Sri Kota itu.

Dan saya akhiri disini sahaja kisah rumah Seri Kota itu, kerana hingga kini saya tidak pernah melihat geran rumah itu lagi. Saya tahu dalam simpanan emak sepanjang masa, cuma saya harap abang Man dapat menyimpannya sebagai Ketua keluarga Hariri sekarang ini.

Ini surat terakhir dari Emak kepada anaknya ini yang terlebih akal dalam serba serbi.


Terimakasih mak.

Kasih sayang, dan kisah suka duka saya dengan emak akan saya bawa bersama hingga keakhir hayat saya.  Setiap anak punya kisah peribadi bersama emaknya, dan saya juga punya kisah suka duka kehidupan bersama emak bermula dari seawal usia 10 tahun hingga ke usia 48 tahun ini.

Tak banyak yang saya rasa abang saya alami sepertimana saya alami bersama penghidupan harian emak diawal remaja saya. Dan saya pun tidak banyak kenangan bersama emak sebaik saya mendirikan rumah tangga saya diawal tahun 1986 itu, dan dilewat usia emak, dimana saya rasa, abang saya lebih merasainya.

Dan , setiap dari kita punyai kisah tersendiri pahit manis bersama emak kita, dan tidak dinafikan ada yang tiada langsung kisah antara ibu dan anak ini.


Latiff Hariri
0838 10102012
Sungai Petani

No comments:

Post a Comment