Bee Gees

Monday, 12 September 2011

Persiapan Rumah Terbuka - 5 syawal/3 September

Pagi Jumaat tu, macam dah diduga, memang terbabas.....alasan tak nak solat subuh ni!!

Sarapan pun ala kadar aje, kuih raya.

Tak kemana mana hari keempat ni, lebih kepada rehat dan berinternet.

Selesai solat Jumaat di masjid Al-Amin, sambung rehat lagi, hingga sekitar lepas asar, baru nampak kehadiran tuan punya khemah yang ditempah, memasang khemah diluar rumah. Rumah sekangkang kera, entah muat entah idak. Saya tak tolong langsung. Sejak mejak ni, memang tulang temulang ni terasa tiada kederatnya untuk bekrja berat. Hanya perhati disebalik cermin pintu kerja kerja diluar. Hm, lagi pun semua dah di atur, kita rehatlah.

Muat untuk satu khemah. Kancil dah kantoi baterinya, jadi tak dibawa keluar.

Kesemuanya siap sekitar maghrib, dan selepas Isyak , caterer pulak datang menyediakan meja makanan dan persiapan tempat hidangannya.

Saya ambil peluang melencong kerumah Zaki, rakan baik sejak saya mula mula bermastautin di Sungai Petani ni.

Sembang sembang kosong sempena ziarah Syawal.

Pulang sekitar 940 malam. Seperti biasalah, pukul 10 dah hilang..........

Esoknya seawal pukul 840 pagi sudah hadir pembantu pembantu dapur dimulakan oleh kak Mar, kakak kepada Roziah, dan isteri isteri jiran terdekat diketuai isteri si Najib kita ni.

Elok sikit dari kapal nak berlayar tu......

Sementara kami diluar sediakan meja , sambil sarapan roti canai dan kopi 'o' panas.

Meja dah siap dalam 10 set, maknanya boleh sambut tetamu sekitar 40 orang serentak, tak termasuk yang duduk didalam rumah, dan duduk duduk dibuaian dan kerusi tanpa meja, yang kesemuanya boleh mencecah 60 orang jika keadaan terdesak.

Sekitar 1115 pagi, makanan pun sampai, lega.....ini yang terpenting ni.

Tart membawa nasi dua baldi.

Meja yang dah berseri dengan pengalasnya.

ADO -ADO yang sedang bertugas.

Sebut ADO ni, emak saya pernah menyakat 'sesaorang' yang terlalu pandang akan darjat kedudukan ni. Dek kerana 'boring' agaknya dengan gelagatnya, bila emak ditanya berjawatan apa, emak pun jawab selamba - ADO .

Bila jawab begitu, orang yang menanya tu bukan main lagi anginnya, ya lah, dapat berkawan dengan ADO....hehehe, sebenarnya kisah ini terjadi masa emak berusia sekitar 30an dulu. ADO tu - assisten dapur officer lah.

Tapi, saya tak nafikan, setiap kali jiran tetangga bekenduri ni, wajib para isteri tetangga datang membantu.

Sekitar 1150 pagi Ustad Ibrahim dan anaknya Isa sudah sampai. Segera saya talipon jiran jiran lelaki yang lain untuk dimulakan acara doa tahlil dan kesyukuran . Kami buat acara ini dalam 7-8 orang sahaja. Memohon restu dariNya.


Isa, Ustad Ibrahim dan saya. Ustad dengan saya, sudah termeterai ikatan adik abang, itu yang kami berdua declare masa di Makkah dahulu.



Bacaan Surah Surah dimulakan oleh Ustad sekitar pukul 12.

Niat kami terlaksana sudah. Amin....

Latiff Hariri
2105 09092011
Sungai Petani

Thursday, 8 September 2011

Melencong ke Lenggong

Syawal kali ini, 'haba'nya agak perlahan. Itu yang boleh saya rasakan. Saya agak kurang mahu bertandang kerumah rakan taulan ni. Memang tiada rencananya untuk kemana mana kecuali ke Ipoh, dan mahu pulang ke Sungai Petani.

Mungkin juga hati kami lebih teruja untuk menyambut kehadiran tetamu kami pada Sabtu ini.

Keluar dari Tol Kuala kangsar sekitar 310 petang, beratur agak lama dek kerana banyaknya kenderaan.

Terus memandu laju ke Lenggong. Saya sudah lewat ni, janjinya pukul 3 tepat, dan saya jangka akan hanya tiba ke destinasi sekitar 340 petang. Dan sekali lagi Abang Man/Faridah gagal ditemui dek gara gara terlencong kearah lain.

Tiba di Rumah Rehat tepat 340 petang.

Sudah menanti Manan dan Jefri. Kira saya dan Roziah antara yang terawallah!!


Manan dan Jeffry yang sentiasa ceria

Amnah, Rokma, Hasnah, Manan, Jefry, Khairul, suami Amnah, Latiff & Asri

Mana makan minum ni?

Haaa, semua dah ceria....nak isi perut tak berpuasa 6 ni....hehehe

Asri part melayan tetamu memang kesukaanlah. Terutama hak pompuan.

Anak anak Roziah/Latif dan anak Jamaliah/Asri.

Hero hero Amnah. Cerita sikit petuanya Amnah....

Tak kaleh kat lain dah

Wak Joe yang hadir sebagai penutup


12 yang hadir, termasuk Hasnah.

Kalau dijumlahkan kesemua yang bertandang ni, ditambah isteri Asri, suami Amnah, suami Hasnah, anak anak teruna Amnah, dan anak Asri dan saya, kesmuanya berjumlah 26 orang.

Ok kan? Dalam masa serentak bertemu muka dengan 25 anak cucu Lenggong ni.

Mereka yang di Ipoh dah mula warwarkan pertemuan sekali lagi di Ipoh dalam masa terdekat ni. Yang di KL dah berlaku , cuma tunggu daerah tengah ni pulak.

Tak habis lagi nak bersembang.

Rokma nak keluarkan duit raya dari handbag dia?

Elok pun, sebaik kami keluar, hujan pun turun. Saya meluncur laju ke Banggol Batu rumah Chu. Kena ziarah juga, satu kewajipan menziarahi orang tua ni, saudara dekat kepada arwah bapa mertua saya @ bapa Roziah ni.

Chu yang berusia 77 tahun. Masih sihat tiada penyakit langsung.

Di rumah Chu sekadar 30 mint, kami teruskan perjalanan pulang. Pada awalnya saya mahu guna laluan Sumpitan-Batu Kurau, tapi, dek kerana sudah berjanji dengan Nora, kami ke Padang Rengas dulu.


Makan malam Nasi Ayam dirumah Nora.

Bergerak meninggalkan Padang Rengas sekitar pukul 8 malam. Memasuki tol Changkat Jering, dan kami tiba di Sungai Petani sekitar 945 malam. Jalan tidak sesak, kecuali yang menghala ke selatan.

Lega dapat bantal sendiri.

Esok dah Jumaat, 4 Syawal.

Latiff Hariri
2228 07092011
Sungai Petani

Tuesday, 6 September 2011

Kunjungan ke Ipoh - 3 syawal 1432/1 Sept 2011

Pagi 3 Syawal ni, tiada sarapan istimewa. saya pun malas nak beratur panjang di Restoran Bismillah tu, walau pun rindulah jugak dengan kuah kuning hitam tu.

Lagi pun, mihun goreng semalam masih berbaki sebelanga besar didalam peti sejuk emak.
Selasai bersarapan, sekitar 830 malam kami uncakpan selamat tinggal kepada emak dan abang adik saya yang masih berkhemah dirumah emak ni.


Hanya 3 keluarga ini di pagi 3 Syawal 1432, bersama emak.

3 teruna remaja pada 3 Syawal 1432H. Insyaallah, mereka bakal warnai bumi ini dengan IzinNya. Amin....

Lebuhraya agak nyaman pagi ni. Terus kami meluncur laju ke Ipoh. Saya rancangkan 3 rumah di Ipoh, sebelum bergerak kedaerah kenangan.

Sekitar 940 pagi kami sudah keluar tol mengarah ke Chemor.

Rencananya mahu ke rumah Abang Man/Faridah dan Roslan Wahab disini. Tapi, langkah kiri nampaknya kerumah Abang Man/Faridah. Lalu tujuan kami mengarah ke rumah Roslan.

Roslan dan saya sudah merancang pertemuan ini seawal 1 Syawal, samaada di Taiping ataupun di Ipoh.

Berhari Raya ini, pengisiannya bukan sekadar perut, hehehe, lebih kepada satu ziarah silaturrahim. Jadi, tiada masaalah sekiranya tiada hidangan istimewa, walaupun sekadar kuih raya. Tapi, adatlah, emak Roslan sudah sediakan mee , dibelinya 5-6 bungkus nasi lemak untuk sarapan kami sekeluarga.

Sesuatu yang menarik berlaku didalam perbualan kami berdua ni. Kita ni cucu cicit Nabi Adam dan Hawa, tiadalah menjadi janggal, tambahan semuanya bersekolah di Taiping.

"Tip, nama Janaton tu memang nama salasilah keluarga u ke?"

Saya mengangguk.

" Dan Aziz Ishak tu....?" Roslan cuba memastikan saya benar benar dari salasilah ini.

Satu, satu saya kisahkan kepapa Roslan , kisah 60an-70an dahulu tentang Aziz Ishak dan Bapak saya. Roslan mengangguk tanda pasti dan benarkan kisah saya.

" Emak saya pun dari salasilah ini......"

" Ya, kalau Lan nak tahu, nenek saya yang perempuan tu salasilahnya pun , ramai yang asalnya dari Teluk Intan."

Tujuannya, kerana saya tahu Arwah ayah Roslan pun pernah menetap di Teluk Intan.

Roslan sudah mula teruja. Lalu dipanggilnya emak, untuk bersama berbual dimeja makan ini.

"Makcik ingat kepada Rahmah, sebab kami sama sama di Taiping dahulu."

"Ya, itu makcik Rahmah, anak Tok Jed." Saya mengesahkan kisahnya.

Lalu saya buka blog Rahman untuk bacaan Roslan sekeluarga.

3 syawal 1432, baru saya dan Roslan tahu, yang kami datang dari salasilah yang sama - The Jennatons. Yang asalnya dari Batu Bara, Bukit Tinggi, Sumatera Barat.


Cepat Izzuddin, ambil foto dua sahabat yang baru tahu mereka bersaudara rupanya, bukan sekadar kawan sekolah.

Saya kemaskinikan kepada Roslan , yang Faizan dan Abu Bakar Hashim pun , kira sepupu duai kepada saya juga, bahkan mereka lebih dekat dengan saya. Dan Zakri Khir, senior kami di KE-1 tu, merupakan sepupu jauh kita juga.

Saya belum pasti dimana Roslan berada didalam salasilah ini, yang pasti , emaknya sudah sahkan yang beliau datang dari satu rumpun.

Bergerak meninggalkan catatan sejarah ini dari rumah Roslan sekitar 1010 pagi. Memandangkan yang Faridah/Bang Man tiada, saya ura urakan kepada Roslan yang saya mahu 'kejutkan' Nazri.

"Eh, dia balik Sarawaklah." Roslan mengingatkan saya.

La, kena tukar rencana lagi ni

Terus ke rumah Zairul aje lah, jangan fikir banyak.

Janjinya dengan Abang Baco ni sekitar 12 tengahari, tetapi pukul 1030 pagi kami sudah muncul.

Ternyata Ala dan Bang Baco ada temujanji dengan doktor gigi, jadi, kami pandai pandaikan diri di rumah Makcik Ros ni.

Hingga akhirnya kami makan tengahari disini, lewat, sekitar pukul 220 petang, gara gara menanti kepulangan Ala dan bang Baco dari klinik.

Lauk gulai ketam, yang mana, ketamnya dibawa dari Laut Sulu, menjadi rezki kami dari Laut Selat Melaka. Semua ketentuanNya.

Kami tidak boleh lama lagi disini, sekitar 245 petang , kami memohon diri, walau hanya seketika berbual dengan mereka selain dari berbual panjang dengan Makcik Ros tadi.

Haaa, tu , auntie Ala dah keluarkan sampul tu.

Pakcik Baco mengalukan kehadiran Aqilah ke Sandakan dalam masa terdekat. Itulah istimewanya bila kita punyai rakan taulan dari serata pelusuk Nusantara ni.

Mengarah ke lebuhraya terus ke Kuala Kangsar. Kenderaan mula banyak ke utara ni, dan tidak mahu mengalah kekiri bila kenderaan bertali arus.


Latiff Hariri
1224 04092011
Sungai Petani

Sunday, 4 September 2011

Kunjungan Hatta-Roslinah

Bila Syawal tanpa kehadiran tetamu ni, yang paling senang untuk saya lakukan ialah baring baring dihadapan TV. Mata tak menonton, tetapi terpejam cuba lena. Dan selalunya saya gagal.Saya bukan jenis yang suka lena siang.

Rancangannya mahu ke kuburan di Assam Kumbang, tetapi suka bermain dengan sikap 'ah nantilah, ah nantilah' akhirnya tak kemana. Alasan diberi , kerana ada tetamu nak datang pulak. Tetamu jauh, yang seringnya bertemu setiap Syawal, dan setiap kali jika saya bertandang ke Sepang.

Hatta dan Roslinah.



Mereke berdua tiba tanpa anak anak sekitar pukul 540 petang. Tunggu ajelah Hatta dan Roslinah, Cik Bie sedang memasak didapur.

Puas hati jika ada tersedia makanan panas untuk Hari Hari Raya ni, kuih raya hanya sebagai selingan.

Emak saya mengenali Hatta sekitar 1979. waktu tu, kami berdua sering pulang dari asrama ke Padang Rengas dan Kuala Kangsar, bersaingan, adakalanya saya singgah dahulu ke rumah Hatta, atau Hatta menyusul kemudian ke Kuala Kangsar.

Dan terus mesra dua keluarga ini hingga kini.

Hatta dan Roslinah bersama kami hingga ke pukul 7, untuk beliau bergerak pulang ke Padang Rengas. Pakcik beliau menetap di blok yang sama dengan rumah emak saya ni, jarang jarang dah saya jumpa sejak mejak ni.

Sambung berbual hingga ke kereta, sebenarnya banyak benda yang nak dikongsikan terutamanya tentang perkembangan anak anak.

Tahun ini saya tidak bertandang ke rumah Hatta di Padang Rengas

1 Syawal, ada saya bersms dengan Zul Norman(Zul Hoki) untuk pertemuan, tetapi belun ditetapkan bila dan dimana. Bila sudah berhubung dengan Badrul, lalu diatur satu pertemuan di restoran Rahman Taiping sekitar pukul 9 malam.

Badrul yang pertama hadir , diikuti saya, dan Zul.

Malangnya, saya terlepas pandang , yang foto Zul tidak terakam didalam kamera digital ini, ruginya!!


Badrul dan Jawaed(terlindung) sementara Fairuz berbual dengan rakan dari St George.

Khairul Azhar(Ja'a) dan Badli.

Malam tu hanya kami bertujuh, berbual kosong dan diselang seli dengan politik.

Selalunya beginilah, bila puak yang disana berkata kata, puak disini membisu, sebagai tanda pandangan politik rakan rakan hanya selingan sebenarnya, yang utamanya persahabatan berkekalan dan tiada perbahasan demi sebuah Syawal yang indah.

Hmmm, saya boleh tahu siapa 'siapa' didalam lingkungan sahabat sahabat saya ini.


Latiff Hariri
1150 04092011
Sungai Petani

Saturday, 3 September 2011

Satu Kunjungan 34 kehadiran - The Mahmuds

02092011/2 Syawal 1432H

Ini yang sebenarnya!!

Tradisi yang terpelihara dari keluarga Allahyarham Pak Ngah Mahmud dan Mak Ngah Kalsom ni. Keluarga kakak kepada emak saya ni, yang tradisinya dimulakan oleh Pak Ngah yang akan bersama anak menantu beliau setiap Syawal menjelma sekitar tahun 70an , hingga kini diteruskan oleh anak anaknya, yang juga sepupu sepapat saya. Selalunya diterajui oleh abang Net, dan diselia bersama Kak Aya dan abann Nai. Kak Rohaya anak yang sulong, diikuti abang Zulkarnain anak kedua. Dan jumlah kehadiran mereka tidak pernah bersusut setiap tahun.

Saya dan keluarga Hariri, gagal dalam budaya ini, kerana kami lebih 'sendirian' bila laksanakan budaya berziarah Syawal ini.

Kali ini juga saya dapat bertemu mereka, sebab selalunya, saya sudah 'keluar rumah' lebih awal untuk berziarah, dan rezkinya tahun ini dapat bertemu.

Kehadiran mereka memang dinanti emak dengan seperiuk besar nasi dan gulai untuk makan tengahari , lebih mengenyangkan dari berkuih raya.



The Mahmuds menenggelamkan The Hariris.

Kak Rohaya Mahmud

Sepupu duai yang seangkatan dengan saya, lebih tepat 'senior' saya melebihi 4 tahun keatas. Semuanya pangkat abang abang. Abang Nai, Abang Omar, Abang Net, Ibrahim dan RahmanHariri.

Jamuan makan tengahari bergulaikan lauk asam ayam, hati berlada hitam dan sayur rebus plus sambal belacan.

Abang Nai melayan anak bongsunya.

Mereka berada di rumah emak sekitar 1 jam lebih, siap solat Zuhur bila mereka harus beregerak seterusnya ke rumah keluarga terdekat.

Bersalam salaman dan bermaafan.

Suka dengan acara bersalaman ini, tertamanya bila anak anak menghulur tangan dan disambut dengan sampul duit raya dari saya dan Rahman.

Abang Net siap announce tu, salam dengan YB YB dulu....hehehe.

Yes, anak anak gembira bila bersalam dengan tangan berisi.

Ini yang saya suka setiap kali Syawal ni. Budaya kunjung mengunjung dan saling mengenali anak cucu yang baru lahir serta menantu menantu baru yang sertai keluarga besar ini.

Sepi seketika bila mereka pulang, dan saya cuba untuk lena seketika di ruang hadapan, tapi gagal, bukan mudah untuk tidur siang ni buat diri saya.

Tunggu siapa yang datang lagi selepas ini.


Latiff Hariri
1051 02092011
Sungai Petani

Friday, 2 September 2011

1 syawal 1432H - YANG DIKUNJUNG



Awal Subuh ni, bersiap awal. Kami tidak menziarahi kubur disetiap pagi Syawal, kerana kuburan ayah dan ibu mertua saya ni terletak lebih kurang 10km dari rumah.

Selesai bersarapan sekitar 730 pagi, saya dan Izzuddin bergerak ke Masjid Al-Amin, yang jaraknya sekitar 500m dari rumah. Teramatlah dekat, tapi saya yang jauh selalunya.



Masjid Al-Amin dan Tahfiz Al-Amin bersebelah. Kelihatannya, kerangka dewan kuliah sedang dalam pembinaan di hadapan Masjid.

Masjid dibawah pentadibiran Ustad Ibrahim , yang merupakan Imam melebihi 11 tahun serta usianya 6 tahun muda dari saya. Dibawah naungan beliau, terbinanya bangunan Tahfiz 3 tingkat bernilai Rm900,0000.00 ini, pembinaan dewan kuliah yang bernilai RM180,000.00, serta pembelian tanah perkuburan yang bernilai RM387,698.13 . Jumlah harga tanah masih kekurang RM144,000.00 dan dewan kuliah pun masih kekurangan RM140,000.00 , setakat 1 Syawal 1432H ini.

Saya pasti dibawah seliaan Ustad Ibrahim, sesuatu yang mustahil pasti berlaku.

Bilal yang bersaorang baru memulakan Takbir sekitar 820pagi.

Saya duduk menjauh dari bilal, tak reti....ish ish ish.

Bermulanya solat Idul Fitri sekitar 910 pagi berImamkan Ustad Ibrahim, khutbah dan tahlil pun dipimpin beliau. Secara rasminya selasai bersalaman dengan Imam ini sekitar 1010 pagi. Dan saya melangkah pulang ke rumah.

Sedang bersiap , itu yang bang Rahman datang bertandang, jadi rumah pertama yang saya sekeluarga bertandang adalah di Taman Seri Tanjung, kejiranan sebelah taman kami
Dirumah pertama kunjungan kami, rumah Bang Mat, jiran Seri Tanjung.

Bersama orang kuat Seri Tanjung, Bang Latiff TNB, Bang Omar (bapa bebudak bujang tu) pekena sorang sedikit lemang dan rendang.Ini rumah kedua melepasi pukul 1240 tengahari.

Terus ke rumah Yazid, jiran setaman.

Ini rumah Yazid, jiran didalam Taman Teratai Indah. Kelihatan isteri Cikgu Mat bersebelahan Aqilah, guru kepada Izzuddin di SMKSL.

Cadangnya mahu membalas kunjungan Abang Rahman, tapi beliau dah keluar berziarah. Jadi ke empat adalah rumah Cikgu Hashim, ayah kepada Nasir, rakan/jiran bebudak bujang ni. Menu di rumah Nasir - Nasi Daging. Malangnya foto tidak dirakam dek teruja menerkam Nasi Daging, dah lama tak makan tenghari ni.

Terus ke rumah seberang jalan, rumah Pak Tam Det.


Bersama Pak Tam dan Mak Tam, Guru Quran anak anak saya, dan mekanik terdekat bila kereta saya perlu dpelihara dan dirawat.

Selesai berkisah dengan Pak Tam, kami kerumah keenam ini.

Ini Imam Masjid Al-Amin, Ustad Ibrahim, beliau boleh bertutur lebih dari 8 bahasa....termasuk BM dan BI. Sekali pandang iras Ustad Badrul Amin tu.

Bergerak ke kampung , menziarahi pusara tok dan nenek anak anak ni. Kuburnya bersebelahan, walau jarak berpisah antara arwah berdua kira kira 5 tahun. Senang perkuburan ini, sebab terjaga bersih. Disini juga tersemadi, abang sulong Roziah.


Kubur emak dan bapa mertua saya.

Dari perkuburan Permatang Berangan ini, kami ke rumah abang Majid, sepupu Roziah. Disini kami dihidangkan laksa.

Terus ke Permatang Kedundung, berhampiran hutan simpanan kami tu, kerumah Kak Ara, rumah arwah abang Roziah ni. Disini menunya nasi minyak, wow!! Power tu

Kerumah Pak Lang Ak, yang menyelia hutan simpanan kami tu. Sekadar beraya dan pekena sorang segelas air sirap. Perut dah penuh.


Di rumah Pak lang Ak

Dan rumah terakhir , rumah si Jan, yang mengerjakan bendang kami tu.

Ini cucu buah kedua kami.


Kira punya kira , lebih 9 rumah yang saya ziarahi dihari pertama Syawal. Dicampur Rumah ALLAH dipagi Raya, genaplah 10 Rumah!!

Yang leganya, malam tiada tetamu yang datang betandang. Sekitar pukul 10 saya dah 'hilang'.

Eh, silap ek, bukan tak suka tetamu hadir disebelah malam,cuma lega dapat lena panjang. Rumah saya terbuka sepanjang Syawal ni kecuali waktu bekerja. Lagi pun tidur awal ni, sebab esoknya nak balik awal ke Taiping.

Latiff Hariri
0822 02092011/4 Syawal 1432
Sungai Petani