Bee Gees

Sunday, 14 October 2012

Kesal Yang Tak Sudah - Pengantin Datang

Subuh Selasa , 11 September 2012

Seakan akan Hari Raya suasananya.

Semua wajah wajah biasa anak anak emak dengan keriangan. Termasuk cucu cucu emak. Seolahnya Hari Raya pertama sebaik selesai solat Eid Fitri dan kesemua berjalan beriringan tangan dengan emak. Saya dapat melihat emak dengan senyuman paling manis penuh pengertian kebahagian dari saorang ibu yang berjaya membesarkan tigabelas anak tanpa suami disisi.

Tiada kata kata yang emak ucapkan selain senyuman.....

Tiba tiba dilangit kelihatan sebuah kapalterbang berlegar, semakin lama semakin menghampiri ke bumi....

Dan yang mengasyikkan kami ketika itu adalah juruterbangnya.

Sepasang pengantin berkot hitam dan bergaun putih berseri melambai lambai kepada kami sekeluarga.

Emak masih tersenyum kepada saya.....

Tersedar dari lena sebaik kedengaran tadarrus dari Masjid Al-Amin berdekatan.

Laaaa, aku bermimpi....getik hati saya. Saya cuba memutar semula mimpi indah sebentar tadi, mencari maksud yang tersirat.



2 December 2006 di Kompleks Nyiur Melambai, Jakarta Utara , di rumah kak Ida. (Kak ida sepupu kepada Arwah Yusni Jaafar) - Emak, Izzuddin, Aishah, Bie, Aqilah, Kak Ida, Uncle , Faiqah dan saya.


Petangnya Selasa yang sama, sekitar selepas Asar, saya menerima panggilan dari adik saya, yang menyatakan bahawa emak akan berpindah ke HUKM dari DEMC . Katanya , tiada siapa yang menguruskan perpindahan kecuali beliau saorang. Saya minta Zali bersabar dan bertenang. Abang Man sudah lakukan yang terbaik supaya emak mendapat peerhatian yang 'lebih' dari kenalan beliau di HUKM.

Saya terkenang sekitar 1984 yang lalu dimana, saya sendiran pada usia 20 tahun, mengendalikan Bapak yang tiba tiba jatuh, sebelum subuh itu , untuk mengerjakan Solat. Saya sendirian menguruskan kemasukan Bapak ke Hospital dengan panduan emak. Kini...... Zali laluinya. Itulah istimewanya anak lelaki, Zali......

Saya tahu maksud tersirat didalam mimpi itu, emak yang mengajar saya apa ertinya, tapi hati saya menafikan.

Tidak , emak tak akan pergi meninggalkan kami semua.

Adik lelaki yang saorang lagi ini cuba memberi jawapan yang lebih tepat sebaik saya berkongsi kisah mimpi ini.

" Abang Boy, yang pengantin tu, emak dan bapak kan?" 

Saya menggeleng gelengkan kepala saya tanda tidak betul.

Tapi, jawapannya , sudah ada. Emak akan pergi, walaupun hati saya tetap menafikan mimpi itu. 


Latiff Hariri
1108 14102012
Sungai Petani

Thursday, 11 October 2012

Kesal Yang Tak Sudah - Pusaka dari Emak


Saya tidak berhubung dengan emak sepanjang minggu kedua Syawal, selain dari memohon ampun dan maaf tempohari. Berita perkembangan kesihatan emak pun saya dapatkan melalui adik adik lelaki saya. Saya tidak mahu mengganggu kesihatan emak dengan menalipon kerap. Biarlah emak rehat dalam penjagaan  Kak Sham.

Hingga ke minggu kedua Syawal, emak masih bertahan dan , adik adik saya menyatakan kesihatan emak masih 'on' dan 'off' , tapi saya yakin, emak berada dalam pengawasan Kak Sham , dan diperhati dari jauh oleh Aman dan adik bujang saya itu.

Memang saya kurang berkomunikasi dengan emak, dengan alasan tidak mahu mengganggu emak, hingga ke tarikh 2 September bila, saya hubungi adik saya dan dibertahu bahawa emak baru sehari berada di Shah Alam.

Saya mula persoal kata kata emak yang tidak mahu kemana lagi. Mengapa mereka 'galak' untuk mencuri emak dari penjagaan Kak Sham? Apakah mereka punya masa seperti Kak Sham itu?!!

Saya memang 'bengkak' dengan perkembangan ini. Saya tidak salahkan emak, lebih kepada anak anak emak yang terlebih akal dan 'getik' itu!!

Akhirnya, tak sampai dua hari emak berada di Shah Alam, kami dikejutkan sekali lagi yang emak dimasukkan semula ke hospital. Kali ini Darul Ehsan Medical Centre.

Laaaaa! Berapa banyak rekod yang mahu dibuka untuk emak ini!

Kisah saya mula berulang alik 2 kali dalam masa seminggu bermula dari 4 September hingga 8 September boleh dibaca di awal penulisan saya dibawah tajuk Perjalanan hidup

Ketika itu tiada saya sentuh tentang kenangan manis lagi pahit bersama emak disaat saat emak masih boleh berkonmunikasi dengan saya untuk kali terakhir minggu itu.

Sebaik memasuki lantai wad emak, para jururawat sedang bersiap untuk menolak emak turun ke bilik Scan. Dan saya terus diberitahu anak , yang emak mahu bertemu saya sendirian. Ya, saya selamba memasuki bilik emak, dan emak didalam lemah menggamit tangan memanggil saya mendekati beliau, langsung menghulurkan  sampul surat berwarna putih , tanpa bicara saya mengambilnya, dan emak memberi isyarat supaya menyimpan nya dari pemerhatian yang lain......

Saya terus menyeluk masuk ke kantung hadapan seluar saya, dan secara serentak jururawat serta pembantunya memasuki bilik, dan terus menolak katil emak keluar. Saya mengekori dari belakang.

Saya berfikir, emak beranggapan pemberiannya pusakanya ini terlalu peribadi bagi dirinya, serta saya merasakan yang sama seperti emak.......

Tapi emak......

'Anak anak emak itu adakalanya terlebih 'sudu dari kuah'. Mereka dah geledah beg emak, dah tahu , siapa dapat apa dari emak. Mereka tanpa segan silu memberi sampul surat emak kepada isteri saya , seoalah olah mereka yang menerima wasiat dari emak supaya memberi kepada isteri saya.'

Sesungguhnya, isteri saya tidaklah se'lapar' itu untuk menerima sesuatu yang bukan hak beliau. Beliau menolak dari menerimanya, kerana hanya anak lelaki ini sahaja yang layak menerima dari tangan emaknya sendiri!!!

Terima Kasih Emak. Boy tak pernah mengharapkan setitik pun barang kemas emak ini. Boy selalu menganggap anak anak perempuan yang akan 'terlebih excited'nya untuk mewarisi harta emak ini. Itu yang Boy selalu katakan kepada emak. Kami anak anak lelaki ni, tak 'hairan' dengan barang barang kemas emak itu. Sebab kami dah tahu dah........

Saya tidak ambil peduli siapa dapat apa dari emak, tak nak tahu siapa yang 'terdapat' lebih dan siapa yang terdapat 'kurang' dari emak. Biarlah hadiah dari emak itu menjadi hak perbiadi masing masing antara emak dan anak ,dan emak sendiri yang tentukan anak mana yang brhak mendapatkan apa dari emak.

Dan saya sebak bila menceritakan kepada anak anak perempuan saya betapa nenek mereka menyayangi mereka, hingga diberi sepasang gelang untuk menjadi milik peribadi mereka berdua.

Sepanjang perjalanan pulang ke Sungai Petani malam itu, saya mengingatkan anak anak saya , supaya mereka akur dengan pengakuan saya ini.

"Abah dah tiada hak lagi keatas rumah Nenek di Sri Kota itu. Abah dah lucutkan hak abah sebaik sahaja pengambilan surat kuasa dari Pejabat Daerah itu bersama Nenek, Pakcik Man dan Mak Sham sekitar tahun 1984/1985 itu".

Sebabnya, abah tak mahu berebut harta pusaka yang tak seberapa itu , sedangkan abah sudah bekerja semasa Tok Hariri meninggal dunia pada Ogos 1984. Masa itu usia abah baru 20 tahun, dan sudah bekerja , sedangkan adik adik yang 10 orang ini masih bersekolah , dari Tingkatan 6 Atas hingga ke usia 8 bulan.

"Tak boleh begitu", tegur pegawai Pejabat Daerah itu, yang juga merupakan rakan sepejabat arwah Bapak.

" Saya tak nak Pakcik, saya dah kerja, adik adik saya ramai lagi, saya boleh cari rezki saya sendiri, saya tak tahu bagaimana masa hadapan adik adik saya, biar saja.... , jangan masukkan nama saya."

Ternyata emak tidak setuju juga, dan saya berkeras tidak mahu dimasukkan nama saya didalam geran rumah Taman Sri Kota itu.

Dan saya akhiri disini sahaja kisah rumah Seri Kota itu, kerana hingga kini saya tidak pernah melihat geran rumah itu lagi. Saya tahu dalam simpanan emak sepanjang masa, cuma saya harap abang Man dapat menyimpannya sebagai Ketua keluarga Hariri sekarang ini.

Ini surat terakhir dari Emak kepada anaknya ini yang terlebih akal dalam serba serbi.


Terimakasih mak.

Kasih sayang, dan kisah suka duka saya dengan emak akan saya bawa bersama hingga keakhir hayat saya.  Setiap anak punya kisah peribadi bersama emaknya, dan saya juga punya kisah suka duka kehidupan bersama emak bermula dari seawal usia 10 tahun hingga ke usia 48 tahun ini.

Tak banyak yang saya rasa abang saya alami sepertimana saya alami bersama penghidupan harian emak diawal remaja saya. Dan saya pun tidak banyak kenangan bersama emak sebaik saya mendirikan rumah tangga saya diawal tahun 1986 itu, dan dilewat usia emak, dimana saya rasa, abang saya lebih merasainya.

Dan , setiap dari kita punyai kisah tersendiri pahit manis bersama emak kita, dan tidak dinafikan ada yang tiada langsung kisah antara ibu dan anak ini.


Latiff Hariri
0838 10102012
Sungai Petani

Thursday, 4 October 2012

Kesal Yang Tak Sudah - 1 Syawal 1433 Terakhir

Emak berada di Ampang Putri untuk selama 12 hari berturut turut.

Itu pun dengar ceritanya, emak yang mahu pulang dan mungkin juga 'berlakun ' sihat. Saya pasti doktor lebih mengetahui. Memang saya lega, kerana sepanjang Ramadhan itu saya hanya menziarahi emak sekali sahaja, iaitu sekembali dari Bandung.

Lagipun emak sentiasa bertalian bimbit. Apa apa saja cerita atau pesanan, saya talipon atau berpesanan ringkas sahaja. Dan emak cekap membalas atau menjawab setiap panggilan/pesanan ringkas saya

Hospital Gleneagles - Emak disini juga selama 3 hari hari sebelum Raya

Dua belas hari di Ampang Puteri, 3 hari di Gleneagles, sekitar 2-3 hari sebelum Eid Fitri.

Foto syawal terakhir - Mak bersama Kak Sham/Abang Jabar, Rahman/Sarah & Fadhil/Dida

Fadhil , antara anak yang ter'manja lebih' dengan emak.
Foto foto Raya Emak bersama Abang Man, Kak Sham dan Fadhil. Dan saya berani katakan, mereka bertiga antara anak yang begitu taat kepada emak.

Kalau saya taat 2 atau 3 kali, mereka 10 kali!!!

Saya tak rasa apa apa sangat tentang berHari Raya ini tanpa pulang ke kampung. Memang saya pun, setiap Syawal, hanya akan pulang ke Taiping, samaada petang Raya pertama, atau pagi Raya kedua. Jadi bila mengenangkan kesihatan emak yang tidak menentu itu, saya redha sahaja, bahawa Raya kali ini, biarlah emak di rumah Abang/Kakak di Kuala Lumpur

Tetapi perasaan bersalah tetap ada. Bukan sahaja bersalah, menyalahahkan keadaan dan orang lain juga!!

Maafkan saya.

Saya tak tahan sebenarnya bila berSyawal tanpa emak, akhirnya malam itu saya menalipon emak untuk mengucapkan Selamat Hari Raya .

" Assalamualaikum Mak. Selamat hari Raya Emak. Maafkan Boy kerana tak dapat beraya dengan emak tahun ini. "

" Tak mengapa , emak faham.....", suara emak lesu, saya tahu emak tak sihat sepenuhnya. Walaupun foto foto diatas sudah tersiar pada malamnya didalam FB.

" Mak ampunkan dosa dosa Boy ya mak?"

Masih dalam keadaan lemah, emak membalas, " Emak dah lama ampunkan dosa engkau dan semua anak anak emak,......." emak terhenti seketika.

Saya sebak, manik manik kecil mula tergenang di mata saya.

" Emak pun rasa emak tak lama .....", emak menambah sebak saya.

" Mak jangan cakap macam tu.....", saya memintas dan cuba menafikan 'perasaan' sebenar saorang ibu yang tahu hari harinya semakin tersisa.

" Emak dah boleh rasa, emak tak lama .... emak pun dah asing asingkan barang barang kemas emak ni, dah letak dalam envelope masing masing......Engkau punya emak dah asingkan...." , tak sempat emak habiskan ayatnya, saya memotong.

" Emak, saya tak kisahlah emak, saya tak nak barang barang kemas emak. Emak jangan cakap macam ni lagi."

Inilah masaalah anak anak, menafikan cakap orang tua, yang sudah tahu harinya semakin suntuk.

" Abang Man pun dah tahu, engkau punya dalam envelope ada emak tulis nama engkau. Engkau mak bagi special, sesuai untuk anak perempuan engkau pun, ada dua orang....."

"Laaa, emak ni....."

Saya sudah tidak mahu menafikan lagi. Mungkin emak sudah tahu ......Dan saya cuba mengalih topik perbualan dengan emak.

" Emak , emak rehatlah, jangan berjalan kemana mana lagi. Boy dengar pun kak Sham jaga emak dengan baik."

" Yaaa, emak selesa duduk rumah Kak Sham. Nyaman, suasana pun damai. emak tak nak kemana mana dah....."

Itu perbualan terakhir saya melalui talipon dengan emak. Memang suara emak lemah. Saya memang tak sedap hati bila memikirkan kata kata emak itu. Sebelum ini pun emak pernah sakit. Dan saya jua pernah ' mengusik' adik adik setiap kali emak sakit.

"Alah..... emak sihatnya bila tengok muka abang Boy nanti". Memang saya selalu kata begitu, sebab selalunya emak akan pulih dan bergerak aktif seakan tiada apa apa, setiap kali saya bertemu emak.

Emak mudah diajak berjalan. Kali terakhir beberapa bulan yang lalu emak ke Vietnam, Sebelum itu emak ke Singapura, dan dah beberapa kali sendirian ke Australia. jadi anggapan saya, biasalah, emak letih. Di Taiping pun emak pernah tumbang sendirian dirumah, dan hanya dibantu rakan rakan Fadhil untuk membawa emak ke Hospital Taiping. Dan akan segar semula sebaik menerima rawatan.

Tapi, kali ini emak berkata kata dengan ayat ayat ini....'emak rasa emak tak lama dah'.....'emak dah bahagi bahagi dah barang kemas emak kepada anak anak emak'.

Itu yang membuat saya resah semalam dimalam Syawal kedua itu dan perkataan perkataan itu menghantui saya hingga kini.

Bagaimana firasat emak boleh mengetahui hari harinya........

Latiff Hariri
0628 04102012
Sungai Petani


Monday, 1 October 2012

Kesal Yang Tak Sudah - Ziarah Emak

Bila sahaja saya sampai ke Kuala Lumpur petang itu, saya terus memandu laju ke Ampang melewati tol Sungai Besi. 

Behubung dengan restoran Nasi Arab itu untuk di 'take away' sahaja.

Betanyakan Rahman berapa ramai yang ada disisi emak, saya dah niat nak beriftar bersama semua.

Sesampai di Ampang Puteri, emak terbaring lesu.......

Saya tak dapat nak baca apa yang bermain diminda emak. Andaian saya emak merajuk dengan saya, itu sahaja....... Hanya membisu seribu bahasa, Kak Sham , Aishah, Bie dan Izzuddin yang melayan apa jua permintaan emak. Memang saya rasa bersalah dengan emak . Saya tak berani berkata kata, bila melihat wajah murung emak. Saya tahu emak kecewa dengan saya...... 

Ini foto rakamcuri yang saya ambil dengan ipad, tanpa emak mengesyaki bahawa rakaman telah dibuat. Tak semua foto emak ini akan saya siarkan, lebih kepada milik peribadi yang abadi.....

Kak Sham, Bie dan Izzuddin melayan emak dengan nasi kambing Arab dengan harapan selera emak terbuka. Emak memang sejak 2-3 tahun terakhir ini sudah tidak suka dirakam fotonya, juga tidak selera lagi untuk memakan apa jua makanan yang boleh dibeli di Casual Market Taiping, mahupun di Keuteow Dolly Taiping.

Setiap kali saya pulang dan bertanyakan apa yang emak mahu, dengan menyebut makanan makanan kegemaran keluarga, emak akan membuat isyarat badan seakan geli geleman. Bahkan dua tahun terakhir musim durian di kebun saya pun, beliau menolak untuk dihantarkan barang sepuloh dua puloh biji durian,katanya:-

 " aku dah tak boleh makan durian banyak banyak dah  Boy oi".

Saya tak pernah ambil hati dengan penolakan emak, dan tak terfikir langsung bahawa itulah tanda tanda awal yang selera makan emak telah di'tarik' sedikit demi sedikit oleh Nya. Malam itu sekitar 930, saya bergerak pulang tanpa ada apa apa perasaan risau terhadap emak. Saya tahu, abang dan kakak boleh memberi perhatian  yang terbaik untuk  emak.

Tapi keesokkan paginya sebaik saya bangun dari tidur di rumah, saya diberitahu oleh adik saya , emak bertanya, " Aboy dimana?"

Hati saya luruh lagi......

Bila tanggal 13 Ogos 2012 menghampiri, saya ada berbual dengan adik adik lelaki saya, yang saya risau memikirkan kesihatan emak, dan secara tak langsung tarikh 13 Ogos, setepatnya 13 Ogos 1984, dimana tarikh itu emak menjadi balu dan kami semua menjadi anak anak yatim.

"Abang Boy janganlah risau, doa banyak banyak, itu yang terbaik...." , kata kata semngat adik adik lelaki saya. Dan tahun ini juga saya tidak saya tidak mahu ingatkan emak akan tarikh duka itu.

Tahun 2011 lalu, sebaik subuh, (bahkan setiap tahun) saya akan bersms kepada kesemua adik adik lelaki dan emak saya , sepaya memperingati bapak, dan tahun 2011 juga emak membalas pesanan ringkas saya ,

 " Thanks boy emak lupa.sedeh pula." Sender:Mak +6012900++++ Sent: 12-Aug-2011 18:18:39

Saya pulak rasa bersalah kerana mengingatkan emak. Dan pesanan ringkas ini saya simpan didalam handphone saya hingga kini.


Sepertimana yang saya ceritakan tadi, saya tak pasti apa yang emak fikirkan tentang kehadiran saya. Emak ternyata tidak sihat, dan renungan matanya kepada kehadiran saya adalah 'kosong' . Emak tidak menunjukkan apa apa tanda yang menyatakan perasaan hati dia.....

Saya beranggapan emak merajuk kerana saya menolak ajakan berbuka tempohari.Dan saya sepatutnya menatang emak sepanjang malam itu, tapi saya mengelak dari melakukannya. Alasan Izzuddin dan Roziah memberi perhatian kepada emak, sudah memadai bagi saya.

Sehingga sekitar 915 malam, saya membuat keputusan untuk pulang ke SP sahaja, dan ketika itu emak memberi reaksi mengapa cepat sangat pulangnya, mengapa tidak bermalam di Kuala Lumpur sahaja?

Entahlah, hati saya rasa kosong dan tawar malam itu.......Mungkin petanda jua yang emak tidak mahu ada yang berbekas dihati sekiranya saya mendampingi emak sepenuhnya malam itu.

Saya pulang dengan jiwa kekosongan......Entah mengapa?


Latiff Hariri
1548 30092012
Sungai Petani

Saturday, 29 September 2012

Kesal Yang Tak Sudah - Emak Merindui Anak Anaknya....

12 Ramadhan 1433/31 Julai 2012

Duabelas hari berpuasa ni, saya sudah rancangkan  perjalanan percutian ke Bandung.

Bergerak laju menuju ke LCCT supaya pasti tidak terlewat.

Kami melepasi Sungai Buloh menghampiri maghrib. Talipon berdering.

Emak.

" Boy, kau tak nak berbuka puasa dengan emak ke?"

Saya memberi seribu satu alasan untuk tidak memasuki KL dalam suasana Maghrib begini. Buatnya berlaku kesesakan teruk memasuki pekan Ampang itu, habis rancangan perjalanan jauh saya malam itu nanti!

Emak memang kecewa dengan jawapan saya. Dia kata datang lah barang seketika untuk bersama emak. Tapi, saya masa itu tidak fikirkan apa apa. Saya tahu nada suaranya kecewa, dan mengharap, tapi saya senang emak berada didalam jagaan kakak sulong saya di Ampang. Emak katanya sihat, tapi nada suaranya keletihan. Saya endah tak endah dengan pujukan emak.

Sekelip mata masuk satu pesanan ringkas kedalam talipon bimbit saya.

Aman.

'Kamu tak singgah berbuka puasa dengan emak dulu?'

Begitulah serba ringkas, tapi tegas dari Rahman, abang saya.

Saya tahu emak meluahkan kekecewaannya atas penolakan ajakan beliau kepada Rahman. Saya boleh baca  dengan nada tegas saorang abang bertanya kepada adiknya.

Jawapan mudah saya, saya tidak mahu tersangkut didalam kesesakan jalan raya. Nanti balik dari Bandung, saya akan singgah jumpa emak bersama ole olenya.

Saolah olahnya, besar benar ole ole yang akan saya bawa pulang untuk emak nanti. Saya tidak terfikir yang emak mahukan saya berbuka puasa bersama beliau untuk Ramadhan terakhir ini.


Ampunkan Boy , emak......


13 Ramadhan 1433/1 Ogos 2012

Setibanya kami di Bandung dinihari itu, sekitar 1 tengah'pagi' 2 August, tiada lagi panggilan talipon yang boleh memasuki talipon saya. Biarlah malam ini seketika, tanpa berita dari Malaysia.

Walaupun saya bangun seawalnya selepas bersahur, dan ke sisi persekitaran hotel mencari toko simkad, ternyata tiada yang beroperasi seawal pukul 7 pagi. Saya mundar mandir dipersekitaran, sedangkan Izzuddin lena dibuai mimpi bersama ibunya.

Hanya jam 8 baru saya dapat menukar simkad kepada talian Indonesia. Terus saya bersms anak anak di LCCT dan ternyata mereka masih menantikan penerbangan.

Memebritahu Rahman akan talian ini juga, membawa 'kerisauan dan penyesalan' yang berpanjangn untuk sepanjang hari itu.

Sedang asyik berbelanja di Pasar Baru, masuk panggilan dari Rahman, memberitahu berita yang emak sekali lagi dimasukkan ke Hospital. Saya mula rasa bersalah menolak 'jemputan' emak untuk berbuka bersama semalam.

Tapi petang itu, lewat senja, bila foto foto ini di muatnaik di FB Rahman, hati saya mula ceria.

Sebenarnya saya tertipu dengan foto foto ini.......


Suite VVIP untuk emak, sememangnya anak anak mampu beri yang terbaik, tetapi, Allah sudah rancangkan sesuatu yang lebih baik untuk emak

Anak anak emak berkenduri iftar di bilik emak..

Saya memujuk hati saya sepanjang di Bandung dengan mengatakan emak berada didalam jagaan anak anak dan doktor doktor terbaik di Ampang . Ianya hanya sebagai penyedap hati saya sahaja.

Hari hari emak makin tersisa......


 Latiff Hariri
1738 22092012
Sungai Petani

Tuesday, 25 September 2012

Kesal Yang Tak Sudah - Minta Maaf!!?

Sabtu 1 Rmadhan 1433Hijrah/ 21 Julai 2012

Terima panggilan dari adik bujang saya si Zali.

" Abang Boy, maafkan saya, saya terlupa terus, memang semua saya beritahu, tapi lupa langsung pada abang Boy. Mungkin juga masa tu ingat ada yang lain dah beritahu abang Boy", itu jawapan merayu adik saya.(tapi  tak lah merayu, ikhlas mengaku silap)

" Tak apa Zali, abang Boy faham. Beritahu Fadhil, sorrylah, dia jadi mangsa keadaan. sebab dia yang menyampaikan berita ini, jadi , dia terimalah 'bombard' dari abang Boy..."

Berkali kali Zali memohon maaf dan mengaku semuanya salah beliau.

Saya terima ajelah permohonan maaf Zali. Bukan disengajakan pun. Tapi, kesyukuran tetap ada dihati, sebab dalam tempoh sehari sahaja emak sudah berada di Wad biasa , selepas seharian berada didalam ICU . Saya memang 'garang' dan tegas dengan adik adik terutamanya yang tidak tahu menghormati yang tua. Setakat usia 48 ni, saya dapati tiada adik lelaki saya yang 'terlebih' bila berhubung dengan saya. Mereka tahu tahap saya, dan selalunya sayalah yang terakhir menjadi rujukan. Sepatutnya begitu, kami masih punya kakak sulong dan abang yang tua, lebih baik berhubung terus dengan mereka.

Saya tanya Zali, perlukah saya turun ke Kuala Lumpur, dan bagaimana keadaan emak.

Berita gembiranya, emak akan keluar dari Hospital selewat lewatnya petang esok atau pagi Ahad. Katanya emak sudah stabil.

Jadi saya padamkan sahaja niat saya untuk bersama memenuhi wad Hospital Kelang.

Malam itu, saya yang jenis suka padamkan talipon bimbit setiap kali berada di katil ini, tetiba terima masuk satu pesanan ringkas, pengirimnya Mak . Saya tulis semula disini, tanpa diedit atau diperbetulkan ejaan ringkasnya: -

"Salam boy maaf emak kerana ta bagi tau emak sakit.semalam emak1hari di icu,hari baru lega.emak pengsan di pasar. Rupanyabadan emak ta ada ayer dan pun darah pun taada ayer. Doc masok drip 6 bottles baru nomal.."Sender Mak +6012900**** Sent: 20-July-2012 22:01.21

Melompat saya dari katil membacanya.

Terus saya menalipon. Memang benar , sebelum ini saya tidak menalipon emak, kerana tidak mahu mengganggu rehat emak.

" Assalamualaikum emak.....", saya memulakan bicara sayu saya. "....Emak, mengapa pulak emak kena minta maaf dengan Boy. Mana pulak emak buat silap... mereka ...adik adik yang tak beritahu.......", itu penjelasan saya bahwa saya tidak 'memarahi' emak. Saya memang terasa betapa salahnya saya ketika itu. Mengapa emak pula yang harus rasa bersalah? Emak tak sedarkan diri dan berada dalam ICU 24 jam, mana lah pulak emak boleh memberitahu saya.

Atau emak memang boleh baca perasaan saya, yang kununnya merajuk dan kecewa. Ish, mengapa saya jadi begini?

Emak menjawab dalam suara lesu. Diceritakan satu persatu insiden di Pasar kelang itu bersama adik saya si Zali. Suaranya lemah, tapi bersemangat untuk berkongsi cerita.

Saya hanya menasihatkan emak supaya tidak aktif berada diluar lagi. Saya tahu jerebu teruk melanda Kelang dan Shah Alam, sedangkan emak mempunyai rekod Asma yang teruk. Saya hanya meminta emak segera pulang kerumah Rahman dan berehat sahaja, jangan aktif lagi.

Pesanan ringkas terakhir dari emak kepada saya...., yang saya simpan hingga kini .

Ampunkan dosaBoy emak.....maafkan abang Boy, Fadhil dan Zali.

Latiff Hariri
1638 22092012
Sungai Petani




Sunday, 23 September 2012

Kesal Yang Tak Sudah - Emak Masuk ICU

Jumaat 30 Shaaban 1433 Hijrah/20 Julai 2012

Kalau kalendar Islam tidak bertelagah, saya pasti Jumaat ini merupakan 1 Ramadhan.

Hari bekerja saya. Seperti biasa, saat saat yang dinanti untuk menyambut Ramadhan keesokkan harinya sudah hampir tiba.

Khatib pun berkhutbah memeperingat akan keistimewaan bulan yang ditunggu tunggu ini.

Saya bersedia ala kadar sahaja, masih ada simpanan makanan basah didalam peti sejuk di rumah.

Ada terkenang pada emak, siapalah yang akan balik ke Taiping berpuasa dengan emak. Walaupun saya tahu, emak mesti berada di Kuala Lumpur. Tapi, manalah tahu, kalau kalau ada adik yang mengajak emak balik disaat akhir untuk berpuasa pertama di Taiping.

 
Hospital Tengku  Ampuan Rahimah, Kelang. Disini emak diICUkan, dan disini juga anak kedua saya dilahirkan. 

1992 - Pengarah Hospital adalah mantan jiran sebelah rumah emak di Sri Kota, Taiping. Bila beliau mendapat tahu bakal anak kedua saya akan dilahirkan, terus beliau menalipon ke Wad Bersalin,dan  yang saya pasti selepas itu, Jururawat Jururawat memberi perhatian istimewa kepada isteri saya da  anak saya (tapi memang tiada komplen pun dari kami) , cuma ada Jururawat yang menanya, saudara  mara dgn Doktor.....ke?(maaf , menyimpang)


Kerja seperti biasa, seakan akannya tiada apa apa penting yang berlaku dalam hidup saya ini. Rutin harian saya  - pergi kerja, balik kerja, ada kesempatan, jengok kebun, itu sahaja.

Sekitar selepas Asar, saya terima panggilan talipon dari adik saya , Fadhil, yang merupakan penduduk tetap Pulau Pinang itu.


Saya pun menjawab, "Hallo...."

"Assalamualaikum abang Boy, Fadhil ni...."

"Waalaikummussalam...", ringkas jawapan salam sebagai memberi laluan kepada Fadhil untuk memulakan perbualan.

" Abang Boy...abang Boy tahu tak mak masuk hospital?"

Masuk Hospital?

"Masuk hospital? Dimana? Kenapa?", soalan bersahaja saya.

" Emak jatuh kat pasar Kelang semalam, terus pengsan dan tak sedar diri seharian..."

" Astaghfirullah!! Mengapa? Mengapa tak beritahu abang Boy?"

" Laaaa, abang tak tahu ke? Tak ada yang memberitahu abang ke?" Soalan Fadhil seakan panik.

"Tak ada....", saya masih boleh bersahaja, mengawal hati.

" Emak jatuh kat pasar dengan Zali, mereka berdua, tetiba emak tumbang, tunggu ambulan datang, terus masuk wad di Hospital Kelang, masuk ICU sehari. Sehari emak tak sedar...... tapi sekarang dia dah sedar dah", Fadhil memberi penjelasan ikhlas dan  bertanggungjawab kepada saya.

Saya sudah terasa disisihkan dalam soal begini. Soalan cepumas saya berikan kepada Fadhil, tetapi tetap menyatakan kepada beliau bahawa bukan niat saya berkata demikian kepada beliau, lebih kepada persoalan kepada adik adik terutamanya yang bersama emak sepanjang hari itu.

" Alah, rilexlah abang Boy, semua terlupa, bukan disengajakan....."

"Yalah... lain kali jangan beritahu abang Boy, tak pun................................"
Jawapan tegas saya kepada Fadhil

Begitulah bermulanya episod duka kami sekeluarga. Emak saya yang melahirkan 12 zuriat bermula dari tahun 1962 pada usia 23 tahun, hingga ke anak bongsu yang ke duabelas, pada usia 44 tahun. 

Sepanjang lebih kurang 22 tahun , purata satu setengah tahun setiap saorang anak, emak pasti  melahirkan!!.

Bebai. Itu ungkapan paling tepat untuk diri saya ketika itu. Mengapa saya dilupakan. Sedangkan Fadhil yang bermastautin di Pulau Pinang itu, sudah terpacak dikatil emak di Hospital Kelang. Mengapa Fadhil tidak mengajak saya bersaing sama ke Kelang dari Utara ini? Wajibkah saya turun ke Kelang segera, atau pastikah emak selamat didalam jagaan pihak Hospital Kelang, dan mendapat perhatian sewajarnya dari adik beradik saya di Kuala Lumpur.

Tapi, mengapa abang saya membisu? Hati tertanya mengapa emak masuk GH Kelang? 
Abang saya pun tak hubungi saya, hm, pasal ni?

Saya marah dan kecewa...........


Latiff Hariri
1558 22092012
Sungai Petani