Friday, 11 October 2013

Moga Aman DiSisiNya , Layar Delta

Air mawar di pusara Ayah......Al-Fatihah

Sebenarnya saya tidak dapat menceritakan tentang kisah kehidupan rakan saya yang diRahmatinya ini. Saya kenal Arwah pun terlalu singkat. Saya cuba memutar semula kenangan diawal perkenalan dengan beliau. Beliau merupakan warga tetap Sri Tanjung melebihi 20 tahun(?), sedangkan saya baru mencecah 13 tahun.

Sedangkan kalau benarlah pengiraan saya ini, Sri Tanjung pun sudah tersedia ada lebih dari 20 tahun. Mungkin arwah sudah memiliki rumah disitu lebih dari 25 tahun. 

Ini semua saya congakkan sendiri bila memikirkan betapa singkatnya usia beliau yang baru melepasi 46 tahun pada Mei 2013.

Pertemuaan pertama, mungkin pada mesyuarat pertama Teratai Indah pada penghujung 2012 dimana kisahnya saya rakamkan diSINI DAN diSINUN.
Waktu itu saya tak boleh nak ingat akan nama nama setiap jiran tetangga terdekat yang hadir. Bukan silap saya , lebih kepada kurangnya interaksi antara kejiranan. Saya lebih mengenali jiran jiran terdekat, sedangkan arwah berada di Sri Tanjung. Saya tak ambil pusing sangat akan nama nama mereka yang hadir pada malam itu.

Tapi, bila sesekali selepas pertemuan pertama itu, saya adalah juga bertandang ke khemah kawalan yang disediakan untuk tujuan memberi sokongan kepada kejiranan ini yang berjaga malam. Saya mula mengenali siapa dia Mohd Fauzi ini.

Dia tak pernah tiada disetiap kunjungan saya. Suaranya riuh bermain karem (carrom). Digandingkan bersama Najib Ahmad, dan pencabarnya Cikgu Najib dan Li, permainan yang mudah diselesaikan dalam 20 minit setiap permainan berlanjutan hingga larut malam, apabila usik mengusik(dibaca kutuk perli) dimulakan beliau. Adakalanya, saya rasa ter'over' jugak mereka berempat ini!!

Memasuki masjid Al-Amin sekitar 1115 pagi, 7 Oktober 2013.

Bila jamuan Hari raya diadakan pada Syawal akhir yang lalu, tugasan mudah yang beliau pilih adalah menyadiakan minuman panas dan sejuk untuk para hadirin. Saya kira , tahun 2013 adalah permulaan kami untuk lebih mengenali sesama kami.

Sepanjang petang itu, tak kering gusi beliau menyakat rakan rakan terdekat beliau. Hinggakan anak saya Izzuddin mengambil beberapa aksi foto beliau yang begitu gembira menggayakan cara cara membuat teh tarik. (lepas tu baru saya tahu beliau merupakan pengusaha restoran di Bedong).

Pertama kali mengenali sesaorang 'sambil lewa' ni, saya kurang berinteraksi dan bukan menjadi budaya saya bertanya kerjaya sesaorang pada awal perkenalan. Jadi, selepas acara itu baru saya tahu akan bidang yang beliau ceburi untuk membesarkan anak anak beliau.

Dan terakhirnya, dua hari sebelum hembusan nafas terakhir beliau, terlintas dihati saya, dalam masa terdekat ni saya mahu mencuba untuk makan makan  di restoran beliau di pekan Bedong itu....tapi.

Walkie talkie ini tak pernah sunyi dari usik mengusik beliau  sepanjang 2 bulan terakhir sebelum pemergian beliau..

Kenakalan Fauzi pada 30 Syawal 1434 yang lalu terserlah.... saya nyatakan 'ekor' arwah betul betul maximum petang ini.

Petang 6 Oktober 2013 sekitar pukul 3 petang, saya diberitakan oleh Li bahawa Fauzi dalam keadaan kritikal di Hospital Sultan Abdul Halim akibat serangan jantung. Panggilan ini memberhentikan jantung saya seketika, saya maklumkan kepada Tart yang bersama dengan saya tentang berita duka ini.

Tapi, tak sampai 2 minit kemudiannya, sekali lagi Li menalipon saya memberitahu bahawa Fauzi sudah tiada lagi. Terdiam saya.

Tidak mahu mempercayai berita ini, saya menalipon Najib minta pengesahan. Mungkin saya yang bermimpi!

Tiada apa yang perlu dipersoalkan ketentuanNya.

Kenangan Ayah bersama anak isteri....anak anak adalah segalanya pada Fauzi.

Terus berkejar ke Hospital, dan ternyata, terbaring sudah jasad Fauzi di Bilik Mayat. Saya terus meluru, dan sayunya hati melihat wajah tenang beliau yang seakan akan sedang tidur itu. Tiada kerutan , seolah olah tenang sahaja pemergian beliau.

Dari mulut rakan rakan yang bercerita. Arwah sekitar pukul 11 lebih terasa pening di restoran, dan beliau lalu duduk bersandar dikerusi. Mungkin menyangka hanya pening pening biasa, isteri dan rakan rakan hanya membiarkan beliau berdiam diri seketika hinggalah beliau tidak sedarkan diri, dan Ambulans pun dipanggil.

Arwah katanya pergi ketika berada didalam Ambulans menuju ke Hospital......


Sebulan dua sebelum saat terakhir beliau, kata kata kematian adalah ucapan harian beliau kepada rakan rakan seangkatan. 

Ada satu ketika itu sedang bermain carrom beliau berseloroh dengan menyatakan sekiranya beliau mati, kebumikan sahaja di kubur baharu sebelah taman kami ini. Dan permintaan beliau itu diiyakan oleh salah saorang rakan," Ya....nanti malam, kami bawa meja carrom ni pi main tepi kubur hang, ajak hang main sama!"

Sampai begitu sekali ingatan beliau tentang waktu yang semakin singkat itu.

Saya juga  dimaklumkan tentang betapa sayangnya beliau terhadap anak anak hinggakan sudah belasan tahun usia mereka, masih tidur dipangkuan ayah. 

Hari hari terakhir beliau juga, sempat menziarahi Ayah dan Bonda di Pendang. Dengar cerita lawak jenaka seloroh dengan ibunya berlebihan sungguh, dan seakan akan tidak mahu pulang ke Sungai Petani petang itu. Mungkin beliau sudah tahu, saat akhirnya sudah sampai......

Fauzi, apa pun tulisan saya ini tentang diri anda yang sudah tiada ini, tiadalah saya tahu sebelumnya. Terlalu singkat rasanya persahabatan kita ini dan saya tiada upaya untuk menghampiri setiap jiran terdekat yang berada di taman kita ini.

Maafkan saya Fauzi, dan maafkan saya jiran tetangga semua.

Ameen.

Al-Fatihah

Latiff Hariri
1848 10102013
Sungai Petani

No comments:

Post a Comment