Bee Gees

Monday 11 February 2013

Keempat Yang Pertama

Pagi Sabtu 09022013 ini, saya terbabas....

Sekitar 720 pagi baru keluar dari rumah, memanglah suasana masih kelam, tapi, ikut waktunya kira dah lewat. Bila subuh terlalu awal sekitar 545 pagi suatu ketika dahulu, jam 630 saya sudah duduk mengadap pokok pokok pisang ini. 

Ini dah kira lewat sejam.

Mencantas dedaun kering , tak terperasan adanya setandan yang dilewatkan niat, buat sedekah sahaja kepada anak anak burung ini.

Banyak berangan, hingga Berangan ketiga pun tak perasan, sebaiknya saya kirim kepada tetamu yang datang minggu yang lalu.

Saya simpan untuk rekod ingatan akan hasilnya pertama Berangan ini.

Yang pertama menjadi habuan saya sekaluarga. Yang kedua saya titipkan kepada rakan saya Osman Abu Bakar untuk dibawa pulang ke Bandar Tun Hussein Onn, Yang ketiga(foto atas) sedekah kepada anak anak burung.

Yang keempat...


Beratnya 12.5kg, yang paling besar , selalunya sekitar 7kg sahaja

Keluar dari kebun , saya terus ke pekan Tikam Batu, tujuannya untuk mencari sarapan pagi, tetapi kedai Nasi lemak Pak Man ni tutup pulak!

Terus saya ke gerai buah buahan dihadapan. Ada dua gerai, yang mana menjadi pilihan ni?

"Ya abang, bang nak buah pisang?"

" Tak, sebenarnya abang yang nak tanya ni, abang nak tolak pisang." , balas saya.

"Pisang apa yang abang nak tolak? Ada bawa?" Adik ini membalas.

"Ada, ada, pisang berangan.", saya mula 'excited' bila adik ini memberi reaksi positif.

Terus saya berlari lari anak ke  arah kereta saya.

Sebaik saya membawa masuk setandan pisang ini, adik ini terus mengajak saya masuk kebelakang gerai beliau. Beliau mahu saya menggunakan lorong belakang gerai beliau untuk transaksi yang akan datang, lebih mudah kerja, katanya.

"Abang, macam ni..... abang dah janji dengan gerai lain tak?"

Saya menggeleng....., "tidak..."

"Ok, kira jadi, lepas ni abang anta kat saya aje, jangan beri pada orang lain. Berapa tandan yang abang ada? Buah ni kira besar, abang kursus di mana dulu?"

"Kursus?" , saya membalas kebingungan.

" Ya, abang kursus tanam pisang di mana?"

Hahaha, saya ketawa dalam hati.

Akhirnya kami bertukar tukar nombor talipon, dan beliau mahu saya menghantar 5 tandan setiap minggu. Kata kata nasihat beliau berikan untuk saya praktikkan di kebun.  

Kami bersalaman dan bertanyakan nama masing masing. "Saya Fadzli," katanya. Orang Sungai Layar jugak rupanya, tetapi sudah menetap di Tikam Batu lebih 15 tahun

"Abang orang koperat ya?' soalan akhir beliau. Saya senyum aje.....

Tebu hitam yang merumpun.

Gembira bila akhirnya ada gerai yang mahukan hasil kebun saya. Sepanjang jalan mendendangkan lagu J Mizan yang berkumandang di Radio Klasik. Terus bersarapan di tengah Bandar Sungai Petani..

Sarapan pagi, siap bungkus untuk anak anak pun dah mencecah RM19.50 .

RM22.50 untuk 12.5kg pisang Berangan keempat, akan saya tabungkan bersama hasil tebu dibulan Ramadhan 1432 yang penuh kedukaaan itu 

Dah mula congak lagi, setiap minggu jual 5 tandan, purata RM10 setandan pun, dah kira lepas duit dapur seminggu, tak pun duit minyak kancil berulang alik ke pejabat 5 hari......

Latiff Hariri
1028 09022013
Sungai Petani

No comments: