Antara perkara yang genting berlaku dengan
perjuangan KGMK dan KPGMS ialah apabila, keengganan pihak Kementerian Pelajaran
dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menguatkuasakan Dasar Pelajaran
Kebangsaan 1956 serta menangai isu-isu yang dikemukakan oleh guru Melayu,
menimbulkan rasa tidak puas hati guru-guru Melayu. Oleh itu golongan guru
mengambil keputusan untuk merenggangkan hubungan dengan pihak kerajaan
Persekutuan terutama kementerian itu. Hal ini terjadi disebabkan terdapatnya
jurang perbezaan pendapat dan mewujudkan ketidaksefahaman antara kedua-duanya.
Tindakan mereka itu berlandaskan alasan yang kukuh kerana kegagalan pelaksanaan
Laporan Razak 1956. Berikut dinyatakan sebab-sebab kegagalan Laporan Razak
1956;
i.
Pengenalan sistem persekolahan majmuk di peringkat sekolah rendah.[1] Dalam laporan
itu menyatakan bahawa ‘penubuhan sekolah-sekolah rendah standard dengan bahasa
kebangsaan sebagai bahasa pengantar, tetapi bahasa pengantarnya mungkin
Inggeris, Tamil atau Kuo-Yu’[2]
ii.
Kegagalan untuk membina sekolah-sekolah menengah aliran Melayu,[3]
iii.
Pengaruh penjajahan yang begitu jelas di dalam struktur dan kandungan
kurikulum laporan itu,[4] dan
iv.
Kekaburan pada dasar pelajaran secara keseluruhannya.[5]
Oleh itu, dalam masa yang sama, Utusan Melayu telah
melaporkan suasana dan kemelut yang melanda ketika itu;
“10,000 guru-guru Melayu akan bertindak tegas sekiranya
bahasa Melayu tidak dijadikan bahasa pengantar di sekolah.
… KPGMS menyesali sikap kerajaan mengekalkan pegawai-pegawai
dagang di Kementerian Pelajaran.”[6]
Akhbar Utusan Melayu juga menyokong sepenuhnya segala
tuntutan guru-guru Melayu kepada pihak kerajaan Persekutuan dan Kementerian
Pelajaran supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah
rendah dan menengah seluruh negara.[7]
KPGMS menuntut supaya Sekolah Menengah Bahasa Pengantar
Bahasa Melayu diadakan pada awal tahun 1958 ini dan bahasa pengantar di Sekolah
Menengah Melayu sekarang ini hendaklah dengan bahasa Melayu. Tuntutan ini tidak
diindahkan oleh yang bertanggong jawab tetapi tuntutan sekolah China nampaknya
dihargai ya’ni selepas merdeka memberontak kerajaan menambahkan lagi sebahagian
besar wang peruntokan pelajaran China yang cukup mewah itu pada hal bangsa
Melayu yang miskin ini tetap tinggal dengan miskin dengan tidak mempunyai
Sekolah Menengah sendiri dan jauh dari Sekolah tinggi.[8]
Pada masa yang sama juga, parti yang memperjuangkan Islam,
PAS turut menyambut baik tindakan dan langkah-langkah golongan guru Melayu
dalam memperjuangkan isu-isu bahasa Melayu dan sekolah aliran Melayu dengan
memberi sokongan padu dan berjanji akan berjuang bersama-sama dengan
persatuan-persatuan guru negeri dan KPGMS.[9] Menurut seorang
guru agama dan juga Timbalan Yang Dipertua PAS iaitu Zulkifli Mohammed, parti
Islam ini bersama-sama berjuang untuk mencapai hasrat golongan guru Melayu itu
dan yakin bahawa melalui pendidikan dapat menyatukan bangsa.[10]
[1] Dipetik
dari, Haris Md Jadi, Etnik, Politik Dan Pendidikan, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka,
1990, h. 99
[2] Report
of the Education Committee, 1956, perenggan 136.
[3] Haris Md
Jadi, Etnik, Politik Dan Pendidikan, h. 99
[4] Ibid.
[5] Ibid.
[6] Dipetik
dari Utusan Melayu, 30 Disember 1957.
[7] Utusan
Melayu, 3 Jun 1958.
[8] Majallah
Guru, Jilid 34, Dicember 1957.
[9] Lihat,
“4 buah Kesatuan Guru Melayu Sokong KPGMS”, dlm. Utusan Melayu, 19
Januari 1958 dan 20 Januari 1958.
[10] The
Straits Echo, 6 Ogos 1959.
Seperti mana guru-guru Melayu Kedah membantah
kegagalan pelaksanaan Laporan Razak 1956, guru-guru agama dari PAS juga
memberi tentangan yang sama. Sebab-sebab penentangan mereka ialah :
i.
tiada sebarang jaminan dibuat
dalam laporan itu bahawa bahasa Melayu akan dijadikan bahasa kebangsaan atau
bahasa rasmi dalam masa sepuluh tahun setelah Negara mencapai kemerdekaan.
ii.
dengan membenarkan bahasa-bahasa
lain digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah juga membawa makna
bahawa bahasa-bahasa itu telah diikhtiraf sebagai bahasa rasmi Negara, dan
iii.
laporan pelajaran itu juga tidak
memberi apa-apa perakuan bahawa taraf bahasa Inggeris akan diturunkan.
Petikan dari, akhbar Utusan Melayu, 7 September
1957.
-bersambung-
UmiFathimah
Kedah Darul Aman