Bee Gees

Tuesday, 11 June 2013

Kita Dengan Tanah

Inilah ceritanya serba banyak tentang berbudi kami sekeluarga kepada tanah ini.

Tanah pusaka ini secara rasminya menjadi milik kami pada tahun 1994. Bukan mewarisi secara percuma tau, tetapi 'terpaksa' membelinya dengan meminjam RM20,000 dari emak saya. Memang perit pada usia 30 tahun itu. Dengan anak kedua berusia 2 tahun, dan Aqilah sudah Darjah 1. Kehidupan di Shah Alam ketika itu, memang 'kais pagi makan pagi....'. Segalanya mahal di Shah Alam.

Kami, ketika itu 'dipaksa' membeli tanah ini yang terletak dihujung kampung. Memang kami marah dan tak berminat. Kami lebih berminat dengan tapak rumah arwah ayah kepada Roziah. Tetapi, kerana 'tekanan', dan kami pun 'tidak mempunyai apa' ketika itu, kami telan sahaja ketidakpuasan hati kami, kerana 'diusir' secara paksa oleh sepupu duai yang kununnya 'agak berada' ketika itu.......

Dan terbiarlah tanah seluas 2 setengah ekar ini bermula 1994 hingga 2000, bila secara rasminya kami sekeluarga berpindah dari Shah Alam.

Saya selalu kata , ' mengalah bukan bererti kalah...' berundur bukannya menyerah..... .

Dan kini, setelah hampir 20 tahun, kami dah menang!!! Tak cukup tangan dan kederat pun nak kelola tanah ini!!

Allah Maha Besar!

Jadi sepanjang pemilikan tanah ini ianya terbiar berhutan rimba . Yang banyak pisang Awak.  Tiada kutipan sewa bendang bendang ketika itu kerana sawah belum menjadi milik kami.

Walaupun 'sakit' untuk memilikinya, berserta 'drama' di Pejabat Tanah, yang sedapnya, bayar hutang kepada arwah emak habis tak  sampai setahun. Kumpul duit, ikat perut, hujung tahun dapat bonus, langsaikan semua. Lagipun, seingatan saya, emak sedang bersedia untuk mengerjakan Haji setahun dua itu, jadi duitnya harus sentiasa ada didalam Tabung Haji.



5 pokok durian yang dah matang serta 2 yang masih remaja.....menjadi milik kami sekitar 2002.

Bila kami berpindah ke Sungai Petani sekitar 1999-2001 , secara rasminya menjadi orang Sungai Petani,  kami sering menjengok jengok kebun kami ini. Bila dah selalu melepak , maka ramailah pakcik pakcik yang bertanya sama ada saya berminat untuk memiliki keseluruhan tanah ini yang berkeluasan 4 ekar itu.

Memang duit pun ada waktu tu. Tak cakap banyak, tawar menawar, setuju, terus ke Pejabat Tanah, kami beli lagi seekar pada harga sekitar Rm35,000.00 . Saya bayar tunai RM25,000.00 dan baki 10 kali bayar....hehe.



Pisang menjadi penjana utama kewangan kebun ini.

Sekitar  2007 sekali lagi , baki setengah ekar ini disarankan kepada kami, saya tidak menolak, terus bayar sahaja.

Dengan rasminya bendang seekar itu menjadi milik kami dan hasil sewanya kami kutip 2 kali setahun.



Kutip durian setiap pagi


Ini petang Ahad 02062013

Bila memasuki usia 48 tahun ini, baru kami tersedar akan ruginya tanah 4 ekar ini terbiar. Jadi, pada awal 2012 kami kumpul dana, dan mulakan projek menanam pisang. Dan akhirnya berjaya dengan 240 pisang Berangan, 100 Emas dan 80 Nangka .

Saya sulamkan dengan 8 baris serai yang menghasilkan sekitar 80 rumpun serai.

Kini semuanya dah jadi sejarah dan hasilnya, anda baca sendiri didalam blog ini.!


Tebu - Orang Kedah kata seperdu, saya kata serumpun.

Kami tanam 50 rumpun tebu. Punyalah payah, pasai? Sebab tikus duk tokak tunasnya yang lembut. Akhirnya racun hitam dibeli dan diumpan bersama roti berjem. Senyap sunyi lepas tu.

Dan atas nasihat jiran sekampung , saya pun membersih persekitaran tebu ini dengan meracun dan merumput. Jadi , kini sudah terjual sekitar 92kg tebu. harga pasaran sekitar RM0.50 sekilogram. Ramadhan mendatang , saya pasti harganya akan 'BN' sekitar RM0.70 .

Angan Mat Jeninnya, seperdu ada sekitar 15-20 batang tebu. Sebatang tebu beratnya melebihi 1kg, Syawal nanti ada lebih kurang RM1,000.00 dari jualan tebu ini. Hahaha.

Ish, boleh shoping Ramadhan lagi kat Bandung ni!

Begitulah serba panjang kisah awal pemilikan tanah ini. Kira kami berjaya memiliki tanah ini pada usia muda , 30 tahun. Tapi, kena belajar susah susah dahululah....., Beringat masa senang .... dan sebagainya.

Ramai yang tak percaya bila saya katakan segalanya saya usahakan sendirian didalam kebun ini. Saya tidak menggajikan pekerja, mengupah sesiapa pun untuk penjagaan dan pemulihan kebun ini. Semuanya saya lakukan sendiri dengan bantuan sekali sekala dari anak anak dan isteri.

Ini kebun sayur yang abang Mi usahakan bersebelahan kebun kami. Nampak tak rumpunan tebu dilatar?



Sawi

Tengok tebu yang merimbun dilatar foto ini.....

Abang Mi baru pencen awal tahun 2013 ni.

Dia memang jenis yang tak duduk diam. Dia saorang tukang kayu , pandai bina rumah dan rajin berkebun.
Saya kenal dia dah lebih 25 tahun, dan walaupun sepanjang masa menginap di Kulim, sesekali bertemu, dia tetap ada bawa sayuran yang ditanam dipersekitaran rumahnya di Kulim.

Kini dia bawa usaha itu ke sisi kebun saya.


Bayam - Isnin malam selasa 3 haribulan ni, kami makan malam bersayurkan free.....

Inilah sesuatu yang menyerikan hari saya setiap pagi dan petang. Segalanya perlukan perancangan, walaupun perancangan dariNya yang paling baik. Tetapi, sabaiknya pada usia muda kita sudah mempunya visi dan misi yang harus kita capai sebelum usia kita mencecah emas. 

Ajal maut diTanganNya. Saya fikirkan sebaik tamatnya kerjaya saya ini, kemana arah tuju saya?
Selain dari beribadat, kemana saya mahu habiskan sisa sisa usia ketika itu. Tiada pendapatan bulanan. 


Anak anak? Ya, mereka pun mahukan permulaan hidup mereka sendiri sepertimana saya dahulu. Saya tidak boleh letakkan harapan yang besar kepada anak anak kerana kehidupan kini tidak sama seperti waktu kita dahulu.

Saya sedar akan kekurangan diri pada usia muda saya, dari situ saya bina 'keyakinan' untuk berjaya mengalahkan yang lain, yang punya Master atau degree. Semangat masa itu, hanya Allah yang tahu, dan arwah emak saya yang sering menjadi tempat mengadu saya.

Jadi, doakan kami selalu berada di kebun ini hingga keakhir hayat kami. Ini simpanan hari tua kami.

Latiff Hariri
2028 04062013
Sungai Petani


No comments: