Bee Gees

Sunday, 8 August 2010

Hari Keluarga Sembilan Generasi Datuk Jenaton Paling Bermakna - (Dipetik dr MStar Online) 3 Ogos 2010

Hari Keluarga Sembilan Generasi Datuk Jenaton Paling Bermakna

Oleh IZRA ABD RAHMAN

JIKA dua tahun lepas seluruh ahli keluarga Datuk Jenaton memilih untuk berhimpun di Pulau Pinang, tahun 2010 mereka semua sepakat memilih Putrajaya pula untuk bertemu buat sekalian kalinya.

Perhimpunan keluarga yang diadakan setiap dua tahun ini diadakan secara besar-besaran dan menjadi acara wajib dalam kalendar keluarga Jenaton.

Kali pertama, Hari Keluarga Datuk Jenaton diadakan di Ipoh pada tahun 2002 dengan penyertaan seramai 1,500 orang.

Pada tahun 2004 diadakan pula acara ini buat kali kedua di Taiping, Perak, sebelum majlis diadakan di Kepong pula, pada 2006.

Pada Disember 2008, berlangsung Simposium Datuk Jenaton : Salasilah dan Keturunannya dalam sejarah Minangkabau, Batu Bara dan Pulau Pinang/Kedah yang diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.
Sebahagian daripada ahli keluarga keturunan Jenaton tidak melepaskan peluang mengambil gambar kenangan ketika majlis berlangsung.












Tahun ini, pada tanggal 31 Julai pula menyaksikan keluarga besar ini mencatat sejarahnya sendiri apabila generasi kelima hingga generasi kesembilan keturunan Jenaton berhimpun, seterusnya berkenal-kenalan sesama sendiri di bawah satu bumbung.

Presiden Keluarga Datuk Jenaton, Rahmah Aziz yang turut hadir pada Hari Keluarga Datuk Jenaton 2010 berkata matlamat utama majlis ini dianjurkan tidak lain dan tidak bukan untuk mengeratkan lagi ikatan persaudaraan di antara seluruh ahli keluarga Jenaton.

"Keluarga kami besar. Ada di antara kami yang tidak kenal antara satu sama lain, dengan adanya majlis seperti inilah mereka berpeluang bersua-muka dan berkenal-kenalan dengan sanak-saudara sama ada yang jauh atau yang dekat.

"Selama ini ada yang kenal sebagai kawan, tetapi bila datang ke majlis hari ini barulah mereka dapat tahu yang mereka sebenarnya bersaudara dan datang dari keuturunan yang sama," kata Rahmah yang merupakan generasi keenam Jenaton.
Sesi melihat salasilah keluarga menjadi sesi yang menarik perhatian ramai.













Hari Keluarga Datuk Jenaton kali ke-lima ini juga menjadi lebih istimewa dan bermakna berbanding penganjuran sebelum ini apabila mereka menerima kunjungan keturunan Jenaton dari seluruh rantau, termasuklah dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Sumatera, Indonesia.

Menjadikan majlis ini lebih berseri apabila seramai 50 ahli Cawangan Batu Bara, Indonesia yang diketuai Bupati Batu Bara, Bapak OK Arya Dzulkarnain yang sanggup terbang jauh dari Sumatera bagi memeriahkan majlis.

"Kita sangat berbesar hati apabila rombongan Bapak OK Arya seramai 35 orang sudi datang ke Malaysia untuk majlis ini.

"Rombongan mereka bukan sekadar memenuhi undangan, tetapi mereka turut membawa kumpulan penari khas untuk membuat persembahan di hadapan seluruh ahli keluarga Datuk Jenaton," katanya.

Menurut Rahmah, usaha menjejaki ahli keluarga dari jurai keturunan Jenaton di Indonesia dimulakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan kunjungan ke daerah Padang dan kemudian ke Sumatera.

"Mula-mula kami membuat kajian salasilah. Bila kami sudah mengesan dan mengenal pasti mereka, barulah kami pergi melawat mereka di sana," katanya.

Berdasarkan nama-nama ahli yang dikumpul dalam salasilah, dianggarkan seramai 6,000 keturunan keluarga Jenaton terlebih dahulu menjejakkan kaki di Pulau Pinang sebelum kedatangan Inggeris.

Menurut sejarah, keturunan ini berasal dari Pagar Ruyong dan Bukit Tinggi, Indonesia.

Jenaton merupakan seorang anak raja yang membawa diri ke Batu Bara, Sumatera, sebelum berhijrah ke Pulau Pinang.

"Sebelum beliau melarikan diri, beliau dikatakan telah berkahwin dengan Ambun Suri, tetapi tidak mempunyai anak. Di Batu Bara dan Pualau Pinang, beliau turut berkahwin dan daripada dua perkahwinan itulah wujudnya keturunan Jenaton," katanya.

Pada majlis ini, seramai 500 ahli keluarga berjaya dikumpul dan jumlah itu merupakan satu jumlah yang amat memberangsangkan.

Jemputan dibuat menerusi kiriman email, pesanan ringkas (sms), telefon dan hebahan melalui suratkhabar.

Selain berpeluang beramah-mesra selama lebih dari setengah hari, mereka yang menghadiri majlis juga berpeluang bertukar-tukar nombor telefon, seterusnya menjalinkan hubungan yang lebih akrab untuk mengukuhkan talian persaudaraan.

Beberapa aktiviti turut diatur seperti persembahan Tarian Melayu dari Dewan Kesenian Batu Bara, Indonesia, cabutan nombor bertuah, bazar jualan dan sebagainya.
AJK Ahli keluarga Datuk Jenaton ketika membuat persembahan.















Bapak OK Arya Gembira Di Malaysia

BAPAK OK Arya Dzulkarnain, salah seorang daripada generasi keenam Jenaton yang datang dari Batu Bara, Indonesia melahirkan kegembiraannya apabila dapat berkumpul bersama-sama dengan ahli keluarga lain dalam majlis yang julung-julung kali diadakan ini.
Bapak OK Arya bersama isteri turut hadir memeriahkan majlis.





















"Ini merupakan kali pertama saya ke sini dan berhimpun dalam keluarga besar Jenaton. Semestinya saya berasa amat senang sekali.

"Saya turut berbangga apabila mengetahui ramai ahli keluarga saya mempunyai pekerjaan yang baik dan memegang pangkat yang bagus di Malaysia," katanya.

Arya, yang datang selama tiga hari ke Kuala Lumpur berkata kunjungan rombongannya ke Malaysia tidak sekadar untuk mengeratkan silaturrahim, tetapi juga mahu hubungan sesama ahli keluarga kekal selama-lamanya.

"Selain itu, hubungan erat yang terjalin juga akan dapat membina hubungan ekonomi, perdangangan dan pendidikan di antara kami semua," katanya.

MStar Online

No comments: