Bee Gees

Saturday 29 September 2012

Kesal Yang Tak Sudah - Emak Merindui Anak Anaknya....

12 Ramadhan 1433/31 Julai 2012

Duabelas hari berpuasa ni, saya sudah rancangkan  perjalanan percutian ke Bandung.

Bergerak laju menuju ke LCCT supaya pasti tidak terlewat.

Kami melepasi Sungai Buloh menghampiri maghrib. Talipon berdering.

Emak.

" Boy, kau tak nak berbuka puasa dengan emak ke?"

Saya memberi seribu satu alasan untuk tidak memasuki KL dalam suasana Maghrib begini. Buatnya berlaku kesesakan teruk memasuki pekan Ampang itu, habis rancangan perjalanan jauh saya malam itu nanti!

Emak memang kecewa dengan jawapan saya. Dia kata datang lah barang seketika untuk bersama emak. Tapi, saya masa itu tidak fikirkan apa apa. Saya tahu nada suaranya kecewa, dan mengharap, tapi saya senang emak berada didalam jagaan kakak sulong saya di Ampang. Emak katanya sihat, tapi nada suaranya keletihan. Saya endah tak endah dengan pujukan emak.

Sekelip mata masuk satu pesanan ringkas kedalam talipon bimbit saya.

Aman.

'Kamu tak singgah berbuka puasa dengan emak dulu?'

Begitulah serba ringkas, tapi tegas dari Rahman, abang saya.

Saya tahu emak meluahkan kekecewaannya atas penolakan ajakan beliau kepada Rahman. Saya boleh baca  dengan nada tegas saorang abang bertanya kepada adiknya.

Jawapan mudah saya, saya tidak mahu tersangkut didalam kesesakan jalan raya. Nanti balik dari Bandung, saya akan singgah jumpa emak bersama ole olenya.

Saolah olahnya, besar benar ole ole yang akan saya bawa pulang untuk emak nanti. Saya tidak terfikir yang emak mahukan saya berbuka puasa bersama beliau untuk Ramadhan terakhir ini.


Ampunkan Boy , emak......


13 Ramadhan 1433/1 Ogos 2012

Setibanya kami di Bandung dinihari itu, sekitar 1 tengah'pagi' 2 August, tiada lagi panggilan talipon yang boleh memasuki talipon saya. Biarlah malam ini seketika, tanpa berita dari Malaysia.

Walaupun saya bangun seawalnya selepas bersahur, dan ke sisi persekitaran hotel mencari toko simkad, ternyata tiada yang beroperasi seawal pukul 7 pagi. Saya mundar mandir dipersekitaran, sedangkan Izzuddin lena dibuai mimpi bersama ibunya.

Hanya jam 8 baru saya dapat menukar simkad kepada talian Indonesia. Terus saya bersms anak anak di LCCT dan ternyata mereka masih menantikan penerbangan.

Memebritahu Rahman akan talian ini juga, membawa 'kerisauan dan penyesalan' yang berpanjangn untuk sepanjang hari itu.

Sedang asyik berbelanja di Pasar Baru, masuk panggilan dari Rahman, memberitahu berita yang emak sekali lagi dimasukkan ke Hospital. Saya mula rasa bersalah menolak 'jemputan' emak untuk berbuka bersama semalam.

Tapi petang itu, lewat senja, bila foto foto ini di muatnaik di FB Rahman, hati saya mula ceria.

Sebenarnya saya tertipu dengan foto foto ini.......


Suite VVIP untuk emak, sememangnya anak anak mampu beri yang terbaik, tetapi, Allah sudah rancangkan sesuatu yang lebih baik untuk emak

Anak anak emak berkenduri iftar di bilik emak..

Saya memujuk hati saya sepanjang di Bandung dengan mengatakan emak berada didalam jagaan anak anak dan doktor doktor terbaik di Ampang . Ianya hanya sebagai penyedap hati saya sahaja.

Hari hari emak makin tersisa......


 Latiff Hariri
1738 22092012
Sungai Petani

No comments: