Bee Gees

Wednesday 22 February 2012

Ahad 19022012

Petang Sabtu ini, 18022012, sebaik selesai mainan pertama di kebun ini, hingga ke malam sekitar jam 10 masih belum ada tanda tanda hujan akan turun.


Memang agak kecewa, bila tanah menjadi kontang dek kekeringan. Malam kelmarin dahulu, ada hujannya, tapi hanya di bandar Sungai Petani, tidak dikebun.


Sambil bersantai di rumah ni, Izzuddin dah berangan membawa Kancil keluar bersiar siar dipersekitaran taman, tapi, apakan daya, dah lama tak dihidupkan enjinnya, tetiba ,  baterinya padam sendiri.

Kancil buat hal pulak. Tolak ajelah kancil masuk ke laman rumah. Nasib baik baru sekerat jalan.

Malam minggu ni tiada ceramah politiknya. Saya pun keletihan, menonton TV seketika, dan seperti biasa sekitar pukul 10 malam, saya dah 'hilang'.


Tersedar sekitar pukul 11 malam. Hujan mencurah ditambah dengan ribut. Hati gembira kerana akhirnya kebun akan berair semula.


Pagi Ahad, gerimis. Sebaik menghantar Izzuddin ke sekolah, saya terus ke pasar. Cuaca masih samar samar, tidak banyak gerai ikan yang bersedia untuk berniaga. Semuanya perlahan kerana Subuhnya lewat.


Saya pun sejak kebelakangan ini, tidak semeriah dahulu untuk berbelanja. Di rumah hanya kami tiga beranak aje. Makan pun ala kadar, janji ada anak borek , sotong , sedikit daging , sudah mencukupi untuk stok seminggu.


Sarapan di pasar sendirian, dan terus ke kebun. Dengan membawa bersama 10 anak pisang emas. Sekitar 9 pagi saya sudah terpacak di depan tali air ini. Keruh dihulu.


Hujan lebat malam tadi ditambah dengan ribut.

Terus saya dengan usahanya, menanam 10 lagi anak emas ini, tak sampai 10 minit pun, kerana sudah tersedia lebih 10 lubang untuk dimasukkan anak pisang ini. Sekitar 930 pagi saya sudah bergerak keluar dari kebun.


Mengarah ke selatan.

Seronoknya bila berpeluh dengan kerja begini

Singgah ke pekan Tikam Batu untuk dibungkus makan tengahari Izzuddin, dan terus saya bergerak perlahan ke Butterworth. Ke rumah Kak Jah, mengambil 50 biji kuih koci, untuk dijamu kepada Guru Guru dan AJK PIBG.


Petang ini sekitar pukul 2 adalah mesyuarat terakhir untuk penggal 2011-2012. Minggu hadapan AJK ini akan dibubarkan dan akan dilantik AJK baru.

Sekitar Pantai Bersih mengadap Pulau Pinang.

Agak santai saya hari ini, sekembali dari Butterworth masih sempat melayan dapur dengan ikan dan sotongnya, serta sempat 2 kali goreng cucur kodok pisang untuk saya bekalkan ke mesyuarat nanti. Saya yang cadangkan supaya perbelanjaan setiap kali mesyuarat PIBG dikurangkan.


Sebenarnya, pertamakali juga, mesyuarat ini dipenuhi lebih 40 guru , dan wakil dari Ibu Bapanya hanya saya dan Roslan. Memang agak mengecewakan.


Saya tidak merakamkan suasana mesyuarat ini kedalam foto, kerana tergamam dengan kehadiran guru, dan saya yang mempengerusikan mesyuarat. Guru guru yang hadir adalah ketua bahagian AJK untuk mesyuarat agung minggu hadapan. Setiap ketua memberi taklimat perancangan untuk minggu hadapan, sambil dikomen Pengetua dan serba sedikit dari saya.


Mesyuarat tamat sekitar 520 petang, sedangkan ianya bermula sekitar 215 petang. Nak tergelak pun ada bila, guru guru perempuan yang tak habis habis melihat jam dilengan yang bergerak perlahan. Kesian jugak bila selesai bertugas, terus mesyuarat.......


Yang sukanya, bila guru guru memuji keenakan kuih koci dan cucur kodok ni, hahaha.


Kepada rakan rakan yang pernah bertandang ke rumah Zawawi Adam bulan yang lalu, pasti tahu keenakkan kuih koci ini.


Sekembali dari sekolah, bersiap ala kadar, kami berdua terus ke kebun. Aktiviti hujung minggu diteruskan.

Tanam pokok ni pun secara main main sahaja, supaya aktiviti tidak meletihkan

Sememang senang kerja begini, hujan melembutkan tanah. Mudah untuk dicangkulkan.

Sedang asyik dengan kerja ini, si Zul pun sampai tanpa diundang. Rupa rupanya, beliau bersama Budin berada dipersekitaran kebun ini, memancing haruan.


Dah teruja pulak nak tengok mereka memancing.


Selesai menanam, kami pun mengekori Zul ke sungai kecil berhampiran. kira tali air lah jugak.


Dua aksi yang sama, dari sudut bertentangan . 

Dari lensa Ipad

Dari kamera Nikon Izzuddin .

Lembu Mami Izat NFC berkawad pulang ke kondo dibelakang tu, wek!.


Anak anak kambing pun banyak disini. Bahagia kalaulah saya yang tuan empunya kambing ni. Lembu saya tak 'hingin', malu nak bela.

Saya mula bermain dipersekitaran sungai ini diawal perkahwinan saya dari tahun 1986 hingga 1996. Kerana setiap kali pulang bercuti dari Shah Alam, pasti saya lepak disini memancing , adakalnya saya bertemankan anak anak, adakalanya sendirian. seronoknya bila anak anak baru berusia 4-6 tahun, mereka teruja melihat ikan yang masih hidup mengelepar di hujung kail bila dinaikkan ke darat.



Kat sini rupanya budak bujang ni , tak reti dema ni nak 'berdating' atau berawek.......

Dilatar foto diatas kelihatannya satu kumpulan memancing . Memang begini suasananya setiap petang di persekitaran kampung ini.



Senja ini tiada hasilnya, kerana mereka berdua memasuki kampung/kebun saya ini tanpa memberi salam terlebih dahulu.


Balik sekitar maghrib.

Latiff Hariri
0628 22022012
Sungai Petani

No comments: