Bee Gees

Monday 1 July 2013

I Julai Penuh Kenangan - 31 Tahun Kemudian

Sandakan - Taman Tinosan/Prime Square


Sejak sebelum PRU hingga kini, memang saya terkenangkan banyak tentang Julai.

Adakalanya suka bersentimental dengan kisah silam yang berkaitan dengan bulan Julai ni.

Mengapa Julai?

Julai merupakan bulan kelahiran saya. Selain itu ramai kawan kawan rapat saya yang berbintangkan sama seperti saya iaitu bintang 'Cancer'. Bulan Julai memang saya nantikan sebagai tanda bertambahnya usia saya. Masa remaja saya tak ambil pusing tentang tarikh ini. Tapi , bila saya memulakan karier saya, saya mula terasa betapa tarikh ini penting untuk menentukan sejauh mana perginya hidup saya.

Saya memulakan karier saya pada 1 Julai 1982 . Ini pilihan saya.

Sebenarnya saya boleh melanjutkan pelajaran lagi pada tarikh tersebut. Tetapi hati naluri saya berkata, tidak. Ini adalah peluang terbaik saya untuk memulakan karier, dan lupakan tentang pelajaran.

Pada 1 Julai 1982 , secara rasminya saya mendapat kerja dengan majikan saya yang sedia ada ini. Saya mendapat surat perlantikan jawatan pada pertengahan Jun 1982 , dan perlantikkan bermula 1 Julai sebagai - Kerani/Juruwang/JuruTaip.


Ada gaya tak? Kerani/Juruwang/JuruTaip - Taiping 1985

Gaji adalah sesuatu yang sensitif yang saya tak suka berbicara sesama rakan. Tapi, untuk pencapaian rekod terbaik saya, saya ceritakan juga. Surat perlantikkan saya itu membicarakan tentang gaji permulaan saya yang berjumlah RM310.00 bersama elaun RM50.00 .

Itu yang saya harapkan ketika itu. Gaji!!

Padahal , pada pertengahan Jun 1982, saya terima dua surat penerimaan sambung belajar dari 2 institusi pengajian awam yang meminta saya melapur diri pada tarikh yang sama, 1 Julai 1982 .

Pertama Institut Pertanian Malaysia , dan yang kedua Institut Perdagangan MARA. Yang pertama menjanjikan karier tetap sebaik tamat latihan iaitu sebagai Pembantu Pegawai Pertanian. Ya....minatlah jugak sikit sikit dengan pertanian ini. Tapi......era 82 ketika itu pertanian tidak mendapat perhatian sewajarnya. Sedangkan rakan rakan saya lebih kepada Pendidikan dan Perkilangan.

( Baru saya teringat, saya bakal mewarisi karier arwah datuk datuk saya sekiranya saya menerima masuk ke Institut Pertanian Malaysia. Datuk datuk saya yang berjawatan Pegawai Pertanian era sebelum merdeka, merupakan pejuang pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf sewajarnya iaitu Tok Mustapha Hussain yang merupakan Orang kedua tertinggi Kesatuan Melayu Muda (sebelum UMNO) dan Tok Aziz Ishak , Menteri Pertanian pertama Malaysia. Mereka berdua merupakan Pegawai Pertanian sebelum kemerdekaan dan menjadi peneraju utama kemerdekaan Malaya). Kedua mereka pernah berkhidmat di Taiping.)

Institut Perdagangan MARA tidak menjanjikan karier, lebih kepada belajar, dan boleh sambung hingga ke peringkat Diploma ke ITM ketika itu.

Tapi.......duit jugak yang menjadi matlamat saya.

Saya anak ketiga , tetapi yang pertama memulakan karier. Sedangkan kakak sulong masih di IPTA dan abang masih di luar negara belajar. Banyak yang saya fikirkan ketika itu. Tapi , yang utama lebih kepada mahu membantu keluarga, walaupun ada yang tak setuju dengan kenyataan saya ini.

Kini , selepas 31 tahun kemudian, kenangan ini sekali lagi berulang kepada anak saya. Syukur usia saya mencecah keumur 49 tahun ini dan saya dapat menikmati rasa kepuasan sepertimana Emak dan Bapak saya lalui 31 tahun yang lalu, bilamana saya memulakan kerjaya kecil saya secara rasmi pada tarikh ini.


Surat Penempatan -  Saya dilantik dan ditempatkan di Jalan Pudu ,Kuala Lumpur

Malangnya pada usia muda sebelum 18 tahun itu, saya tidak reti menyimpan bukti surat perlantikan saya . Mungkin disebabkan berpindah randah, file yang menyimpan segala interaksi antara pekerja dan majikan sudah tiada lagi. Saya tidak ralat hati kerana tidak ada salinan, tetapi pasti,  bersama Majikan saya, tentu ada.

Masa yang agak lama untuk belajar dan perlantikkan menjarakkan usia saya dan Aqilah , dimana saya memulakan karier pada usia 17 tahun 362 hari. Aqilah harus menambah lebih 7 tahun untuk belajar/kerja/belajar/kerja sebelum secara rasminya mendapat pekerjaan tetap .

Aqilah pada 27 June 2013 dihari Taklimat dan Penempatan di PutraJaya.

Gaji dahulu dan kini antara saya dan Aqilah kecapi amat jauh berbeza. Saya tak mahu berbicara tentang gaji, lebih kepada beruntungnya saya ketika itu dan kini, kerana pada tarikh yang sama, anak sulong saya secara rasminya menjadi saorang Guru.

Tahniah untuk Aqilah . Sekarang ini tumpuan adalah pada kerjaya beliau. Saya sudah mula memikirkan yang saya akan berkurangan ke Indonesia selain ke Sabah sahaja untuk bulan bulan mendatang. 

Kisah ini saya catitkan untuk rujukan anak anak dan waris waris terkemudian sebagai kenangan dan sejarah keluarga.

Teruskan perjuangan hidup!!

Latiff Hariri
1328 29062013
Sungai Petani




No comments: