Bee Gees

Monday 26 July 2010

SARIAH - BULAN - FATIMAH ZAITON - ABDUL LATIFF JANATON

Seawal usia 5 tahun, saya sudah meminati lagu lagu piring hitam yang dimiliki Emak/Bapak. Sering, emak akan memainkan piring hitam bila kelapangan. Antara piring piring hitam simpanan Emak : Tety Kadi, Orkes El-Suraya, Lilis Suryani, Tetiek Sandhora dan Muschin, Tiar Ramon,Titiek Puspha, Rafeah Buang, Kak Pah, Andre Goh, Sarena Hashim, Habibah Yaakob, Hasnah Harun, A Ramli, J Sham.

Ya, banyak koleksi Emak/Bapak ni.

Ingat lagu J Sham tak?

' No 66, Jalan Tampin, Seremban, Negeri Sembilan ..." Kelakar lagu ni, sebab beri alamat rumahnya sekali. Bila remaja, baru saya kenal siapa J Sham. Pensyarah Muzik disalah sebuah IPTA .

Tapi, mengapa emak dan Bapak begitu meminati lagu lagu dari Indonesia ni? Saya tidak tahu hubungkait lagu dan keluarga saya. Sahingga memasuki alam persekolahan, darjah 1 dan 2 di Lenggong. Mungkin suasana persekolahan di daerah pendalaman, anak anaknya lebih bertata tertib dalam perhubungan. Bila memasuki darjah 3 di SR KIng Edward VII-1, baru timbul pertaanyaan mengapa nama saya ada Janaton seiring dengan Abdul Latiff.
Kata emak, itu nama keluarga. Saya tak ambil pusing dari mana nama itu datang, tapi katanya, dari Indonesia jugak.

Apa yang saya mahu ceritakan ini , adalah perjalanan saya dan Rahman, dalam menjejaki salasilah keluarga keturunan Emak, dan bukannya keluarga Janaton.

Sebenarnya , saya takut untuk sendirian ke Indonesia. Pertamakali menjejakkan kaki ke Indonesia pada tahun 1995 ke daerah Kerinchi, lewat Dumai-Pekan Baru-Bengkulu. Waktu itu baru lepas kejadian gempa bumi yang meragut berpuloh nyawa di daerah ini.
Nanti akan saya rekodkan kisah perjalanan pertama saya ke Sumatera.

Dari sini, saya tekadkan , saya mesti menjelajah ke Sumatera Barat lagi untuk menyusuri Nenek Sariah.

Seharusnya sesuatu perjalanan itu dirancang, tetapi, kalau dirancang sangat, selalunya tak menjadi. Jadi, bila Rahman mencadangkan,

' kita ke Bukit Tinggi minggu depan, tapi, kena tunggu I siapkan kerja di Loksemawe , Acheh dulu , nak tak?'. Itu cadangan Rahman di awal tahun 1998, 3 tahun selepas saya ke Kerinchi,

Saya setuju aje. Setelah siap atur janji kami, saya ke Medan melalui Kuala Lumpur dengan MAS. Masa tu tambang RM500++ duahala. Rahman dah sedia menunggu di Bandara Polonia. Pertamakali menjejakkan kaki ke Medan ni. Kami berjalan kaki di kota Medan mencari Stesyen Bas Ekspress . Dan dihari yang sama , kami mendapat bas ekspres ALS (Antar Langsung Sumatera) Kira sama taraf bas Transnasional lah. Tapi, istimewa kerana mereka sudah ada Bas 2 + 1, serta dibekalkan 2 bun roti & segelas air mineral. Bas bergerak mengikut waktu, tapi katanya Bas akan terus ke Jakarta, dan masa perjalanan 3 hari 2 malam. Dan kami dijangka tiba di Bukit Tinggi jam 1100 pagi keesokkan harinya. Wah!! 18 jam perjalanan!! Kusut masai ni!


View Larger Map








Peta ini dapat menceritakan bagaimana jauhnya pejalanan yang kami lakukan, dengan menaiki bas dari Medan - Bukit Tinggi - Padang - Medan .




















Saya dan Rahman dapat 'seat' paling belakang sekali, tak tidur lena akibat hentakkan dan goyangan badan bas bila menyusuri gunung, lurah dan bukit, yang hanya boleh saya bayangkan saja dimalam itu.

Bas jenis Mitsubshi dengan pemandu utama, seta 3 orang pembantu. Ramainya!! Ya, mekanik dan kelindan bas, dan saorang pembantu pemandu. Jarak melebehi 2000km mengarah dari Sumatera Utara ke Barat, Selatan terus ke Jakarta , menaiki fery melintasi Selat Sunda. Tapi kami hanya ke Sumatera Barat.

Dah berada di dalam bas dan melewati setiap bandar/pekan di daerah Sumatera ini, baru saya tahu mengapa perjalanan begitu lama. Semuanya kerana hubungan jalan antara bandar /pekan, boleh diibaratkan saya menggunakan laluan Lenggong - Gerik tahun 1960 dulu!! Jalanraya hanya mula elok/cantik bila memasuki Sumatera Barat. Itupun satelah menjelang subuh. Yang sangat saya kagum, pemandu bas begitu berhati hati mengambil selekoh dan curam. Waktu solat pun dijaga sepenuhnya.Tiba subuh disatu daerah terpencil, kami berhenti mandi dan solat. Ternyata penumpang sudah bersedia dengan tuala dan berus gigi, serta kain pelekat untuk mandi/wuduk dimasjid. Dan air yang digunakan adalah dari kali/anak anak sungai, atau buluh yang disambung terus memasuki kesetiap kamar mandi . Ini satu pengalaman yang sudah lama saya tinggalkan sejak keluar dari daerah kenangan, Lenggong .

Selesai sarapan kuih muih kampung, kami bergerak, dan bila melepasi kota kecil ,Lubok Sikaping, kami terus memberitahu tujuan kami kepada pemandu, bersama peta yang kami bawa. Pemandu yang sudah faham dengan selok belok jalan, mengangguk , tanda faham arahan kami supaya berhenti di Kampung Haraban.















Bas berhenti betul betul dihadapn Masjid kg Haraban tepat jam 815 pagi.

Ada saorang tua, yang berdiri disisi Masjid, terus kami memberi salam. Tak pasti siapa orangnya, Rahman dan saya mula bercerita tujuan kami memasuki Desa tersebut. Mulanya agak susah memahami, kerana bahasa Minangnya agak pekat!!

Yang pasti Pak Makmum mengerti tujuan kami, terus dia mengajak kami memasuki kampung. Saya tak pasti kemana arah tujuan. Tapi kerap jugak bertanya, jauh lagi tak Pak? Memang jauh, kalau mahu diulang lagi kenangan itu, saya lebih rela naik motor aje menuju ketempat yang ditujui Pak Makmun.














Saya hanya memberi nama nenek saya, Bulan binti Tamat(Datuk Junjung, nama gelarannya. Tamat adalah suami kepada Moyang Sariah), dan Pak Lurah terus melakar salasilah keluar disebelah emak saya ini.




Kami rupanya harus melapur diri ke rumah Pak Lurah (ketua kampung) . Pak Lurah dan isteri menyambut kami dengan senang hati walaupun beliau dan isteri sedang bersiap untuk ke Kota atas urusan keluarga. Tak sangka pulak, dia boleh siapkan carta salasilah keluarga dengan hanya memberi nama moyang kami, Sariah yang mempunyai empat anak, dua darinya Bulan dan Osman , terus di lakar cabang cabang keluarga di Desa Haraban, dan kami membetulkan cabang keluarga di Malaysia. Wah , besarnya cabang di Malaysia, terus membiak melata ke pelusuk Semenanjung dan melangkau ke Kota London dan benua Australia!! Tapi, yang di Desa Haraban cabangnya agak perlahan, tidak seramai kami di Malaysia. Lama jugak kami dilayan, sedangkan saya dah tak sabar mahu melihat Rumah Gadang milik emak kepada moyang Sariah.















Kami menyusuri batas bendang di lereng bukit , tak ubah seperti filem lama P Ramlee dimana mereka menuruni kali dan sawah yang melata dikelilingi bukit dan lurah. Akhirnya , kami tiba di rumah ini. Inilah Rumah Gadang kelahiran ibu kepada ibu ibu kami, Nenek Sariah. Rumah ini terlalu usang, berdindingkan anyaman kulit kayu dan tiang yang hampir reput. Masih berpenghuni, saya kira 3 pupu kepada saya, ya lah, cicit cicit saudara kepada Nenek Sariah jugak!!

Sebak bila mengenangkan betapa susahnya sejarah kehidupan Nenek Sariah serta Nenek Bulan, yang saya kira dilahirkan disini juga. Saya mendapat tahu setiap kali Nenek Sariah akan melahirkan zuriatnya, beliau akan pulang ke sini dari dearah Lenggeng, Negeri Sembilan, kira kira di awal tahun 1900 . Tiada sempadan masa itu, semuanya satu nusantara dan serumpun.















Bersama angkatan kepada emak saya, serta sebahagian angkatan sepupu dengan saya, serta anak anak buah. Pada mulanya mereka agak kebingungan, kerana tanpa angin ribut,selepas hampir 80-90 tahun, tetiba aje muncul cicit Sariah dihalaman rumah mereka.

Lalu foto ini mereka keluarkan dari simpanan mereka untuk pengesahan bersama.














Ya!! Foto kiriman tahun 1940an, yang masih tersimpan didalam almari cermin di ruang tamu rumah mereka. Dari kanan, Mcik Midah(Bandar THO) , Gamber beramai2, Nenek Sariah, dan anaknya, Osman (Polis SC) .

Dan dalam sekelip mata, heboh satu kampung tentang kehadiran kami berdua, dan tak henti henti tetamu tetamu dekat, yang datang bersalaman sambil bertanya khabar, dan memberitahu mereka dari salasilah yang mana, untuk panduan saya.















Di kampung Air Kijang, kira kira 1.5 km dr Kg Haraban, dihadapan rumah Mak Sawi. Jalan kaki aje kami petang tu, ulang alik dah 3 km.
(Untuk rekod, anak Mak Sawi - Syafirman, adalah saorang Guru di Kota Lubuk Sikaping, dan juga Ketua Adat dari suku Ciniago . Beliau juga adalah Imam dan Pengerusi Masjid Haraban. Melaluii beliau saya bertanya khabar dan mengirim pelbagai bentuk bantuan untuk anak anak Kg Haraban. Syafirman senior 2 tahun, dan merupakan 3pupu saya)














Kami bermalam disini. Bertemankan lampu gaselin era Lenggong tahun 60-70 dulu,serta bermandikan air pancur dari buluh , kami kembali kepada asalnya.

Ternyata, wajah wajah kehampaan bila kami memberitahu yang kami akan berangkat ke Bukit Tinggi keesokan pagi. Memang saya sendiri dapat merasakan, sesaorang yang datang dari jauh, hanya bertandang untuk satu malam di rumah kita. Kita akan merasakan, mengapa tergesa gesa, belum puas bercerita dan berkenal mesra.

Beginilah. Yang penting kami sudah membuka jalan untuk seluruh anak cucu cicit Sariah, sekarang yang pertama, dan pasti akan ada yang kedua dan seterusnya. Itu janji saya dan Rahman sebelum kami berangkat ke Kota Bukit Tinggi , yang mengambil masa perjalanan dengan bas(disini disebut bis) kira kira satu setengah jam.

Ya , kami bermalam untuk semalam di KotaBukit Tinggi ini. Saya merasa selamat berjalan dengan Rahman, kerana beliau sering ke Indonesia, dan pandai berbahasa Melayu dengan lentok dan nahu Indonesia. Serta buku rujukan setiap kota kota di Indonsesia sentiasa didalam tangan beliau.

Pertama kali ke sini, teruja jugak bila melihat Jam Gadang dan Istana Pagarruyungnya.

















Di Istana Pagarruyung.(Istana inu sudah terbakar keseluruhannya 2-3 tahun yg lalu), kira kira beberpa bulan sebelum kemangkatan Yang DiPertuan Besar Negesi Sembilan yang lalu.

Menjejak Siti Nurbaya - Novel Cinta karya Marah Rusli

Hari ketiganya kami bergerak ke Padang untuk pertamakalinya. Ditangan Rahman sudah tersedia naskah Novel karya Marah Rusli - Siti Nurbaya. Abang saya sudah menghafal kisah novel ini di awal persekolahan rendah lagi. Dari kecil Rahman memang ulat buku dan kaki membaca, tidak kepada diri saya.

Kalau ikut saya , saya tak lah begitu teruja untuk bersentimental dengan Novel ni. Tapi dek kerana saya hanya menjadi teman kepada Rahman, jadi kenalah turutkan.














Diatas Bukit Padang

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang Tiga.
..........................
.........................

Sila habiskan pantun ini. Itu ha, Pulau Pandan. Moga ada yang dah tahu dari mana asalnya pantun ini. Gunung Daik? Well, kena baca blog Rahman, dia ada kisahkan Gunung ni, kalau tak silap bacaan saya.


Kami boleh berjalan kaki ditengah hari buta ini, semata mata menjejaki tapak permainan dan tempat pertemuan Siti Nurbaya dengan kekasihnya, Syamsul.

Selesai melawat Batu Malin Kundang, kami terus ke Bukit Padang berjalan kaki, disinilah tempatnya pasangan kekasih serta rakan persekolahan mereka bermain . Hm, saya tengok, hanya dataran kosong aje di atas bukit ini. Tiada pun taman atau buaian seperti di taman permainan kanak kanak tu

Kisah cinta tragis ni bolehlah diibaratkan seperti kisah Uda dan Dara. Cinta Siti Nurbaya dan Syamsul terhalang gara gara orang tua Siti Nurbaya tidak mampu membayar hutang kepada orang Kaya Datok Maringgeh. Cara menyelesaikan hutang adalah dengan mengahwinkan Siti Nurbaya dan Dato' Maringgeh Dari sini, bermulalah kisah menyayat hati cinta mereka. Anda harus membacanya untuk menghayati suasana Minang di awal 1930an dulu.

Kami mula disapa dua anak sekolah dasar ni( Sekolah Rendah). Mungkin teruja melihat saya dan Rahman , masing masing bercamcorder mengambil foto mereka dan persekitaran. Lalu dibawanya kami ke suatu tempat dilereng Bukit Padang ini.















" Ini," kata anak anak SD ni, " kubur Siti Nurbaya"
Ah, tak percayalah saya.

Lama jugak kami berada di bukit Padang ni. Untuk pulang ke Kota, harus menaiki kenderaan, mengelilingi bukit ini serta melewati jambatan menyeberangi muara sungai.
Sedangkan Kota Padang hanya bersebelahan, dipisahkan oleh muara sungai dan laut.

Anak anak SD ini mencadangkan kami meniaki perahu milik orang tua mereka. Hm, cadangan yang baik ni.
















Wajah bersih ceria anak anak Kota Padang bersama Bapak Latiff.

Saya kira bila menyeberangi sungai ini, tamat sudah ekspidisi menjejak Siti Nurbaya, rupanya tidak. Rahman mahu ke Jalan Tangsi , ke Sekolah Dasar dimana Siti Nurbaya belajar diwaktu itu. Saya ikut ajelah. Letih teramat sangat sebab saya kira sudah melebihi 8km saya berjalan kaki sepanjang hari.

Selepas bertanya kepada beberapa orang yang kami temui, akhirnya, kami temui Jalan Tangsi. Menyusur di lorong bersebelahan dengan kem tentera. Ternyata , sekolah biasa , tidaklah sehebat sekolah kita di SRJK(I) Lenggong tu.

Tanpa segan silu , selamba aje kami masuk ambil foto, lalu kami disapa oleh saorang ibu guru ini yang bertanya tujuan kami.

"Ya, silakan Pak. Betul, ini sekolahnya Siti Nurbaya."

Kami terus dibawa ke pejabat Guru Besar untuk dilapurkan kehadiran kami. Diperkenalkan kepada Ibu Yusmaniar, Guru Besar Sekolah Dasar No 1, Jalan Tangsi, Kota Padang. Tak henti henti lepas itu, hampir kesemua guru yang bertugas, memasuki pejabat Guru Besar, untuk berjabat tangan dengan kami. Hmmm, rasa bangga dan teruja jugak sebab begitu sekali sambutan yang diberikan. Kalau diwarwarkan terlebih dahulu, harus ada kompang dan bunga manggar ni!

Buku kehadiran siap kami tandatangani sebagai bukti kami pernah hadir disini.


Dari sinilah, bermulanya detik 'persaudaraan' saya dan Rahman dengan Kak Yus sekeluarga!!


















Saya bersama Kak Yus(ditengah, no 5 dari kiri) bersama ibu ibu guru serta staff pejabat SD No 1, Kota Padang.

Kami di Kota Padang untuk satu malam , dan pulang keesokkan harinya, melewati Kota Bukit Tinggi, Kg Haraban dan terus ke Kota Medan. Hanya tiba di Medan dihari kedua jam 11 pagi. Sehari semalam di dalam bas. Letih rasanya, terasa macam mimpi pun ada.

Pulang pada keesokah harinya ke Kuala Lumpur bersama satu memori dan catatan untuk kami persembahkan kepada Emak, Mak Tua, Mcik Midah dan Pcik Rosli. Mereka merupakan pemberi informasi tentang arah tuju yang harus kami terokai untuk menjejaki Nenek Sariah.


Ya, Aku Budak Minang..... plus plus.

Latiff Hariri
0734 26072010
Sungai Petani


01082010 -Perbualan menerusi penulisan ini, boleh anda ikuti di www.Rahmanhariri.blogspot.com dibawah tajuk Jejak Kasih-Kampung Haraban, Bukttinggi, bertarikh 31072010 .

No comments: