Bee Gees

Sunday 17 June 2012

Sejarah Perjuangan Guru Melayu Kedah 5


Di Alor Setar, akhbar Utusan Melayu melaporkan guru-guru Melayu Kedah menunggu arahan dan tindakan selanjutnya daripada PGMK jika isu-isu berkaitan bahasa Melayu dan pelaksanaan sekolah menengah aliran Melayu melalui jalan buntu dan tiada penyelesaian.[1] Hal ini bermakna ahli-ahli PGMK akan menuruti langkah guru-guru Melayu negeri lain terutama sekali guru-guru Melayu Pulau Pinang yang diketuai oleh Cikgu Mohd Nor Ahmad dan guru-guru Melayu dari Melaka dan Johor yang telah mengambil keputusan nekad akan keluar dari ahli UMNO. Misalnya, guru-guru Melayu Johor telah melaporkan kepada akhbar Utusan Zaman bahawa tujuan mereka keluar daripada menganggotai Parti UMNO adalah kerana;
“tindakan kami ialah untuk kepentingan nasional. Kami telah mengambil keputusan akan memerintahkan ahli-ahli kami keluar dari UMNO kalau tuntutan kami gagal.”[2]

Sementara itu, akhbar-akhbar tempatan membuat liputan meluas tentang pengisytiharan guru-guru Melayu di seluruh tanah air keluar dari UMNO semasa Mesyuarat Agung Khas di Sekolah Umum Prince Road itu yang turut dihadiri oleh Syed Nasir Ismail dan Aminuddin Baki untuk memberi sokongan. Laporan dalam akhbar Utusan Melayu menyatakan;
“Perintah KPGMS:
Keluar beramai-ramai daripada UMNO hari ini, tindakan akan diambil terhadap anggota-anggota yang engkar. Syed Nasir mencurahkan air mata di persidangan KPGMS.”[3]

Dengan nada yang tegas dan lantang Mohd Khir Johari telah memberi reaksi pertamanya;
“saya tidak akan menerima perintah dari guru-guru.”[4]
Lebih memburukkan lagi keadaan, apabila Mohd Khir Johari dengan sewenang-wenangnya menuduh guru-guru Melayu mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan usaha untuk memajukan pendidikan negara. Mereka berharap bahawa dengan membina sekolah menengah aliran bahasa Melayu, mereka akan ditempatkan ke sekolah menengah dan seterusnya dapat menikmati skim gaji yang setara dengan guru-guru dari sekolah Inggeris.[5] Tuduhan yang tidak berasas itu telah membuatkan golongan guru Melayu merasa terkilan dan kecewa. Situasi yang tegang itu menambahkan lagi kemarahan guru-guru Melayu apabila Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman menyindir Cikgu Mohd Nor Ahmad;
“Saya nak tengok sekolah bangsa Melayu macam mana, dan saya nak tengok juga berapa orang nak mengaji jenis sekolah yang cikgu mahu itu!”[6]

Pada mulanya, guru-guru Melayu Kedah tidak mengambil apa-apa langkah kerana menunggu keputusan pemimpin tertinggi PGMK berkenaan tindakan keluar dari UMNO. Apabila perintah keluar dari menganggotai UMNO disahkan oleh pejabat PGMK di Jalan Raja, Alor Setar, stu mesyuarat diadakan di Sekolah Melayu Sungai Korok Lama pada 6 Februari 1958.[7] Dalam mesyuarat itu, guru-guru Melayu Kedah mengambil keputusan akhir menyokong apa yang telah dilakukan oleh guru-guru Melayu di Pulau Pinang, Johor dan Melaka serta keputusan yang telah ditetapkan oleh KPGMS. Pada masa yang sama juga, satu laporan tentang keputusan dan arahan daripada Cikgu Nor Ahmad supaya keluar dari menganggotai UMNO serta merta pada 31 Januari 1958 telah dibentangkan pada mesyuarat itu.[8]


[1] Utusan Melayu, 11 Januari 1958.
[2] Petikan dari, Utusan Zaman, 19 Januari 1958.
[3] Utusan Melayu, 1 Februari 1958.
[4] Ibid.
[5] Margaret Roff, The Politics of Language in Malaya, dlm. Asian Survey (Institute of International Studies at University of California), May 1967, Vol. VII no. 5, h. 321.
[6] Dipetik daripada Ahmad Md Saman, Persatuan Guru-guru Melayu Kedah (PGMK) Pergerakan Dan Perjuangannya 1946-1958, Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1977/78, (tidak diterbitkan), h. 364
[7] Ibid.
[8] The Straits Echo, 13 Januari 1958. Akhbar ini turut melaporkan perletakan jawatan Cikgu Ahmad Nor dari UMNO.

-bersambung-

UmiFathimah
Kedah Darul Aman

No comments: