Bee Gees

Tuesday, 11 May 2010

13 Mei 1969

Saya baru berusia 4 tahun 10 bulan waktu itu. Apa yang saya ingat tragedi ini, hanya melalui cerita dari mulut ke mulut, serta dari lipatan sejarah yang di ungkit ungkit setiap kali mojoriti mereka hilang di setiap Pilihanraya Umum.

Bapak ke Kuala Lumpur hari itu. Kalau membaca tulisan Rahmanhariri.blogspot.com , klik 1969,
ternyata ingatan beliau masih tajam. Saya tak ingat langsung bahagian hadiah yang kami terima dihari Bapak kembali dari Kuala Lumpur.Yang saya ingat, lipatan baju putih Bapak yang masih terlekat warna darah pemandu teksi serta cerita yang dibawa bersama untuk dikongsi rakan dan jiran.

Saya tak pasti atas urusan apa Bapak ke Kuala Lumpur, tetapi bila diberitakan yang Kuala Lumpur huru hara, kami di rumah atas arahan emak,pada malamnya, memadamkan lampu, hanya dengan pelita menyinari ruang bilik. Agak menakutkan, sebab saya masih ingat, emak berbisik supaya kami berdiam diri. Tapi, apa yang kami tahu? Yang saya dengar dari 'radio buruk' Bapak, Kuala Lumpur huru hara, rakyat tidak dibenarkan keluar rumah. Perintah berkurung.

Tingkap rumah tertutup 24 jam, kami tak dibanarkan membuat bising. Waktu siang dihari berikutnya, saya dengar deruan enjin Caribou melintasi ruang udara Lenggong, dan dari perbualan Emak, saya dapat tahu kapalterbang Tentera memuntahkan risalah memberitahu perintah berkurung, dan tak dibenarkan keluar rumah.(seminggu selepas kejadian, saya yang 'adventurous' , telah memasuki kebun Rambutan datuk Shaiful, dan terjumpa risalah, begitu 'teruja' sebab mengkagumkan kertas boleh jatuh melayang dari perut kapalterbang)

Emak, saya tak pasti bagaimana perasaannya waktu itu, Bapak hilang di Kuala Lumpur pada hari kejadian hingga kebeberapa hari. Saya tak pasti berapa lama kami berempat bersama emak, yang saya ingat, ada yang membawa khabar gembira menyatakan Bapak selamat , dan kini menetap di Balai Polis Sentul. Tapi, saya tak terasa apa apa pun.(Mungkin juga berita dari Balai Polis Sentul - Balai Polis Lenggong)

Yang pasti saya ingat, dihari kepulangan Bapak ke kampung Sira, ramai rakan dan jiran yang bertandang bertanya khabar, dan masih terbayang percikan darah yang sudah kering dilengan baju putih Bapak. Kira satu kampung Sira datang menjengok, macam pesta pulak, Mak Bi (nenek Shaiful)jiran sebelah rumah masa tu, Cikgu Hizam dan Faridah, rakan rakan pejabat Tanah tak putus putus datang menziarahi, hingga tiada peluang untuk kami bermanja dengan Bapak waktu itu, kecuali bila malam .

Ya, darah pemandu teksi keturunan Tionghua yang diparang oleh perusuh keturunan Tinghua di persekitaran Jalan Ipoh. Marah mereka kepada pemandu tersebut kerana membawa penumpang Melayu. Tapi, yang ajaibnya, Bapak mereka tak sentuh. (Lepas tu baru saya tahu, Bapak membaca Surah tertentu yang beliau belajar melalui Tok Johan)

Kearah Balai Polis Sentul teksi memecut, dan mendapat bantuan dari pihak Polis disitu. Dan yang menariknya ada satu keluarga Polis yang asalnya dari kampung Changkat Berangan yang menetap di berek tersebut. Melalui beliaulah, Bapak menumpang berteduh hingga suasana reda.

Saya amat teringin, jika dizinkan bertemu semula dengan keluarga tersebut, serta jika Pemandu Teksi berketurunan Tionghua itu masih hidup, mahu rasanya mendengar dari mulut mereka , atau anak anak mereka yang juga seangkatan dengan saya, tentang tragedi yang melanda mereka pada 13 Mei 1969.

#####

Bila sudah menjangkau usia 40an, serta diawal 30an, saya mula menyedari , walaupun ramai yang mempertikaikan saya, angkara 13 Mei 1969 ni didalangi oleh siapa. Ya, mesti ada dalangnya. Tapi, mereka ni cilik , cilik sepertimana sekarang ni jugak. Baling batu, sembunyi tangan, dan salahkan orang lain. Mereka ternyata tidak bisa menerima kenyataan bila Rakyat menolak mereka. Dan cara mudah untuk mengekalkan kuasa rakus mereka, laga-lagakan anak anak bangsa . Jadi merekalah dalang sebenarnya.

Kepada kesemua pencinta kedamaian, jadikan ini pengajaran dan iktibar. Jangan salahkan Rakyat, jika kita ditolak dari memimpin. Sejarah juga membuktikan , Raja yang kejam pun rakyat akan bunuh, inikan sebuah negara demokrasi, kita pilih/cantas melalui kertas undi. Jangan terikut dengan NGO NGO yang ditaja mereka semata mata mahu mengapi apikan semangat kebangsaaan yang cetek dan membelakangan Surah dan Hadis.


Salam Sayang buat semua Pencinta Keadilan


Latiff Hariri
0651 13 Mei 2010
Sungai Petani

No comments: