Bee Gees

Thursday 17 May 2012

Sejarah Perjuangan Guru Melayu Kedah - 3


Penting dan Genting Perjuangan Guru Melayu Kedah Gerhanakan UMNO
            Guru-guru Melayu merupakan golongan yang aktif berpersatuan. Selain bertugas mendidik anak bangsa, mereka mempunyai persatuan sendiri untuk membela dan memperjuangkan nasib guru-guru Melayu dan menjadi medan untuk kegiatan kemasyarakatan dalam kalangan mereka. Menurut Khoo Kay Kim;
“Guru Melayu dan kaum intelek lain bergiat (dalam persatuan) dengan tujuan menimbulkan kesedaran di kalangan orang Melayu tentang perlunya diadakan semangat yang lebeh kuat untok menjaga kepentingan anak bumiputera.”[1]

Guru-guru Melayu Kedah berjuang dalam persatuan yang kuat. Dalam tahun mereka menentang Malayan Union, guru-guru Melayu Kedah menubuhkan Persatuan Guru Melayu Kedah (PGMK). PGMK ditubuhkan pada 15 Mac 1946, diasaskan untuk menjaga kepentingan, kebajikan dan menyatukan guru-guru Melayu Kedah.[2] Guru-guru Kedah yang terlibat dalam politik tempatan turut mengasaskan PGMK seperti Hj. Salleh Ibrahim, Othman Khamis, Saidin Yahya, Asha’ari Ahmad al-Salleh Muhammad Darus Abdul Rahman, Hanfiah Shafie, Balkis Hj. Abdullah, Mahmud Jabar dan Saidin Hanafi iaitu Yang Dipertua PKMM.[3] Menurut Senu Abdul Rahman;
“Sa-bagai sa-orang guru yang telah mencheborkan diri dalam politik dari semenjak pekarangan sekolah lagi, saya berani mengatakan bahawa kapada kebanyakan guru2 Mel[a]yu terutama dalam tahun empat pulohan dan lima pulohan, politik merupakan sa-bagai chandu yang tidak dapat di-pisahkan lagi, sekali asap meresap masok ka-dalam badan, rasa ketageh terus menyelubongi jiwa sa-hingga tidak ada ubat yang dapat menahan.”[4]

Tambah beliau lagi;

“Sa-pekara yang tidak dapat di-nafikan iaitu pendidekan dan chara pergaulan guru2 Melayu itu sendiri merupakan faktor2 yang besar dan penting yang memupok dan menyalakan semangat chintakan bangsa dan tanah ayer. Faktor2 ini di-perkuatkan lagi dengan dasar penjajahan yang terus terang membedzakan kedudokan guru2 yang mengajar di-sekolah2 Inggeris.”[5]

Perjuangan politik guru Melayu Kedah terpaksa melakukan penyamaran untuk memastikan persatuan mereka bertahan lama. Oleh itu mereka cuba untuk mengelak daripada menyentuh soal politik secara terang-terangan. Begitu juga dalam PGMK, politik tidak diletakkan sebagai asas perjuangan persatuan. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa penubuhan PGMK lebih bertepatan memperjuangkan keadaan sosiekonomi guru-guru Melayu pada ketika itu. Guru-guru Melayu hidup dalam kesempitan, tiada kenaikan gaji dan ada yang masih di bawah taraf kemiskinan.
            Selain itu fokus utama perjuangan PGMK ialah perjuangan bahasa pelajaran. Mereka hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan sekaligus bahasa kebangsaan Tanah Melayu. Matlamat perjuangannya melalui pelajaran pula ialah PGMK bercita-cita menjadikan sebuah organisasi yang bertanggungjawab sepenuhnya demi menaikkan semangat bangsanya dengan memiliki pendidikan yang sempurna serta mahu sekolah Melayu diberi nafas baru. Sehubungan itu, PGMK berhasrat sekolah-sekolah menengah Melayu dapat dibina dengan lebih giat dan sebuah universiti bertaraf kebangsaan diwujudkan di Tanah Melayu.[6]
Perjuangan PGMK bertambah agresif apabila berlaku pergabungan dengan Kesatuan Persekutuan Guru-guru Melayu Semenanjung (KPGMS). Selain giat membuat tuntutan berkaitan isu kebajikan guru dan gaji guru-guru Melayu, gabungan ini juga memperjuangkan kedaulatan bahasa kebangsaan dan sistem pendidikan sekolah Melayu.


[1] Khoo Kay Kim, “Tahun 1920-an Dalam Sejarah Malaysia”, dlm. Jernal Sejarah, Jld. XI, 1970/71. (Kuala Lumpur : Universiti Malaya), h. 10.
[2] Othman bin Khamis, “Sejarah Rengkas Persekutuan Naungan Guru-guru Kedah” dlm Chenderamata PGMK 25 Tahun 1946-1971, Alor Setar, 1971, h. 81.
[3] Ibid.
[4] Ibid.
[5] Ibid.
[6] Dipetik daripada, Mohamad Muzammil Mohamad Noor, Guru Melayu Di Kedah : Penglibatan Dalam Politik, 1940-1960, h. 197-198.

-bersambung-

UmiFathimah
Kedah Darul Aman

No comments: