Bee Gees

Wednesday 30 May 2012

Sejarah Perjuangan Guru Melayu Kedah - 4


Antara perkara yang genting berlaku dengan perjuangan KGMK dan KPGMS ialah apabila, keengganan pihak Kementerian Pelajaran dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menguatkuasakan Dasar Pelajaran Kebangsaan 1956 serta menangai isu-isu yang dikemukakan oleh guru Melayu, menimbulkan rasa tidak puas hati guru-guru Melayu. Oleh itu golongan guru mengambil keputusan untuk merenggangkan hubungan dengan pihak kerajaan Persekutuan terutama kementerian itu. Hal ini terjadi disebabkan terdapatnya jurang perbezaan pendapat dan mewujudkan ketidaksefahaman antara kedua-duanya. Tindakan mereka itu berlandaskan alasan yang kukuh kerana kegagalan pelaksanaan Laporan Razak 1956. Berikut dinyatakan sebab-sebab kegagalan Laporan Razak 1956;

          i.            Pengenalan sistem persekolahan majmuk di peringkat sekolah rendah.[1] Dalam laporan itu menyatakan bahawa ‘penubuhan sekolah-sekolah rendah standard dengan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, tetapi bahasa pengantarnya mungkin Inggeris, Tamil atau Kuo-Yu’[2]
        ii.            Kegagalan untuk membina sekolah-sekolah menengah aliran Melayu,[3]
      iii.            Pengaruh penjajahan yang begitu jelas di dalam struktur dan kandungan kurikulum laporan itu,[4] dan
       iv.            Kekaburan pada dasar pelajaran secara keseluruhannya.[5]
Oleh itu, dalam masa yang sama, Utusan Melayu telah melaporkan suasana dan kemelut yang melanda ketika itu;
“10,000 guru-guru Melayu akan bertindak tegas sekiranya bahasa Melayu tidak dijadikan bahasa pengantar di sekolah.
… KPGMS menyesali sikap kerajaan mengekalkan pegawai-pegawai dagang di Kementerian Pelajaran.”[6]

Akhbar Utusan Melayu juga menyokong sepenuhnya segala tuntutan guru-guru Melayu kepada pihak kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pelajaran supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah rendah dan menengah seluruh negara.[7]

KPGMS menuntut supaya Sekolah Menengah Bahasa Pengantar Bahasa Melayu diadakan pada awal tahun 1958 ini dan bahasa pengantar di Sekolah Menengah Melayu sekarang ini hendaklah dengan bahasa Melayu. Tuntutan ini tidak diindahkan oleh yang bertanggong jawab tetapi tuntutan sekolah China nampaknya dihargai ya’ni selepas merdeka memberontak kerajaan menambahkan lagi sebahagian besar wang peruntokan pelajaran China yang cukup mewah itu pada hal bangsa Melayu yang miskin ini tetap tinggal dengan miskin dengan tidak mempunyai Sekolah Menengah sendiri dan jauh dari Sekolah tinggi.[8]

Pada masa yang sama juga, parti yang memperjuangkan Islam, PAS turut menyambut baik tindakan dan langkah-langkah golongan guru Melayu dalam memperjuangkan isu-isu bahasa Melayu dan sekolah aliran Melayu dengan memberi sokongan padu dan berjanji akan berjuang bersama-sama dengan persatuan-persatuan guru negeri dan KPGMS.[9] Menurut seorang guru agama dan juga Timbalan Yang Dipertua PAS iaitu Zulkifli Mohammed, parti Islam ini bersama-sama berjuang untuk mencapai hasrat golongan guru Melayu itu dan yakin bahawa melalui pendidikan dapat menyatukan bangsa.[10]


[1] Dipetik dari, Haris Md Jadi, Etnik, Politik Dan Pendidikan, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka, 1990, h. 99
[2] Report of the Education Committee, 1956, perenggan 136.
[3] Haris Md Jadi, Etnik, Politik Dan Pendidikan, h. 99
[4] Ibid.
[5] Ibid.
[6] Dipetik dari Utusan Melayu, 30 Disember 1957.
[7] Utusan Melayu, 3 Jun 1958.
[8] Majallah Guru, Jilid 34, Dicember 1957.
[9] Lihat, “4 buah Kesatuan Guru Melayu Sokong KPGMS”, dlm. Utusan Melayu, 19 Januari 1958 dan 20 Januari 1958.
[10] The Straits Echo, 6 Ogos 1959.


Seperti mana guru-guru Melayu Kedah membantah kegagalan pelaksanaan Laporan Razak 1956, guru-guru agama dari PAS juga memberi tentangan yang sama. Sebab-sebab penentangan mereka ialah :

         i.            tiada sebarang jaminan dibuat dalam laporan itu bahawa bahasa Melayu akan dijadikan bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi dalam masa sepuluh tahun setelah Negara mencapai kemerdekaan.

        ii.            dengan membenarkan bahasa-bahasa lain digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah juga membawa makna bahawa bahasa-bahasa itu telah diikhtiraf sebagai bahasa rasmi Negara, dan

      iii.            laporan pelajaran itu juga tidak memberi apa-apa perakuan bahawa taraf bahasa Inggeris akan diturunkan.

Petikan dari, akhbar Utusan Melayu, 7 September 1957.

-bersambung-

UmiFathimah
Kedah Darul Aman

No comments: