Bee Gees

Thursday 10 May 2012

Sejarah Perjuangan Guru Melayu Kedah - 2

Perhimpunan kali ketiga pula berlangsung pada 30 Mei 1946 yang disertai kira-kira 10,000 orang. Perhimpunan ini antara lain untuk menunjukkan perpaduan masyarakat Melayu kepada Captain Gammans, Lt. Col. Rees William iaitu seorang ahli Parlimen dari Parti Buruh Britain serta Sir Theodore Adam. Mereka ini datang ke Kedah diiringi Dato Onn Jaafar. Dalam domenstrasi kali ini, Dato Onn dirayu membuat ucapan-ucapan bermula di bumbung Lima (Seberang Perai), Guar Cempedak, Sungai Petani dan di Padang Lumat.


Menurut laporan akhbar Warta Negara, pejabat dan sekolah agak lengang kerana mereka mula berkumpul di Padang Court bagi menunjukkan kekuatan dan perpaduan menentang Malayan Union. Pelajar-pelajar Melayu disekitar Alor Setar keluar beramai-ramai bersama guru-guru menuju ke padang itu sambil menyanyi dengan penuh semangat lagu yang dicipta oleh seorang guru agama tersohor Kedah, Hj. Abdul Rahman Merbok. Pemimpin-pemimpin Melayu yang turut serta dalam perhimpunan tersebut ialah Senu Abdul Rahman, Ibrahim Endut, Mohd. Khir Johari, Tunku Abdul Rahman, Hj. Hussein Che Dol dan beberapa orang wakil kaum ibu termasuk Che Kamaliah dan seorang guru wanita, Balkis Hj. Abdullah.


Ada dalam kalangan mereka ini turut berucap bagi meniup semangat perjuangan dan seterusnya menyerah memorandum bantahan kepada Captain Gammans dan Lt. Col. Williams. Senu memberi ucapan yang menekankan;


 “Kita bukanlah membantah Malayan Union, tetapi kita bantah ialah triti-triti haram MacMichael itu. Apa yang kita mahu ialah dikembalikan kedaulatan kita. Kalau British berkeras juga bawalah atomik bom dan hempaslah di atas Tanah Melayu itu supaya punah sekelian umat Melayu supaya tidaklah akan diceritai lagi oleh anak cucu kita di belakang hari kelak.”


Akhirnya, pada 2 Jun 1946, Sir Malcholm MacDonald dan Sir Edward Gent memberitahu Persidangan Raja-raja Melayu bahawa kerajaan British bersetuju menimbang semula syor-syor raja-raja dan seterusnya UMNO merancang menggubal perlembagaan baru bagi Tanah Melayu. Menjelang 25 Julai 1946, sebuah jawatan kuasa dibentuk yang diketuai oleh Dato Onn Jaafar. Beliau dipertanggungjawabkan menggubal perlembagaan baru.


Seterusnya pada 1 Februari 1948, Federation of Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu (PTM) telah diisytiharkan menggantikan Malayan Union. Penting dan Genting. 




-UmiFathimah-
Kedah Darul Aman

No comments: