Bee Gees

Monday 7 May 2012

Sejarah Perjuangan Guru Melayu Kedah

Assalamualaikum…


Saya mendapat ilham daripada Allah untuk memulakan penulisan berkaitan perjuangan guru Melayu. Disebabkan saya orang Kedah, saya mulakan penyelidikan berkaitan dengan perjuangan guru Melayu di Kedah dahulu.


Mengapa?


Saya dihimpit kesedihan apabila dalam era globalisasi ini, profesion yang begitu mendapat pujian dalam masyarakat kian gerhana.


Di mana semangat perjuangan guru… Di mana suara guru dalam masyarakat… Di mana kewibawaan guru dalam kepimpinan masyarakat? Saya amat berharap tulisan berdasarkan penyelidikan ini dibaca oleh guru-guru di luar sana dan membuat anjakan paradigma agar profesion ini terus diangkat dan dimartabatkan.


PERJUANGAN GURU MELAYU KEDAH DALAM POLITIK.

Guru-guru Melayu telah bertindak sebagai pemangkin pergerakan politik di Kedah. Detik paling ketara dalam perjuangan guru Melayu Kedah ialah ketika menentang Malayan Union. Guru-guru Melayu telah mengadakan pertemuan sesama mereka di Maahad al-Mahmud, Alor Setar.


Antara yang hadir ialah Hj. Hussain Che Dol, Hj. Abdul Halim, Ustaz Ibrahim Said, Sheikh Hj. Othman Jusoh, dan Senu Abdul Rahman. Hasil pertemuan ini mereka bersetuju mengadakan demonstrasi pada 19 Januari 1946 di Padang Court, Alor Setar.


Guru-guru Melayu mula berkempen melalui syarahan agama di masjid, surau dan dewan umum kampung-kampung di seluruh pelusuk negeri Kedah. Perhimpunan yang diadakan pada 19 Januari 1946 telah dihadiri kira-kira 50,000 orang memperlihatkan kejayaan peranan guru-guru Melayu Kedah membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat Melayu Kedah. 

Menurut laporan daripada pengarang akhbar Seruan Rakyat;


“Bantahan yang akhir sekali ialah dilakukan oleh kaum kita di Kedah dengan mengadakan perarakan seramai 50,000 orang, iaitu perarakan yang boleh kita akui yang sehabis besar pernah dilakukan oleh kaum Melayu di Malaya ini. Mereka mengeluarkan bantahan kepada Kesatuan Malaya sekarang bukannya meminta perhatian kepada Sir Horald MacMichael lagi melainkan terus kepada Parliament London."

Mamandangkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah akan berangkat ke England ketika itu, Akhbar Warta Negara pula melaporkan;


“Gerakan besar besaran kaum Melayu Kedah telah diadakan hari ini manakala lebih daripada 50,000 orang telah mengambil bahagian di dalam perarakan yang telah dijalankan dibawah riayah Kesatuan Melayu Kedah sebagai menunjukkan tiada bersetuju kepada Kesatuan Malaya serta juga hendak meminta dinaikkan harga padi yang telah ditetapkan oleh kerajaan.” 


Berikutan kejayaan dalam demonstrasi besar-besaran pada pertama kali itu, berlaku pula suasana protes terhadap Malayan Union seterusnya pada 4 Februari 1946, pada jam 3.00 petang di tempat yang sama iaitu di Padang Court. Ekoran demostrasi buat kali kedua itu, sekitar Alor Setar kembali dipenuhi poster-poster dan kain rentang mengkritik pihak British. Antara; 


“Kelmarin Kami Dinaung, Hari ini Diperintah, Esok Dijijak.”, dan, “Jangan sampai Lebai Maaruf membetulkan tajaknya.”

Gambaran tersebut jelas menunjukkan kesedaran yang begitu kuat terhadap tanah air, bangsa serta agama dan hak istimewa Melayu walaupun demonstrasi kali ini hanya dihadiri kira-kira 5,000 orang sahaja. Hj. Husain Che Dol dari KMK telah memulakan ucapan sebelum diambil alih pula oleh Senu Abdul Rahman. Senu yang ketika itu sebagai Setiausaha Agung SABERKAS telah membidas pihak kolonial British dan membantah segala kandungan dalam Kertas Putih Malayan Union;


 “… kita menuntut hak keadilan dengan gigi dan lidah dan kita akan terus membantah Kertas Putih sekiranya ia bererti kecabulan hak bangsa kita.” 


Selepas demonstrasi itu berlangsung, beberapa hari kemudian SABERKAS telah menghantar bantahan pelaksanaan Malayan Union melalui tiga pucuk telegram kepada Pejabat Setiausaha Tanah Jajahan, sebahagian ahli Parlimen Britain dan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu yang semuanya di London. KMM juga tidak ketinggalan menghantar sepucuk telegram ke London sebaik sahaja perhimpunan selesai. Ayob Abdullah telah ditugaskan menghantar telegram itu. Berikut ialah isi kandungannya; 


“Tuan Perdana Menteri Di London.  Menurut tamadun di dunia dan kuasa ramai British King, kita dan sultan-sultan tiada berkuasa boleh sain mana-mana treaty jika tidak dengan persetujuan rakyat-rakyat yang demikian itu mana-mana treaty fasal Kesatuan Malaya yang sain bersembunyi oleh sultan dan raja-raja itu nyatalah terang sekali tiada sah dan tiada halal." -  Ayub Abdulah




(bersambung)

-UmiFathimah-
Kedah Darul Aman

No comments: